in , ,

Samsung & Maybank Jalin Kerjasama Strategik Dorong Kehidupan Lebih Hijau

Inisiatif Bijak Gabungkan Teknologi AI, Kewangan Lestari Dan Kehidupan Pintar Untuk Masa Depan Lebih Mampan

Samsung Malaysia Electronics dan Maybank baru sahaja mengumumkan satu kerjasama strategik yang bakal mengubah landskap kehidupan pintar rakyat Malaysia. Dengan misi untuk menggalakkan gaya hidup lebih hijau dan lestari, gabungan ini mengangkat teknologi bertenaga rendah dan dikuasakan oleh kecerdasan buatan Samsung, bersama penyelesaian pembiayaan mampan daripada Maybank.

Dibawah visi bersama bertajuk “Connected Solutions, Simplified Growth. Greener Tomorrow for All.”, kolaborasi ini menyasarkan isi rumah, perniagaan dan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melangkah ke arah kehidupan pintar yang lestari dan mesra alam.

Teknologi Hijau Samsung Dan Komitmen Maybank Terhadap Alam Sekitar

Samsung kini giat melaksanakan inisiatif global untuk mencapai sifar karbon dan penggunaan 100% tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050. Antara tumpuan utama mereka termasuklah inovasi teknologi bersih, pengurangan pelepasan karbon, dan amalan ekonomi bulat (circular economy) yang menjadikan teknologi mereka lebih mampan dalam jangka panjang.

Sementara itu, Maybank pula telah melepasi sasaran pembiayaan lestari kumulatif sebanyak RM80 bilion, malah mencatatkan jumlah agihan mencecah RM115.17 bilion. Dalam tahun kewangan 2024, Maybank juga berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 53%, membuktikan komitmen serius mereka dalam memastikan peralihan yang adil ke arah ekonomi rendah karbon.

Samsung Maybank Package

Saling Melengkapi Demi Rakyat Dan Perniagaan Tempatan

Kerjasama ini bukan sahaja terhad kepada pengguna biasa, tetapi turut meliputi pelbagai segmen pelanggan Maybank – daripada individu sehinggalah ke perniagaan besar. Ia membawa potensi besar dalam mewujudkan ekosistem mampan yang lebih bersepadu, didorong oleh penyelesaian teknologi canggih Samsung dan kepakaran kewangan lestari Maybank.

Menurut Charles Kim, Presiden Samsung Malaysia Electronics:

“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan inovasi rumah pintar Samsung dengan perkhidmatan kewangan Maybank yang dipercayai, untuk menyediakan masa depan yang lebih hijau dan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Kami sedang membina asas kepada kehidupan yang lebih pintar, hijau dan saling berhubung – penuh dengan kemungkinan baru.”

Sementara itu, Syed Ahmad Taufik Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank pula berkata:

“Kami melihat potensi besar dalam gabungan dua peneraju inovasi ini untuk mencipta penyelesaian bermatlamat yang boleh diakses dan diukur – bukan hanya untuk pengguna tetapi juga kepada PKS dan syarikat korporat yang mahu beralih ke arah ekosistem lebih mampan dan saling berhubung.”

Fasa Pertama: Perkenalkan Pakej Rumah Pintar Dengan Pembiayaan MyDeco

Fasa pertama kerjasama ini memperkenalkan pakej rumah pintar yang direka khas merangkumi peralatan pintar jimat tenaga dari Samsung yang disertakan dengan skim pembiayaan MyDeco daripada Maybank. Ini memudahkan pemilik rumah untuk melakukan naik taraf rumah secara lestari dan lebih pintar, tanpa tekanan kewangan yang berat.

Pakej ini akan merangkumi:

  • Peralatan rumah Samsung Bespoke AI
  • Skrin pintar dan peranti Galaxy
  • Kesemua peranti ini disepadukan melalui platform Samsung SmartThings

Dengan teknologi seperti AI Energy Mode, sistem ini dapat menjangkakan keperluan tenaga secara pintar untuk mengurangkan penggunaan, manakala Samsung Knox memberikan perlindungan berlapis bagi keselamatan data pengguna.

Manakala MyDeco pula merupakan solusi pembiayaan pertama seumpamanya di Malaysia, dikhususkan untuk pelanggan sedia ada Pembiayaan Rumah Maybank dan Maybank Islamic. Skim ini membolehkan pelanggan mendapatkan sehingga 120% daripada nilai hartanah untuk menampung kos reka bentuk dalaman, kelengkapan dan perabot.

Program ini akan mula dilancarkan secara eksklusif kepada pelanggan MyDeco mulai Mei 2025 di Semenanjung Malaysia, sebelum diperluas ke seluruh negara.

Untuk mendaftar atau mengetahui maklumat lanjut tentang program ini, layari: https://maybank.my/samsung
Untuk info lanjut mengenai produk Samsung, layari: https://www.samsung.com/my

Samsung Maybank Package

Apa Kata Budiey? 

Kolaborasi antara dua gergasi – Samsung dan Maybank – ini bukan sekadar berita baik, tapi satu petunjuk jelas bahawa masa depan gaya hidup pintar dan lestari di Malaysia sedang dimulakan sekarang. Budiey melihat inisiatif ini sebagai satu contoh kerjasama bijak antara teknologi dan kewangan, di mana pengguna bukan saja mendapat manfaat dari segi keselesaan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada perubahan besar terhadap kelestarian alam sekitar.

Dengan penyelesaian seimbang yang menggabungkan kepraktisan dan inovasi, Budiey berharap lebih banyak syarikat besar akan ikut jejak langkah ini, demi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah masa depan yang pintar, selamat dan lestari.

Jika anda pemilik rumah atau sedang mencari cara untuk naik taraf rumah tanpa membebankan kewangan, program ini memang patut diberi perhatian. Bukan sekadar upgrade biasa – ini adalah upgrade gaya hidup hijau.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sertai vivo V50 Lite Roadshow di Sunway Velocity & Menangi Hadiah