in , ,

Samsung Onyx Bawa Pengalaman Sinematik Terunggul Untuk Filem ‘Flow’

Layar LED Gergasi Samsung Onyx Hidupkan Setiap Butiran Filem Animasi Pemenang Golden Globes Dan Oscar Dengan Visual Yang Memukau

Bila sebut tentang menonton filem di pawagam, kita selalu fikir tentang skrip yang mantap, lakonan yang hebat dan muzik latar yang menusuk jiwa. Tapi hakikatnya, pengalaman sinematik sebenardatang daripada gabungan semua elemen itu dengan teknologi visual yang mampu menghidupkan setiap inci layar. Itulah misi Samsung Onyx, teknologi layar LED pawagam generasi baharu yang mula menggantikan sistem projektor tradisional.

Berbanding projektor biasa, Onyx bukan sekadar memberi paparan yang terang dan jelas. Ia memberikan warna yang lebih pekat, hitam yang lebih dalam dan butiran yang begitu tajam sehingga penonton rasa seperti berada dalam dunia filem itu sendiri. Peralihan ini bukan perubahan kecil – ia ibarat kita beralih daripada televisyen hitam putih ke televisyen 4K HDR dalam sekelip mata.

Tidak hairanlah, nama-nama besar dalam industri filem mula melihat Onyx sebagai medium terbaik untuk mempamerkan karya mereka. Antaranya, Matīss Kaža, pengarah, penulis dan penerbit dari Latvia yang memenangi Golden Globe® dan Oscar® menerusi filem animasi tanpa dialog Flow (2024).

Photo 10_Samsung Onyx Meets Golden Globes® Winner Matīss Kaža, Producer of Flow

Filem Flow – Kisah Kucing Penyendiri Dalam Dunia Baharu Yang Mengubah Segala-Galanya

Flow bukan sekadar filem animasi biasa. Ia adalah puisi visual tanpa sebaris dialog yang mengisahkan seekor kucing penyendiri. Hidupnya berubah apabila banjir besar memusnahkan rumahnya, memaksanya berkongsi sebuah bot dengan haiwan-haiwan lain. Dari situ bermulalah perjalanan untuk belajar bekerjasama, membina kepercayaan dan membentuk persahabatan dalam dunia baharu yang sunyi tanpa manusia.

Matīss menyatakan, “Kami mahu penonton merasakan pengalaman kucing itu sendiri. Tiada dialog bermakna semua emosi, konflik dan perubahan perlu disampaikan sepenuhnya melalui visual.” Pendekatan ini menjadikan setiap warna, pencahayaan, bayangan dan pergerakan dalam Flow sangat penting – dan di sinilah Onyx memainkan peranan besar.

Onyx – Warna Lebih Menyala, Hitam Lebih Dramatik

Dalam Flow, dunia sekeliling penuh dengan warna-warna cerah seperti kuning, hijau dan biru, manakala kucing utama berwarna kelabu gelap. Kontras ini adalah jiwa penceritaan visual filem. Di skrin Onyx, perbezaan ini bukan sahaja jelas, malah lebih hidup dan dramatik.

Matīss menambah, “Di Onyx, anda akan nampak jelas setiap perincian – dari kupu-kupu kecil yang berterbangan di taman arca rumah kucing hingga riak cahaya di bulunya. Semua itu memberi rasa tenang dan suasana yang kami mahu sampaikan.”

Bagi penonton biasa, ini bukan sekadar ‘gambar lebih cantik’. Ia adalah pengalaman immersive yang membuatkan anda terasa berada di sisi kucing itu, menyaksikan setiap detik dari jarak dekat.

Photo 7_Samsung Onyx Meets Golden Globes® Winner Matīss Kaža, Producer of Flow

Gerakan Haiwan Yang Benar-Benar Hidup

Kekuatan Flow juga datang daripada pergerakan haiwan yang sangat realistik. Pasukan produksi melakukan kajian mendalam terhadap tingkah laku setiap spesies, dari cara seekor kucing menggerakkan telinga hingga cara seekor burung menukar arah terbang.

“Kami mahu setiap pergerakan terasa organik dan jujur. Kalau ada bunyi yang menarik perhatian kucing, ia tak terus memusingkan kepala, tapi hanya memusingkan telinga,” jelas Matīss.

Di skrin biasa, detail kecil sebegini mungkin terlepas pandang. Tetapi di Onyx, anda boleh nampak jelas kedipan mata, gerakan otot, dan perubahan halus pada ekspresi – menjadikan dunia Flow terasa benar-benar hidup.

Air Sebagai Simbol Dan Naratif

Air dalam Flow bukan sekadar latar atau efek visual. Ia adalah metafora utama tentang perubahan, kehilangan dan pembaharuan. Dari riak kecil di awal cerita hingga ombak besar yang membawa klimaks, setiap pergerakan air memberi makna kepada perjalanan emosi kucing itu.

Matīss mengakui bahawa mencipta kesan air yang realistik adalah antara cabaran terbesar produksi ini. “Dengan Onyx, perbezaan antara riak kecil di awal cerita dan di penghujungnya dapat dilihat dengan sangat jelas. Ini penting untuk menyampaikan mesej kami,” katanya.

Photo 1_Samsung Onyx Meets Golden Globes® Winner Matīss Kaža, Producer of Flow

Tanpa Dialog, Visual Adalah Segalanya

Kerana Flow tiada dialog, ia bergantung sepenuhnya pada kekuatan visual. Setiap babak dirancang dengan teliti – dari palet warna, tahap kontras, pencahayaan hingga ke kedalaman medan pandangan. Semua elemen ini bekerja bersama untuk membina mood, atmosfera dan momentum penceritaan.

“Onyx memaparkan visual kami seperti yang kami lihat dalam studio, tanpa kompromi. Warna-warna menyerlah, butiran halus jelas, dan suasana yang kami mahukan sampai kepada penonton tanpa hilang makna,” kata Matīss.

Inspirasi Untuk Projek Masa Depan

Bagi Matīss, teknologi seperti Onyx bukan sahaja meningkatkan kualiti tontonan, malah memberi inspirasi kepada cara beliau menghasilkan projek akan datang. “Saya suka bila pengalaman menonton membuatkan penonton terlibat secara aktif dengan cerita. Onyx memberi kejelasan, warna dan kedalaman yang mengingatkan kita kenapa layar besar itu penting,” katanya.

Beliau percaya Onyx juga boleh menjadi jawapan kepada masalah lama dalam dunia pawagam – perbezaan kualiti visual antara satu pawagam dengan pawagam lain. Dengan pendekatan seragam Onyx, pengalaman menonton boleh menjadi konsisten dan setaraf di seluruh dunia.

Apa Kata Budiey?

Sebagai pemerhati dan penggemar filem, Budiey melihat Onyx bukan sekadar teknologi paparan baru. Ia adalah transformasi besar dalam cara kita menikmati filem di pawagam. Dalam era di mana penonton semakin cerewet dengan kualiti tontonan, teknologi seperti ini menjadi penentu sama ada pengalaman menonton itu biasa-biasa atau benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

Bagi filem seperti Flow yang sarat dengan simbolisme visual, Onyx ibarat memberi penonton akses terus ke dalam imaginasi pembikin filem. Setiap warna, setiap gerakan, setiap butiran kecil yang sebelum ini mungkin hilang di skrin biasa kini boleh dinikmati dengan jelas.

Budiey percaya masa depan pawagam akan bergerak ke arah ini – pengalaman sinematik yang lebih teliti, kaya dan jujur. Kalau mahu rasa betul-betul ‘hidup’ dalam dunia filem, carilah pawagam yang menggunakan Onyx. Bila lampu padam, bersedialah untuk hanyut… dan biarkan cerita itu flow.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Lancar Penerbangan Terus Kota Kinabalu Ke Fukuoka Melalui Taipei