in , ,

Sarimah Ibrahim Kembali Bergabung dengan Damian, Lahirkan Single HARAPAN

Selepas lebih lima tahun tidak menjejakkan kaki ke studio rakaman, akhirnya, Che Puan Sarimah Ibrahim kembali merakamkan lagu baharu.

Kali terakhir, isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar yang juga cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 ini, muncul dengan single Destinasiku yang diterbitkan bersama Damian Mikhail pada 2015.

Bagaimanapun, tahun ini, ibu Tunku Sofia Najihah ini memberanikan diri tampil dengan single Harapan yang disifatkan sebagai projek istimewa.

Sarimah yang ‘meledak’ dengan single Kini Kau Tiada pada 2001 hingga dinobatkan Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM), kembali bekerjasama dengan Damian.

“Minat menyanyi tidak pernah berkubur. Cuma, seiring peningkatan usia, tumpuan banyak beralih kepada perkara lain, termasuk rumah tangga.

“Namun, sesekali kenapa tidak asah semula bakat menyanyi, dapat juga melepaskan rindu.

“Lagu Harapan ciptaan Damian dan Harits Agustin berentak pop R&B. Saya kongsi idea menghasilkan lirik bersama Azian M Nor.

“Malah, Damian menjadi rakan duet saya dalam lagu itu,”

– Sarimah Ibrahim
SARIMAH IBRAHIM

Sarimah yang berdarah kacukan Ireland-Melayu berkata, stigma masyarakat terhadap kes bunuh diri dan peningkatan masalah mental membuatkan dia dan Damian terpanggil menghasilkan Harapan.

“Projek ini bermula dengan perbincangan santai bersama ‘orang kuat’ Program AWAS (Awareness Againts Suicide) Malaysia di bawah Yayasan Zuriatcare.

“Akhirnya diputuskan medium lagu dirasakan kaedah paling kuat yang boleh meresap jiwa pendengar.

“Lagu dan video muzik Harapan akan dilancarkan 10 September ini sempena Hari Kesedaran Bunuh Diri Sedunia,”

– Sarimah Ibrahim

Sebelum ini, Sarimah yang menjadi pengasas bersama dan Duta Kempen #StandForHope sering terbabit dalam program kesedaran kesihatan mental.

“Saya banyak memberi sokongan terhadap aktiviti masalah mental sejak dua tahun lalu. Saya muncul dalam program bual bicara, menjadi ahli panel dan membuat lintas langsung dalam media sosial.

“Saya terfikir bagaimana cara menyentuh hati khalayak mengenai isu ini. Akhirnya, dapat idea untuk mencipta lagu yang memberi penerangan selain menyentuh hati mengenai topik bunuh diri,”

– Sarimah Ibrahim

Sarimah berharap single dihasilkan menjadi perangsang buat masyarakat yang berdepan masalah emosi.

“Kami sangat berharap lagu ini mendapat sokongan semua pihak dan mengurangkan stigma orang ramai terhadap kesihatan mental.

“Lirik Harapan masih berkisar kesakitan tetapi berpegang kepada harapan. Masih ada hari esok dan dan jangan putus asa,” katanya.

– Sarimah Ibrahim

Dengan tanda pagar #StandForHope dan beberapa ‘teaser’ sudah dikongsi di laman sosial, Sarimah berharap masyarakat dapat memberi sokongan kepada single Harapan.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tampilkan Bakat Kreativiti Anda di 7 Pusat Kraftangan Terbaik di Selangor!

Unfold New Mobile Experiences and Make That Switch to Galaxy Today!