Samsung sekali lagi menggoncang dunia teknologi dengan pelancaran Samsung Galaxy S25 FE, model terbaru dalam siri S25 yang bakal menjadi pilihan pengguna yang mahukan kuasa AI, kamera berkelas flagship dan ketahanan bateri yang mengagumkan – tetapi pada harga lebih mampu milik.
Mengikut pengumuman rasmi di Seoul pada 4 September 2025, Galaxy S25 FE digelar sebagai “gateway” atau pintu masuk kepada ekosistem Galaxy AI yang semakin berkembang. Ia bukan sekadar telefon pintar, tetapi lebih kepada teman digital yang memahami, membantu dan memudahkan hidup seharian pengguna.
Jay Kim, Executive Vice President Samsung Electronics, berkata:
“Galaxy S25 FE memainkan peranan penting sebagai pintu masuk ke dalam ekosistem Galaxy AI, menjadikan pengalaman ini lebih mudah dicapai oleh lebih ramai pengguna. Dengan AI yang lebih peribadi serta alat fotografi dan penyuntingan berkuasa AI, Galaxy S25 FE memberikan lebih ramai orang peluang untuk menikmati kemudahan dan kreativiti dalam kehidupan seharian mereka.”
AI Yang Lebih Pintar, Lebih Dekat Dengan Pengguna
Perkara paling besar yang dibawa oleh Galaxy S25 FE ialah pengalaman Galaxy AI yang dipertingkat melalui sistem One UI 8. Telefon ini hadir dengan agen AI multimodal – maksudnya, ia boleh memahami suara, sentuhan dan visual secara serentak.
Contohnya, fungsi Gemini Live membolehkan pengguna bertanya soalan dengan hanya menghalakan kamera. Nak pilih baju sesuai dengan cuaca di Seoul? Hanya tunjuk pada kamera, tanya soalan, dan AI akan jawab dengan cadangan yang logik serta mudah difahami.
Bukan itu sahaja, Galaxy S25 FE juga menampilkan Now Bar yang memberi info penting terus di skrin kunci – dari notifikasi muzik, jadual harian, trafik hinggalah kepada ringkasan kesihatan. Semuanya tersusun kemas tanpa perlu buka banyak aplikasi.
Paling menarik untuk gamers, ada fungsi Circle to Search with Google. Hanya bulatkan objek atau cabaran dalam game, tips dan taktik akan muncul tanpa mengganggu permainan. Mudah dan seamless.
Keselamatan Data Lebih Kukuh Dengan Knox
Samsung tak main-main soal privasi. Galaxy S25 FE hadir dengan Knox Enhanced Encryption Protection (KEEP) yang memastikan setiap aplikasi ada storan data tersendiri. Maksudnya, maklumat peribadi anda tidak bercampur dan dilindungi oleh Knox Vault. Dalam dunia digital yang semakin berisiko, langkah ini memang jadi selling point utama.
Kamera AI Yang Serius Hebat
Kalau bab kamera, Samsung memang jarang mengecewakan. Galaxy S25 FE dikuasakan oleh ProVisual Engine dengan peningkatan kamera hadapan 12MP untuk selfie lebih jelas dan natural.
Fungsi Generative Edit pula bagaikan editor peribadi. Ia secara automatik boleh kesan orang lalu-lalang dalam gambar dan cadangkan untuk padam. Tak perlu susah-susah edit manual. Malah, Portrait Studio membolehkan penciptaan avatar dengan ekspresi wajah yang lebih realistik.
Bagi penggemar video, ada Instant Slow-mo yang boleh jadikan apa-apa rakaman biasa kepada slow motion hanya dengan satu tap. Kalau bunyi bising jadi masalah, fungsi Audio Eraser boleh asingkan suara, muzik atau bunyi angin – memberi kawalan penuh kepada pengguna.
Samsung juga kekalkan kehebatan Nightography, dengan low noise mode untuk gambar malam yang lebih bersih serta Super HDR untuk video berwarna hidup dan kontras mantap.
Prestasi Bateri Dan Reka Bentuk Premium
Galaxy S25 FE dilengkapi bateri 4,900mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W. Dalam masa lebih kurang setengah jam sahaja, bateri boleh dicas sehingga 65%. Ditambah pula dengan ruang vapor chamber 10% lebih besar, ia memastikan telefon tak cepat panas walaupun digunakan lama untuk gaming atau multitasking.
Dari segi reka bentuk, telefon ini mengekalkan DNA siri Galaxy S – ringkas, elegan dan tahan lasak. Bingkai Armor Aluminum yang dipertingkat memberi lebih perlindungan. Skrin 6.7 inci Dynamic AMOLED 2X dengan refresh rate 120Hz pula menawarkan visual yang cukup lancar dan immersive.
Galaxy S25 FE juga hadir dalam warna-warna berani: Navy, Jetblack, Icyblue, dan White. Samsung jelas mahu tarik minat pengguna muda yang sukakan pilihan personaliti pada gajet mereka.
Harga Dan Ketersediaan Di Malaysia
Untuk pasaran Malaysia, Galaxy S25 FE mula dijual pada 19 September 2025 dengan harga:
- RM3,099 (256GB)
- RM3,699 (512GB)
Samsung turut memberi jaminan tujuh generasi OS upgrades dan tujuh tahun kemas kini keselamatan – sesuatu yang jarang ditawarkan pesaing pada harga sebegini.
Apa Kata Budiey?
Kalau nak jujur, Galaxy S25 FE memang dicipta untuk jadi “pintu masuk” terbaik ke dunia AI Samsung. Ia bukan sekadar telefon mid-range biasa – ia membawa ciri flagship seperti kamera berkuasa AI, bateri besar, pengecasan pantas, serta kemas kini panjang bertahun-tahun.
Dengan harga bawah RM4,000, ia jelas satu tawaran padu untuk mereka yang nak rasa pengalaman Galaxy S25 tanpa perlu bayar harga premium. Bagi Budiey, inilah model yang akan jadi kegemaran ramai – terutama generasi muda yang mahukan AI assistant, kamera mantap, dan reka bentuk trendy dalam satu pakej.
Soalnya sekarang, adakah Galaxy S25 FE cukup kuat untuk buat pengguna iPhone atau jenama lain beralih ke Samsung? Itu kita kena tunggu dan lihat, tapi dari apa yang ditawarkan, ia memang ada potensi besar.