in , ,

Senarai Program Menarik Sempena Maulidur Rasul di TV ALHIJRAH

Bingkisan Cinta Dan Rindu Terhadap Nabi Muhammad S.A.W Di Dalam Program Menarik Maulidur Rasul TV ALHIJRAH

Umat Islam seantero dunia akan meraikan hari keputeraan Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 8 Oktober 2022 akan datang. Kecintaan dan ketaatan kepada Rasullullah adalah tuntutan agama dah harus dieksperesikan berlandaskan syariat Islam.

Tidak mahu ketinggalan di dalam usaha mendapatkan syafaat Baginda Rasullullah S.A.W, TV AlHijrah akan meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan menggunapakai tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran. 

telefilem Sadaqallahul'azim

Menerusi tema ini, TV AlHijrah beriltizam untuk bersama-sama Keluarga Malaysia mencintai serta memperingati tentang nilai murni, pengajaran serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepanjang kerasulan Baginda.

Oleh yang demikian, sepuluh program utama akan ditayangkan bersempena sambutan istimewa ini. Program-program tersebut adalah Gema Haflah, Majlis Konvokesyen Khatam My #QuranTime, Hijrah Berselawat, Assalamualaikum Khas, Telefilem Sadaqallahul’azim, Jalinan Kasih, Dakwah Live Istimewa Maulidur Rasul, Akademi Daie Muda YADIM, Peristiwa Maulid, Studio AlHijrah dan Telefilem Sadaqallahul’azim.

Gema Haflah akan memulakan siaran pada Jumaat, 7 Oktober 2022, jam 9 malam dengan menampilkan barisan selebriti jemputan seperti Dato’ Nash, Lufya Omar, Mawi dan Hazwani Helmi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan surah-surah pilihan seperti surah Al-Kauthar, Al-Mulk, Ar-Rahman, Quraish, Al-Maaun, Al-Fiil, Al-Baqarah dan Surah An-Nas dengan variasi maqam tarannum seperti Bayati, Nahawand, Hijaz, Jiharkah dan Soba.

Penggemar rancangan ladang ilmu My #QuranTime akan diraikan dengan Majlis Siaran Langsung Konvokesyen Khatam Tadabbur dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu, 8 Oktober 2022, jam 11.30 pagi. Majlis ini adalah kemuncak kepada sesi tadabbur 604 helaian Al-Quran yang telah bermula di TV AlHijrah semenjak tahun 2020.

Seterusnya, TV AlHijrah akan menyiarkan rancangan baru berjudul Jalinan Kasih pada jam 8.30 malam. Sepanjang dua episod siaran rancangan ini pada 8 dan 9 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad akan turun padang menyantuni, beramah mesra serta melakukan aktiviti kerohanian bersama penghuni Penjara Kajang. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memberikan sokongan moral serta galakan untuk memperbaiki diri di masa hadapan.

Studio Hijrah

Sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad diteruskan dengan rancangan Hijrah Berselawat pada jam 9 malam. Hijrah Berselawat membawakan qasidah-qasidah menarik terutamanya Humko Bulana serta Isyfaq Lana yang dilantunkan oleh Inteam, Faizal Tahir, Zaf VE, Pot Amir dan Mirwana. Penampilan istimewa, Ustaz Don Daniyal pula akan memberikan tausiyah mengenai sirah-sirah kehidupan Baginda Rasulullah.

Pada 9 Oktober, pagi Ahad penonton akan bermula seawal jam 7 pagi dengan rancangan Assalamualaikum Khas bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Shamsul Hakim. Rancangan bual bicara pagi ini akan berkongsi kisah kepimpinan Rasulullah S.A.W sebagai panduan kehidupan seharian. 

Meneruskan siaran, telefilem Sadaqallahul’azim pula disiarkan pada jam 9 malam. Telefilem yang membariskan barisan pelakon terbaik tanah air seperti Ungku Hariz, Husna Mustaffa, Anna Dahlia, Zaidi Omar, Razak Ahmad dan Ezlynn Arifin berkisar tentang Solihin, seorang peguam yang dikenali ramai kerana banyak terlibat dengan pembelaan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan. Namun jauh di sudut hati, Solihin sedar bahawa kemasyhuran dunia tidak memberikan apa-apa jaminan. Hatinya kosong serta berasa kerdil kerana dia tidak tahu membaca Al-Quran. Solihin berbelah bahagi antara populariti dan tuntunan agama. Dia malu untuk belajar mengaji kerana takut popularitinya terjejas.

Hijrah Berselawat

Dakwah Live akan disiarkan pada Rabu, 12 Oktober, jam 9 malam. Penonton akan bersama-sama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Wasiril Aswad serta panel jemputan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari bagi mengupas topik Rasulullah Aku Rindu. Perbincangan ilmiah ini pastinya akan menambah rasa cinta dan rindu buat Baginda.

Malam Khamis penonton akan diserikan dengan sebuah rancangan terbaik untuk tontonan seisi keluarga iaitu Akademi Daie Muda YADIM. Disiarkan bermula 13 Oktober, jam 9 malam, rancangan ini bermatlamat melahirkan ikon yang mampu menjadi tonggak tauladan buat masyarakat. Saksikan 28 orang peserta yang akan berentap secara sehat dalam merebut gelaran Daie Muda YADIM musim keempat.

Pada Sabtu, 15 Oktober, jam 9 malam, Peristiwa Maulid akan disiarkan. Rancangan ini berkonsepkan teater, nyanyian, qasidah dan penceritaan. Program ini akan menceritakan mengenai peristiwa kelahiran Nabi Muhamammad S.A.W sehingga peristiwa kewafatan Baginda. Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi akan menjadi pentausiyah di samping penglibatan artis-artis tanah air seperti, Lah Ahmad, Daqmi, Hafiz Hamidun, Lan Solo dan lain-lain

Bagi menutup tirai kempen Maulidur Rasul di TV AlHijrah, Studio Hijrah akan disiarkan pada 17 Oktober, Isnin, jam 8.30 malam. Studio Hijrah merupakan sebuah program hiburan islamik yang memaparkan lagu-lagu ketuhanan di Malaysia dengan  genre pelbagai seperti rap, balada, pop, rock dan lain lain. Nyanyian akan disampaikan secara akustik agar lontaran dakwah dapat dibuat dengan lebih berkesan.

Siaran kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul di TV AlHijrah sudah semestinya mampu membantu penonton menghayati hari kelahiran Baginda S.A.W dengan lebih bermakna. Jadi, ayuh sama-sama baja rasa cinta buat Rasulullah di TV AlHijrah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nenek Neelofa Tak Pernah Tinggal Baca Al-Quran Walaupun Sakit

MISS UNIVERSE MALAYSIA

Lesley Cheam From KL Crowned As Miss Universe Malaysia 2022