in

Senarai Penuh Keputusan Pemenang Anugerah Industri Muzik 20

Pada jam 9 malam ini, Budiey telah hadir di Anugerah Industri Muzik ke-20 yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil seawal jam 6 petang. Sebelum sibuk bekerja di karpet merah, Budiey sudah pun memberikan 100 keping tiket kepada pembaca setia #BudieyDotCom. Di lokasi yang sama berlangsung juga ROCK THE WORLD 2013, jadi keadaan jalan agak sesak memandangkan ramai yang tertumpu di kawasan stadium. By the way, pasti ramai yang teruja nak tahu keputusan pemenang pada malam ni kan? Disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Maya HD (135), AIM20 dijangka ditonton oleh lebih 6 juta penonton.

Selama dua dekad sudah berlangsung, Anugerah Industri Muzik saban tahun diadakan untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada usaha gigih penggiat seni muzik tempatan. AIM20 dihoskan oleh dua orang hos terkenal, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad. Gabungan muka lama dan muka baru. Pasti ramai yang tertunggu-tunggu, apakah punch line dari mereka. Budiey harap yang terbaik dan AIM20 kali tidak membosankan dan menjadi kenangan sukar dilupakan buat semua penonton.

Beberapa hari sebelum berlangsung, ramai media buat ramalan masing-masing. Budiey akui, Budiey pun bersetuju dengan tekaan ramai yang mengatakan Hafiz Suip bakal menggondol banyak anugerah pada malam ni. Album Luahan Hati Anak Seni dikatakan muncul menjadi pemenang besar iaitu untuk kategori Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik. Kemungkinan besar Hafiz Suip juga akan menjulang trofi idaman ramai iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).

AIM20

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) menyaksikan penyanyi Hafiz Suip menggondol tiga anugerah termasuk Album Terbaik pada acara yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Sabtu. Menerusi album Luahan Hati Anak Seni, penyanyi berusia 23 itu turut menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Bahagiamu Deritaku dan Rakaman Album Terbaik.

Anugerah Sri Wirama AIM 2013 diberikan kepada Pengasas syarikat penerbangan tambang murah Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandez atas jasa beliau dalam membangunkan industri muzik tempatan selama 20 tahun.

Penyanyi Shila Amzah pula dipilih sebagai penerima Anugerah Kembara AIM 2013 atas kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim dan Jawatankuasa Penganjur AIM 20, Rosmin Hashim.

Shila turut menyampaikan dua buah lagu iaitu Zheng Fu dan Masih Aku Cinta pada malam itu.

Dalam pada itu, lagu ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna berjudul Lelaki menggondol dua anugerah iaitu Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik.

Manakala penyanyi Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah memenangi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu hasil kolaborasi menerusi lagu Sedetik Lebih.

Dayang turut diumumkan sebagai penerima trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta.

Lagu Bila Resah yang dipersembahkan kedua-dua penyanyi itu turut dipilih sebagai pemenang dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Artis Baru Terbaik pada tahun ini diterima oleh penyanyi indie, Alex Subryn.

Sementara itu, Amy Search masih membuktikan keunggulannya apabila menerima anugerah Lagu Rock Terbaik menerusi Di Bawah Gerbang Skaea.

Pemenang album terbaik pada AIM 19, Salam Musik pada tahun ini membawa pulang trofi Lagu Hip Hop Terbaik manakala kolaborasi di antara Goldfish dan Blink telah melayakkan mereka untuk menerima anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

AIM 20 dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad.

Acara pada malam itu turut diserikan oleh persembahan mantap daripada Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Ning Baizura, Afgan, Najwa Latif, Aizat Amdan, Hafi, Zainal Abidin, Mas Idayu, Jay Jay, Datuk Khadijah Ibrahim dan Dayangku Intan.

AIM20

Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah Industri Muzik 20 (AIM 20):

1. Album Terbaik: Luahan Hati Anak Seni – Hafiz Suip

2. Lagu Terbaik: Lelaki – Yuna

3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Hafiz Suip – Bahagiamu Deritaku

4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Dayang Nurfaizah – Seandainya Masih Ada Cinta

5. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Saujana – Salam Atasmu

6. Lagu Pop Terbaik: Lelaki – Yuna

7. Persembahan Vokal/Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu: Anuar Zain & Dayang Nurfaizah – Sedetik Lebih

8. Kulit Album Terbaik: Penglipur Lara – Hazama

9. Rakaman Album Terbaik: Luahan Hati Anak Seni – Hafiz Suip

10. Video Muzik Terbaik: #1 – Pretty Ugly & Altimet

11. Lagu Pop Etnik Terbaik: Pahlawan Zafana – Ihab Ismail

12. Lagu Nasyid Terbaik: Mawar Berdarah – Rabbani

13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: In The House – Goldfish & Blink Feat Altimet & ZE!

14. Lagu Hip Hop Terbaik: Aku Pelat – Salam Muzik Feat Zion Dread

15. Video Muzik Terbaik: Pretty Ugly Feat Altimet (Perez Oldskool)

16. Lagu Rock Terbaik: Di Bawah Gerbang Skaea – Amy Search

17. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Hilang Naluri – Once

18. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Bila Resah – Anuar Zain & Dayang Nurfaizah

19. Anugerah Sri Wirama – Tan Sri Dr Tony Fernandez

20. Anugerah Kembara – Shila Amzah

21. Artis Baru Terbaik – Alex Subryn

Tahniah dan syabas buat semua pemenang! Jumpa lagi di AIM21!

AIM20

AIM20

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ashraf Muslim Susah Bawa Isteri Keluar Bersama?

Aesar Mustafa & Aaron Zairul Ditipu Lelaki Lembut