in

Sebab Faizal Tahir Tidak Bawa Lagu Assalamualaikum di Separuh Akhir Muzik Muzik

Memetik berita dari portal Berita Harian, semasa sidang media One Night Only yang berlangsung semalam, penyanyi, Faizal Tahir mengkhabarkan dia tidak membawakan lagu Assalamualaikum pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik pada 6 Disember depan berikutan pertembungan jadual rakaman sebuah program televisyen yang sudah dipersetujuinya lebih awal pada tarikh sama.

Sehubungan itu, beliau menolak desas-desus menyatakan dirinya sengaja enggan menyertai pertandingan terbabit disebabkan isu tertentu. Katanya, apa juga perkara yang disebarkan belum tentu sahih selagi bukan keluar daripada mulutnya sendiri, terutama berhubung pembabitannya dalam pertandingan lagu itu.

“Orang luar mungkin boleh membuat sebarang andaian, tetapi kalau bukan saya sendiri yang mengeluarkan kenyataan atau terbit daripada mulut saya, ia tidak benar.

“Cuma saya harap kemunculan saya dalam mana-mana pun edisi Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas ini adalah disebabkan impak positif kepada khalayak, bukannya kerana pihak penerbitan mahu saya berada di situ.

“Kali ini saya mahu Assalamualaikum mara dalam pertandingan ini bersandarkan kekuatan melodi, seni kata, susunan muzik dan mesejnya, bukan disebabkan Faizal Tahir yang menyanyi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyertaan di dalam Muzik Muzik dan AJL30. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Faizal Tahir – One Night Only di sebuah hotel, di sini, petang tadi.

Konsert berkenaan akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 30 November ini. Terdahulu, menerusi majlis pengumuman lagu yang mara ke peringkat separuh akhir AJL ke-30, di Balai Berita, hari ini, pihak produksi memaklumkan Assalamualaikum yang juga ciptaannya bersama Omar K, Ezra Kong, Audi Mok dan Mike Chan bakal dipersembahkan oleh Tomok.

Faizal berkata, sememangnya penyanyi pengganti yang akan mendendangkan Assalamualaikum pada peringkat terbabit nanti adalah pilihannya sendiri.

“Saya sudah ada orang lain yang mampu mendendangkan lagu ini. Beliau mempunyai aura, mampu menguasai pentas selain boleh mengawal situasi. Saya rasa beliau dapat memikul amanah dengan baik. “Seperti yang saya tegaskan, Assalamualaikum boleh dibawakan penyanyi lain atau 10 orang berbeza sekali pun, bukan bergantung pada Faizal Tahir,” ulasnya yang menyerahkan kepada produksi Muzik Muzik bagi mengumumkan calon penggantinya.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau bakal muncul pada malam kemuncak AJL andai lagu itu mara ke akhir, katanya ia bergantung kepada kesesuaian waktu.

“Syukur jika Assalamualaikum ke pentas final. Saya menghasilkan lagu itu pun bukan kerana mahu menang anugerah. Ia patut diangkat kerana mesej yang meninggalkan impak positif kepada semua,” katanya.

Sebelum ini, pada September 2012 penyanyi berusia 36 tahun itu membuat pengumuman menerusi rancangan Muzik Muzik dirinya tidak akan menyertai pertandingan itu untuk berehat seketika.

Menerusi edisi tahun lalu, beliau kembali semula ke gelanggang AJL, tetapi sebagai juri. Penyanyi yang dicalonkan dalam MTV EMA, baru-baru ini, pernah lima tahun berturut-turut beraksi di pentas akhir AJL bermula tahun 2007 hingga 2011.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Event STAR WARS: THE FORCE AWAKENS di Mid Valley

Budiey Cyrill Hassan | 23

Peraduan Menangi MY BEAUTY HERBS SLIMMING SCRUB