SEKITAR SHOWCASE FINALIS PERTANDINGAN AKHIR RENTAK JUARA

SHOWCASE FINALIS PERTANDINGAN AKHIR RENTAK JUARA “RHYTHM OF CHAMPIONS” 2008

Semua peminat setia Rentak Juara “Rhythm Of Champions” (RJROC) pastinya ternanti-nanti akan kehadiran malam kemuncak RJROC Akhir yang bakal menyaksikan lapan buah kumpulan bakal mempertaruhkan bakat serta kretiviti dalam membuat sebuah persembahan yang berkualiti. 

RJROC kini menjangkau kali ketiga penganjurannya yang pastinya akan menjanjikan sebuah persembahan yang berkualiti dan lebih matang. Hari silih berganti, debaran makin memuncak kumpulan manakah bakal merangkul gelaran juara RJROC ?Persoalan ini hanya bakal terjawab pada 22 Jun 2008 (Ahad), Malam Kemuncak RJROC 2008 di Stadium Malawati, Shah Alam. 

Antara kumpulan yang bakal berentap pada malam gilang-gemilang tersebut adalah Carbolic Smokeballs, Cherish 2000, The Bombers, Aisunam, Season Jammerz, Poetical Kingdom, Karisma dan Malaysia On Line.

Bagi menghangatkan lagi suasana Pertandingan Akhir RJROC 2008, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengadakan showcase khas yang berlangsung bertempat di Jusco Bukit Raja, Klang pada 14 Jun 2008 (Sabtu), jam 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang.
 
Ternyata modus operandi program tersebut bagi mempromosikan Pertandingan Akhir RJROC 2008 dan memberi peluang kepada semua peminat setia RJROC mendekati kelapan-lapan kumpulan yang mara ke peringkat akhir tercapai dengan jayanya. Buktinya seawal jam 10.30 pagi telah ramai peminat setia RJROC telah membanjiri perkarangan Jusco Bukit Raja, Klang. Selain itu, showcase ini umpama sesi ‘pemanas badan’ bagi memastikan setiap kumpulan lebih bersedia bagi menampilkan persembahan yang hebat pada malam kemuncak RJROC nanti.

Pelbagai aktiviti menarik melibatkan para pengunjung Jusco Bukit Raja, Klang pada 14 Jun (Sabtu) berlangsung pada hari kejadian. Antaranya, persembahan ‘live’ dari kesemua finalis, sesi bertemu peminat dan kuiz. Banyak hadiah menarik telah menjadi habuan buat pengunjung bertuah yang berjaya menjawab soalan yang diajukan. Lebih menarik ialah pengunjung perlu menjawab semua soalan yang diajukan menerusi khidmat pesanan ringkas (sms).

Antara lagu yang dipersembahkan pada showcase tersebut adalah The Bombers – Terbang, Carbolic Smokeballs – In The Line Of B, Cherish 2000 – Please Forgive Me, Malaysia On Line – Teratai, Season Jammerz – Girlfriend, Aisunam – Keadilan, Poetical Kingdom – Si Tanggang dan Karisma – Kamelia.
 
Selain itu, para peminat pelakon terkenal yang juga pengacara RJROC 2008 Zed Zaidi, jangan lepaskan peluang menemuinya kerana dia akan bersama di Jusco Bukit Raja, Klang mengacarakan showcase. Zed Zaidi tidak bersendirian dia ditemani oleh  Kamal, pemenang Hero Remaja 2007/08 dan juga penyanyi terkenal, Dia Fadila.

Di penghujung showcase para pemenang bertuah menerima hadiah masing-masing yang berupa hamper sumbangan Kelarai Sakti Sdn. Bhd. dan Rentak Asli Sdn. Bhd. daripada Pengarah Pengurusan Am, Jabatan Penyiaran Malaysia, Encik Abdull Hadi bin Haji Mohd Yusoff. 

Pada hari tersebut kaunter tiket bagi Pertandingan Akhir RJROC turut dibuka. Sepanjang showcase berlangsung pengunjung tidak putus-putus mengunjungi kaunter tiket bagi  mendapatkan tiket bagi merasai sendiri kehangatan malam kemuncak RJROC. Pada hari tersebut lebih kurang 2,000 tiket telah berjaya diedarkan.

Namun bagi mereka yang berminat berkongsi kemeriahan malam kemuncak RJROC Akhir bolehlah mendapatkan tiket percuma di Balai Pengawal, Angkasapuri bermula 17 Jun 2008. Penonton yang berminat dinasihatkan agar mendapatkannya segera kerana jumlah tiket percuma yang disediakan adalah terhad.

Pentas RJROC Akhir turut mengundang artis jemputan seperti kumpulan Spider, kumpulan Hujan, kumpulan Meet Uncle Hussein, kumpulan Bittersweet dan juga kumpulan Fenomena bagi menghangatkan lagi suasana malam penentuan RJROC Akhir itu nanti.

[tags]spider, rentak juara, pemenang rentak juara, Carbolic Smokeballs, Cherish 2000, The Bombers, Aisunam, Season Jammerz, Poetical Kingdom, Karisma, Malaysia On Line[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

FILEM PENSIL TAK MAU KAUT UNTUNG?

AN IRRESISTIBLE & CHARMING EVENING WITH ‘MADE OF HONOUR’