in ,

Sekitar Majlis Berbuka Puasa Faizal Tahir & Rockensteiners

MAJLIS IFTAR ROCKENSTEINERS CLUB BERSAMA FAIZAL TAHIR & RUMAH AMAL KASIH BESTARI

Rockensteiners Club (RC), Kelab Peminat Rasmi Faizal Tahir (FT) telah menganjurkan Majlis Iftar Rockensteiners Club Bersama Faizal Tahir dan Rumah Amal Kasih Bestari (RAKB) pada hari Jumaat, 19 Ogos lalu bertempat di Tiara Rini Ballroom, The Royale Bintang The Curve, Mutiara Damansara. Majlis bertujuan merapatkan silaturrahim sesama peminat serta meraikan 30 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih Bestari. Selain itu dua buah tabung sumbangan telah diedarkan bagi diserahkan kepada RAKB dan kemanusiaan Konvoi Aqsa2Gaza2, anjuran Aqsa Syarif.

Faizal Tahir

Majlis yang berlangsung dalam suasana yang amat meriah ini telah mendapat tajaan dari The Royale Bintang The Curve, Dutch Lady, SG Men, Kumpulan Media Karangkraf, Cake Studio, The 8 Unit dan Monkey Bone. Ia telah diacarakan oleh Anas Tahir dan Alif Azfar. Seramai 140 jemputan khas dan peminat telah hadir. Antara tetamu khas yang hadir pada majlis itu adalah Ahmad Izham Omar, Audi Mok, Omar K, Jennifer Thompson, Jacynta Au-Yong serta wakil penaja Dutch Lady, Kumpulan Media Karangkraf dan Cakes Studio. Majlis dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan alu-aluan dari pengacara majlis serta wakil Rockensteiners Club. Sejurus selepas itu Faizal Tahir menyampaikan bacaan doa manakala Anas Tahir melaungkan azan bagi menandakan masuknya waktu berbuka puasa dan solat maghrib. Royale Bintang Hotel menyajikan hidangan buffet berbuka puasa yang menarik untuk santapan mereka yang hadir.

Selepas hadirin menunaikan solat maghrib disamping menjamu selera, pembuka tirai persembahan pada malam itu merupakan sebuah persembahan daripada sekumpulan peminat Faizal Tahir yang menggelarkan diri mereka sebagai Semesta Sisters. Mereka telah menyampaikan lagu “Bencinta” dengan iringan alunan keyboard. Majlis turut diselang-selikan dengan cabutan nombor bertuah yang mana hadiahnya ditaja oleh SG Men, The 8 Unit dan Monkey Bone. Seramai 5 orang peminat bertuah telah berjaya memenangi cabutan tersebut. Disamping itu, beberapa peminat terpilih juga berpeluang menujukan ucapan khas kepada Faizal Tahir yang berada di hadapan pentas.

Seterusnya hadirin dihiburkan oleh artis jemputan pada malam tersebut iaitu Iqa (Mentor) dan Zizan. Iqa yang kini bernaung di bawah label KRU Studios menyampaikan dua buah lagu iaitu satu lagu tribute untuk Faizal Tahir, “Sampai Syurga” dan single beliau sendiri, “Di Penghujungnya”. Zizan pula berjaya mencuit hati hadirin dengan aksi dan lawak jenakanya yang bersahaja. Anak-anak RAKB juga telah berjaya memukau hadirin dengan sebuah persembahan khas alunan nasyid yang sunguh merdu dan mengasyikkan. Sesungguhnya anak-anak ini memang berbakat walaupun rata-rata mereka baru berumur 12 tahun ke bawah.

Acara diteruskan lagi dengan persembahan istimewa daripada Faizal Tahir dan The Royale FT Force. Faizal telah menyampaikan lagu dendangan asal Ebiet G. Ade berjudul “Berita Kepada Kawan”, “Hanyut” dan “Selamat Malam”. Menurut Faizal, persembahannya pada malam itu merupakan persembahan eksklusif untuk RC dan anak-anak RAKB kerana dia kini sedang berehat dari menerima sebarang jemputan nyanyian pada Ramadhan dan Hari Raya kali ini. Bagi menjadikan majlis lebih sempurna Faizal,

Azfar, Anas dan Iqa berkolaborasi menyampaikan lagu “Selamat Hari Raya” sebagai persembahan penutup.

Acara kemuncak pada malam tersebut adalah penyampaian sumbangan ikhlas duit raya dari Faizal dan penaja iaitu Cakes Studio serta ‘goody-bag’ kepada anak-anak RAKB yang ditaja Ducth Lady dan Kumpulan Media Karangkraf. Sumbangan-sumbangan tersebut disampaikankan sendiri oleh Faizal dan dibantu oleh wakil RC. Sebanyak RM 1,700.00 berjaya dikumpul menerusi kutipan tabung yang diedarkan sepanjang majlis berkenaan untuk disumbangkan kepada Rumah Amal Kasih Bestari dan misi kemanusiaan Konvoi Aqsa2Gaza2, anjuran Aqsa Syarif.

Terima kasih sekali lagi kepada penaja utama kami iaitu The Royale Bintang The Curve kerana sudi menjadi penaja bersama untuk majlis ini. Tidak lupa juga, terima kasih diucapkan kepada penaja –penaja hadiah dan ‘goody-bag’ yang diedarkan kepada para hadirin pada malam itu, iaitu Dutch Lady, SG Men, Kumpulan Media Karangkraf, Cake Studio, The 8 Unit dan Monkey Bone. Mudah-mudahan dengan izin Allah, dapat lagi kita bersua di masa-masa akan datang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Faizal Tahir

Faizal Tahir

Faizal Tahir

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Program Menarik di RTM Sempena Merdeka Raya

Siti Nurhaliza Bersama Idola Kecil 3