in

Sekitar Majlis Penyampaian Hadiah Festival Teater Malaysia 2014

Majlis Penyampaian Hadiah Festival Teater Malaysia 2014 telah berlangsung malam ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini. Festival ini menampilkan enam karya dari seluruh negara yang terpilih bagi mengangkat naskhah terbaik sekaligus sebagai juara.

Festival ini ialah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebagai satu usaha ke arah kecemerlangan pementasan teater tenmpatan yang berkualiti. Ia juga sebagai satu platform bagi para peserta dan pengkarya untuk mengenal, berkongsi ilmu, bertukar pengalaman dan berinteraksi di kalangan penggiat teater negeri yang terlibat untuk memajukan kesenian antara pelbagai kaum dan peringkat umur.

Festival ini juga memberi peluang penggiat teater mempamerkan kemantapan persembahan di peringkat kebangsaan. Ia juga menggalakkan kumpulan teater tanahair untuk bergiat secara berterusan bagi mencapai tahap pementasan Festival Teater Malaysia, seterusnya memartabat dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat.

Juara Ftm

Hasrat JKKN dalam usaha mengangkat bakat generasi baru dalam lakonan, pengarahan dan produksi dapat dilihat dari kesungguhan kumpulan yang bertanding pada kali ini dalam menunjukkan bakat dan kreativiti semasa pementasan ini termasuklah dari aspek lakonan, pengarahan, pengurusan, pembikinan set, props, kostum, tatarias dan sebagainya.

Menyorot kembali sejarah penganjuran Festival Teater Malaysia, festival ini telahpun mewarnai dunia seni sekitar tahun 70an hinggalah 1980an pada ketika itu dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama. Pada tahun 1990, Pesta Tarian dan Drama telah dijenamakan semula sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang hanya memfokuskan kepada genre teater sahaja. Namum demikian, sejajar dengan peredaran masa dan perubahan citrarasa khalayak teater moden, program ini telah disemarakkan lagi dengan jenama baru iaitu Festival Teater Malaysia sejak tahun 2002 hinggalah ke hari ini.

Daripada 14 negeri yang bertanding, hanya enam negeri yang terpilih ke peringkat akhir FTM 2014.

Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mewakili negeri Selangor mempertaruhkan naskah ‘Alahai Menantu’ karya Razali Taib dan arahan Nuex Rosli. Alahai Menantu mengisahkan tentang kisah Pak Usop dan Mak Bibah yang menerima perkhabaran gembira tentang kepulangan anak mereka, Judin daripada London melalui surat kiriman anak tunggal mereka itu. Namun begitu, perkhabaran gembira itu diselitkan juga dengan berita bahawa Judin akan membawa pulang tunangnya dari London, seorang gadis berbangsa asing bernama Mary.

Hal ini amat merunsingkan Mak Bibah yang sebenarnya telah lama memasang hajat untuk menjodohkan anaknya, Judin dengan Normah, seorang gadis kampung yang merupakan anak kepada Pak Lang dan Mak Kiah. Bagaimanakah kesudahan cerita ini? Mampukah Pak Usop dan Mak Bibah menerima Mary sebagai menantu mereka? Apa pula reaksi orang kampung dengan berita kepulangan Judin bersama tunangnya ini?

Naskah ‘Penjuru Empat Karma’ arahan dan karya Mohd Firdaus Kamaruddin dipentaskan oleh Persatuan Penggerak Seni Budaya mewakili Kuala Lumpur. ‘Penjuru Empat Karma’ berkisar tentang sepasang suami isteri terpaksa menanggung penderitaan kerana kehilangan orang yang disayangi atas kelalaian dan kecuaian orang lain. Pada pasangan ini orang-orang tersebut telah mengkhianati tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Oleh itu, keduanya telah membuat satu keputusan yang bakal mengubah segalanya-galanya termasuk diri mereka demi untuk mengetahui kebenaran dan menuntut keadilan supaya penderitaan mereka difahami.

Kumpulan Teater Remaja Harapan yang mewakili negeri Kedah membawakan Teater Transit Warga Tanah karya Abu Afif dan arahan Abu Hurairah Roslan. Teater ini mengisahkan Empat (4) jenis manusia yang berbeza latar hidupnya – Orang tua, Orang Kaya, Petani dan Dewasa, telah dibangkitkan dengan berwajahkan lumpur tanah.

Mereka telah disoal jawab oleh utusan tuhan, Sang Peringat yang datang untuk memberi nasihat, teguran, dan peringatan. Dibongkarkan segala kehidupan didunia, yang selama ini bertunjangkan hawa nafsu dan telah memerangkap mereka ke dalam dunia yang melalaikan, sehingga mereka lupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah kepada penciptaNya. Dari tanah kita datang dan kepada tanah kita akan dikembalikan, kerana kita adalah WARGA TANAH!

Grup Photo Ke3 Ftm

Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah yang mewakili Negeri Sabah mempertaruhkan naskah ‘Vito Il Mafioso’ karya Khairul Amin dan arahan bakat muda dunia pengarahan Tasia Alina Ismail. Vito Il Mafioso mengisahkan tentang ketidakupayaan seorang lelaki bernama Vito telah disaksikan masa lalu oleh dirinya sendiri, dia mula mencipta garis hidup masa depannya dengan pelbagai komplot yang dihalusinya dengan dendam. Dendam dan kebenciannya terhadap pemabuk kuasa dan wang yang telah meragut maruah dan kehidupannya. Kuasa dendam yang dibataskan oleh kekuasaan dunia mafia dimana yang lemah tetap terhukum dan berkuasa tetap di atas.

Selepas keluar dari perkhidmatan tentera, Vito bangkit dengan pelbagai misi yang ingin dilangsaikan bersama rakan karibnya, Jimmy yang menyelinap ke alam mafia. Demi menegakkan tiang keadilan, Vito dan Jimmy secara berani menentang empayar kekuasaan Letto apabila Vito dberitahu oleh Rose bahawa Letto membunuh ayahnya, Juan. Kesumat yang dalam ini telah menerjunkan Vito ke suatu arah yang tidak disangkakannya.

Tindakan drastik Vito yang secara tidak sengaja telah memberi kuasa empayar percuma kepada Joe Black, menjadikan mereka ahli mafia yang dipercayai Joe Black. Namun dendam terbalas bukanlah titik penamat kepada segala tindak kekuasaan yang lebih ultra semakin menjadi impian, terwujudlah komplot dalam komplot yang dijalinkan di setiap strategi dan misi dan hanya satu, hanya satu yang mampu merasai zat agung sebuah nikmat kekuasaan dalam dunia MAFIA.

Persatuan Seni Persembahan Sifar mewakili Negeri Sarawak mementaskan Teater Penggali Intan karya Kirdjomulyo dan arahan Abdilah Untong. Teater ini mengisahkan Suatu pagi ketika menggali, Hassan menemui sebutir intan yang sangat bernilai. Saili gembira dan berharap Hassan bersetuju untuk pulang ke kampong setelah menemui intan tersebut. Tetapi ternyata keuntungan sebesar itu tidak membuat Hassan puas. Dia masih ingin mendapatkan intan yang lebih banyak. Pelawaan Saili untuk mengajak Hassan pulang bersama kembali ke kampung halaman tidak diendahkan kerana ketamakan yang menguasai diri.

Terdorong oleh rasa penyesalan dan cinta menyebabkan Rafidah mencari kekasihnya, pasrah mengharungi segala liku yang mendatang. Ketika berjumpa, apa yang diharapkanya ternyata berbeza dengan kenyataan. Hassan menanggapi dingin kedatangan Rafidah. Hassan berubah menjadi pendendam dan tidak lagi kenal rasa kasih sayang. Dia merasakan kedatangan Rafidah ada terselit muslihat tertentu. Hassan melepaskan senyum ketika Rafidah tergelincir jatuh ke lubang penggalian dan terbenam.

Jiwa Hassan telah rosak oleh dendam dan perasaannya sendiri. Kilauan intan yang disangka mampu memberikan kebahagiaan hanya menghancurkan jiwa. Kemanusiaannya turut hancur kerana kecurigaan dan sanggup menuduh Ali mencuri intannya yang hilang.

Mewakili Pantai Timur, Kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) mementaskan teater ‘Iyakah Tok Janggut’ karya dan arahan Zack Zaideen. ‘Iyakah Tok Janggut?’ Persoalan yang merungkai kembali apakah benar yang didakwa pejuang yang gugur di dalam perang menentang Inggeris di Pasir Puteh itu adalah jasad Tok Janggut atau sebaliknya.

Konflik antara pelakon dengan pelakon dan antara pengarah dengan pelakon serta watak-watak dalam sebuah pementasan mengenai skrip teater perjuangan Tok Janggut. Konflik ini cuba memberi ruang fikir kepada penonton untuk kembali merenung dengan mata hati tentang kebenaran di sebalik fakta yang telah didendang oleh penjajah berhubung sejarah perjuangan Tok Janggut yang dituduh seorang penderhaka selama ini.

Yassin yang membawa watak Mat Kelubi pada awal-awal lagi sudah tidak bersetuju untuk berlakon di dalam pementasan teater Tok Janggut sekiranya fakta masih mengulangi fakta sejarah yang didakwa oleh pihak Inggeris, Tok Janggut seorang pemberontak dan penderhaka terutama pada babak akhir yang ‘mengaibkan ‘ seorang ulama di mana Tok Janggut diarak dan digantung itu.

Yassin mahu pengarah mengubah skrip tersebut dengan meletak logik kebenaran bahawa Tok Janggut tidak gugur semasa berperang dengan Inggeris ketika itu, sebaliknya jasad yang diarak dan digantung itu bukanlah jasad Tok Janggut, sebaliknya mayat seorang askar Sikh yang terbunuh.Watak misteri Perempuan Tua yang muncul tanpa ‘berinteraksi’ dengan watak-watak lain adalah sebagai lambang penglipurlara yang ‘lara’ melipurlarakan kebenaran sejarah dan meriwayatkan siapakah Tok Janggut yang sebenarnya. Sang Pengarah tetap dengan keputusannya mahu mengekalkan skrip yang asal untuk pementasan tersebut namun pementasan berlaku sebaliknya.

Anugerah Khas Juri

JADUAL PEMENTASAN FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2014

1. Alahai Menantu Kelab Teater Rimba UKM, Selangor 26 Oktober 2014 (Ahad)
2. Empat Penjuru Karma Persatuan Penggerak Seni Budaya, Kuala Lumpur 27 Oktober 2014 (Isnin)
3. Transit Warga Tanah Kumpulan Teater Remaja Harapan, Kedah 28 Oktober 2014 (Selasa)
4. Vito Il Mafioso Grup Teater Lab, UMS, Sabah 29 Oktober 2014 (Rabu)
5. Penggali Intan Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak 30 Oktober 2014 (Khamis)
6. Iyakah Tok Janggut Anak Seni Pendidikan, Kelantan 31 Oktober 2014 (Jumaat)
7. Majlis Pengumuman Pemenang dan Penyampaian Hadiah 1 November 2014 (Sabtu)

KATEGORI YANG DIPERTANDINGKAN DAN HADIAH

1. Johan RM10,000, Piala Pusingan, Piala Iringan
2. Naib Johan RM8,000, Piala Iringan
3. Ketiga RM6,000, Piala Iringan
4. Pengarah Terbaik RM2,000, Piala Iringan
5. Pelakon Lelaki Terbaik RM2,000, Piala Iringan
6. Pelakon Wanita Terbaik RM2,000, Piala Iringan
7. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik RM1,500, Piala Iringan
8. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik RM1,5000, Piala Iringan
9. Pelakon Harapan Lelaki RM1,000, Piala Iringan
10. Pelakon Harapan Wanita RM1,000, Piala Iringan
11. Anugerah Khas Juri RM1,500, Piala Iringan
12. Sinografi Terbaik RM1,000 dan Piala Iringan

Festival Teater Malaysia dilaksanakan secara Dwi Tahunan oleh JKKN yang memberi ruang pertandingan teater di peringkat negeri bagi memilih kumpulan yang layak ke peringkat penilaian dan seterusnya ke peringkat Kebangsaan. Sebanyak 68 buah kumpulan teater yang telah bertanding dari seluruh negara dan hanya 6 buah negeri sahaja yang layak ke peringkat kebangsaan.

Dalam penganjuran Festival Teater Malaysia selama 7 hari ini, JKKN juga menyajikan beberapa aktiviti seperti Bengkel Teater yang disertai oleh peserta FTM yang dibimbing oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang teater seperti En.Zaifri Husin (Pengarah JKKN Terengganu dan Pengarah Teater berkaliber), En.Hamzah Tahir (Pensyarah Teater UITM), En.Rosnan Abdul Rahman (Aktivis Teater Tradisional Mak Yong), Puan Roselina Khir Johari (Pensyarah UM), Dr.Rosdeen Suboh (Ketua Jabatan Teater UM), Cik June Tan (Five Arts Center),dan Puan Akma Suriati (Pereka Busana Teater PGL).

Selain itu, untuk pengunjung yang hadir boleh berkunjung ke Mini Pesta Buku yang melibatkan syarikat-syarikat buku yang terpilih serta jualan-jualan bahan terbitan JKKN.

Penganjuran Festival Teater Malaysia kali ini telah diadakan selama 7 hari bermula 26 Oktober hingga 1 November.
Majlis penyampaian hadiah ini telah dihadiri oleh Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, En Mesran Yusof. Turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah pelakon teater Raja Azrey Raja Kamaruzaman, Nad Zainal dan Nas Adilla.

Grup Photo Ke2 Ftm

KEPUTUSAN FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2014:

Juara FTM 2014
Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak
Naskah: Penggali Intan

Naib Juara FTM 2014
Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah
Naskah: Vito Il Mafioso

Ketiga FTM 2014
Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia
Naskah: Alahai Menantu!!

Pengarah Terbaik
Abdillah Untong
Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak
Naskah: Penggali Intan

Anugerah Khas Juri
Kumpulan Teater Remaja Harapan, Kedah
Naskah: Transit Warga Tanah

Pelakon Wanita Terbaik
Yuhana Mohd Yusof
Kelab Teater Rimba, UKM
Naskah: Alahai Menantu!!

Pelakon Lelaki Terbaik
Malek Hassan
Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak
Naskah: Penggali Intan

Pelakon Pembantu Wanita
Haslina Hasbi
Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak
Naskah: Penggali Intan

Pelakon Pembantu Lelaki
Muhamad Nur Yusof Rosli
Kelab Teater Rimba, UKM
Naskah: Alahai Menantu

Pelakon Harapan Wanita
Shakirah Fikri Abazah
Kelab Teater Rimba, UKM
Naskah: Alahai Menantu

Pelakon Harapan Lelaki
Shafik Sofian
Grup Teater Lab, UMS
Naskah: Vito Il Mafioso

Sinografi Terbaik
Grup Teater Lab, UMS
Naskah: Vito Il Mafioso

MONODRAMA:

Juara Monodrama
Afidavit Bahagia
Pertubuhan Bangsawan Warisan Meroza

Naib Juara Mododrama
Nisya Khalid
Pusat Pengajian Seni USM

Ketiga Mododrama
Iyakah Fatimah
Kelab Teater Kilat, TNB

Pengarah Terbaik
Masni Abdul Rahman
Pertubuhan Bangsawan Warisan Meroza

Pelakon Terbaik
Anne Yusof
Afidavit Bahagia
Pertubuhan Bangsawan Warisan Meroza

Sinografi Terbaik
Iyakah Fatimah
Kelab Teater Rimba, UKM

Anugerah Tokoh Tuan Haji Matari Hj, Rahman

Anugerah Tokoh Tuan Haji Sufiat Mukri

Juara Ftm ..

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Teater Bangsawan Sinbad Dendam Ratu Kala Anjuran JKKN

Ada Sebab Mengapa Rozita Che Wan Bersolek Sebelum Bersalin