in ,

Sarawak Kini Jadi Destinasi Bonus Malaysia Airlines di Kuching

Pengumuman Besar Di MATTA Fair Kuala Lumpur 2025 Membawa Nama Sarawak Ke Persada Dunia Sebagai Destinasi Wajib Singgah Untuk Semua Pengembara Antarabangsa

Sarawak bakal melakar sejarah baharu apabila Kuching diumumkan sebagai destinasi ke-8 dalam program Bonus Side Trip (BST) oleh Malaysia Airlines. Pengumuman ini berlangsung sempena MATTA Fair Kuala Lumpur 2025, yang bukan sahaja menjadi pentas terbesar industri pelancongan negara, malah tempat paling tepat untuk membawa berita baik ini kepada khalayak luas.

Majlis pelancaran rasmi akan diadakan pada 6 September 2025 di MAG Arena, Level 3, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Ia akan disempurnakan dengan simbolik jabat tangan antara Puan Sharzede Datu Haji Salleh Askor, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB) bersama Encik Dersenish Aresandiran, Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG). Acara ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam perjalanan pelancongan Sarawak menuju Visit Malaysia Year 2026.

Bonus Side Trip Membuka Lebih Banyak Peluang Untuk Pelancongan

Program Bonus Side Trip (BST) adalah inisiatif eksklusif Malaysia Airlines yang memberi peluang kepada pelancong antarabangsa untuk menambah destinasi domestik tanpa bayaran tambang tambahan. Mereka hanya perlu menanggung cukai lapangan terbang sahaja. Dengan pengumuman ini, Sarawak menjadi satu-satunya destinasi di Borneo yang tersenarai dalam BST, sekali gus meletakkan Kuching sebaris dengan bandar-bandar besar di Semenanjung.

Kerjasama erat antara STB dan MAG yang dimeterai sejak tahun 2024 kini menunjukkan hasilnya. Puan Sharzede menegaskan:

Penyertaan Kuching dalam program Bonus Side Trip mencerminkan kerjasama kukuh yang telah kami bina dengan Malaysia Aviation Group sejak menandatangani Memorandum Persefahaman pada tahun 2024. Langkah ini membuktikan bagaimana kerjasama bersama syarikat penerbangan nasional mampu membuka peluang baharu untuk Sarawak, dengan menjadikan ia lebih mudah diakses oleh pelancong antarabangsa. Melalui inisiatif ini, Sarawak bukan sahaja meluaskan capaian antarabangsa, malah memperkukuh komitmen terhadap pertumbuhan pelancongan lestari menjelang Visit Malaysia Year 2026.”

Sarawak Sebagai Pintu Gerbang Ke Borneo

Dengan penyertaan dalam BST, Sarawak diposisikan sebagai “Natural Gateway to Borneo”. Apa yang menjadikan Sarawak unik ialah penawarannya yang lengkap berteraskan CANFF – Culture, Adventure, Nature, Food dan Festivals.

Pelancong antarabangsa akan dapat merasai kehidupan 34 etnik berbeza, meneroka dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Gunung Mulu National Park dan Niah National Park, serta menikmati keunikan gastronomi di Kuching yang telah diiktiraf sebagai UNESCO Creative City of Gastronomy.

Tidak ketinggalan, Sarawak juga terkenal dengan festival bertaraf dunia seperti Rainforest World Music Festival yang saban tahun menarik ribuan peminat muzik antarabangsa. Keseluruhan pakej inilah yang menjadikan Sarawak sebagai destinasi “all-in-one” – satu pengalaman pelancongan yang jarang-jarang dapat ditandingi oleh destinasi lain.

MATTA Fair Pentas Terbaik Pamerkan Warna-Warni Sarawak

Walaupun pengumuman ini lebih menyasarkan pelancong antarabangsa, MATTA Fair Kuala Lumpur tetap menjadi pentas paling strategik untuk berhubung dengan pelancong tempatan. Dari 5 hingga 7 September 2025, pengunjung boleh melawat Pavilion Sarawak di MITEC, Level 1, Domestic Zone (Booth 1Q03–1Q22).

Di sana, sebanyak 19 pempamer akan mempersembahkan produk dan pakej pelancongan menarik. Pengunjung boleh menyaksikan persembahan muzik tradisional Sape, alunan magis seruling hidung, serta demonstrasi langsung seni kraf seperti tatu tradisional, batik dan hasil tangan etnik.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti mesra keluarga seperti permainan interaktif, trivia, hadiah cabutan bertuah dan mendapatkan cenderamata edisi terhad khas dari Pavilion Sarawak.

Sarawak Terus Menjadi Destinasi ‘More To Discover’

Dengan keaslian budaya, keindahan alam semula jadi, serta keterbukaan untuk menerima pelancong dari seluruh dunia, Sarawak sentiasa memberi pengalaman berbeza kepada setiap pengunjung. MATTA Fair kali ini menjadi titik mula terbaik untuk rakyat Malaysia sendiri merancang percutian ke negeri yang kaya dengan keajaiban semula jadi ini, sebelum dunia menyambut Visit Malaysia Year 2026.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi www.sarawaktourism.com atau ikuti Facebook Visit Sarawak dan Instagram @sarawaktravel.

Apa Kata Budiey?

Bagi saya, langkah ini adalah strategi bijak untuk memastikan Sarawak terus relevan di pentas pelancongan global. Apabila Kuching menjadi sebahagian daripada program Bonus Side Trip, ia secara tidak langsung membuka pintu lebih luas untuk pelancong asing singgah di Borneo tanpa halangan kos.

Saya percaya, dengan penawaran CANFF – Culture, Adventure, Nature, Food, Festivals – Sarawak memang ada “full package” yang mampu buat pelancong rasa rugi kalau tak datang. Malah, dengan persediaan menuju Visit Malaysia Year 2026, ini masanya Sarawak tampil lebih agresif dalam mempromosikan keunikan yang tiada tandingan.

Kalau nak jujur, inisiatif ini bukan sahaja tentang menambah bilangan pelancong, tetapi bagaimana Sarawak mampu mengekalkan daya tarikan autentik sambil memelihara kelestarian budaya dan alam sekitar. Jadi, bagi saya, ini bukan sekadar berita baik – ia sebenarnya satu permulaan baharu untuk jenama Sarawak sebagai “More to Discover” di mata dunia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tourism Selangor Lancar Geran Pelancongan RM300,000 Tahun 2025