in ,

Saman RM500,000 Terhadap Zizan Ditolak Kerana Tiada Bukti

Mahkamah Tinggi mengetepikan saman RM500,000 yang difailkan oleh bekas pembantu peribadi pelawak dan pelakon, Zizan Razak terhadap artis itu berhubung pembekuan akaun Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame).

Hakim Datuk John Louis O’Hara membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Zizan, 31, yang merupakan defendan kedua.

Zizan Razak

Dalam saman berkenaan, Marina Juki, 31, selaku plaintif mendakwa mengalami keaiban tetapi wanita itu gagal menunjukkan bagaimana beliau mengalaminya, kata hakim itu ketika mengumumkan keputusannya.

Beliau berkata, plaintif juga gagal mendapatkan kebenaran untuk memohon tindakan dikenakan terhadap defendan ketiga iaitu Wire Fame seperti yang diperlukan mengikut Seksyen 181 A(1) Akta Syarikat 1965.

Hakim itu memerintahkan kos RM10,000 dibayar kepada Zizan dan RM10,000 kepada defendan pertama, Maybank Islamic Berhad.

Pada 30 September 2014 lalu, Marina menyaman Maybank Islamic Berhad, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Ab. Razak dan Wire Fame kerana peranan mereka dalam pembekuan akaun syarikat itu.

Marina mendakwa mengalami kerugian besar kerana artis yang bernaung di bawah syarikat berkenaan tidak lagi berminat membaharui kontrak masing-masing. Peguam Harjit Sandhu mewakili Marina manakala Zizan dan Wire Fame masing-masing diwakili peguam Rishwant Singh dan Jimmy Liew.

sumber: Bernama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kisah Bantal Busuk Cairkan Hati Marsha Londoh

Ronald McDonald House Charities Celebrates 25 years in Malaysia