in ,

SELUDUP Kukuhkan Gelaran Ratu Antagonis Buat Raja Ilya

Ketika ditawarkan berlakon watak Rina di dalam drama ‘Seludup’, seorang wanita lasak yang yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah, alcohol, rokok seludup seperti keretek dan pemerdagangan manusia, Raja Ilya bagaikan terkedu tidak sangka. Walaupun seringkali membawa peranan antagonis di dalam drama televisyen tempatan sehinggakan mendapat gelaran ‘pemain watak antagonis paling berkesan’, drama 13 episod ini memberikannya peluang melakonkan babak-babak penuh aksi setanding dengan pelakon-pelakon lelaki yang lain, malah lebih lagi.

Raja-Ilya-Blue

Drama ‘Seludup’ diarahkan oleh Jehan Miskin yang juga bertindak sebagai produser dan pelakon pembantu. Selain Raja Ilya, ia juga dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat tanahair yang lain seperti Pekin Ibrahim, Nam Ron, Tiz Zaqyah dan Syafie Naswip. Menurut Raja Ilya,

“Itu adalah salah satu faktor besar yang mendorong saya untuk menerima tawaran berlakon di dalam drama ini. Peluang bergandingan dengan idola-idola saya ini saya anggap sebagai satu proses pembelajaran yang tidak mungkin dapat saya lupakan.”

Mengakui bahawa Nam Ron merupakan pelakon karakter yang sangat hebat, dan Pekin pula mempunyai karisma dan kredibiliti sebagai hero Malaysia yang disegani, Raja Ilya tertawa kecil bila menyatakan, “Saya mempunyai banyak adegan-adegan yang agak mesra dengan Pekin di dalam ‘Seludup’, dan dialog-dialog kami kadangkala nakal kerana Rina (watak Raja Ilya) adalah gadis yang sangat berterus terang dan ekspresif. Nasib baik Pekin ‘sporting’ orangnya dan ini menjadikan saya lebih tenang walau kadangkala seram juga”.

Watak Rina yang dimainkannya di dalam ‘Seludup’ menawarkan cabaran yang baru buat Raja Ilya di mana majoriti adegan yang dilakonkan adalah adegan lasak.

“Saya lakonkan semuanya sendiri dengan bantuan dan sokongan Jehan dan pengarah aksi. Saya perlu menunggang motosikal berkuasa tinggi, berlawan menggunakan senjata dan yang paling tidak dapat saya lupakan apabila di dalam satu adegan, saya diperlukan untuk memandu kereta ‘manual’ dengan laju. Saya sangat gementar ketika itu, bagaikan nak putus nyawa, kerana terakhir sekali saya memandu kereta manual adalah lebih kurang 10 tahun lepas. Tapi Alhamdulillah, saya mampu lalui pengalaman itu dengan baik.”

Menutup perbualan, Raja Ilya menyatakan keyakinannya bahawa ‘Seludup’ yang kini mendapat sambutan hangat peminat drama Malaysia adalah kerana gabungan mesej yang ditampilkan, jalan cerita dan mutu drama itu sendiri yang menerima ‘treatment’ bagaikan pembikinan filem.

“Jehan telah hasilkan satu naskhah yang begitu cantik dan eksklusif untuk semua. Pastikan anda menontonnya nanti!”.

‘Seludup’ disiarkan setiap Khamis jam 9.30 malam di Astro Prima (Saluran 105). Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’ dan pertandingan Tonton dan Menang yang menyediakan pelbagai hadiah yang hebat, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

Raja Ilya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Lagu IKRAR KASIH Taufik Batisah

3.3 Juta Tonton Separuh Akhir Piala Aff Suzuki 2014 di TV9