in

Salam Takziah, Mimi Loma Meninggal Dunia Dalam Tidur

Kira-kira pukul 2.19 pagi, Sabtu, pelakon dan penyanyi popular era 1960-an, Mimi Loma telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur.

Menurut anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, arwah kurang sihat kebelakangan ini kerana masalah kesihatan. Kata Sherina lagi, arwah yang berusia 75 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pergi dan meninggal dunia semasa dalam tidur. 

“Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula. Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. 

“Apabila dipanggil, arwah tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respons perlahan. Sebelum ini arwah okay sahaja, cuma beberapa hari ini dia cirit birit dan kurang selera makan. Kelmarin arwah nampak lemah dan keadaan masih belum baik. 

“Malam tadi pernafasannya mula perlahan. Saya tidak sedap hati dan memeriksa pernafasan dalam pukul 2 pagi… arwah masih bernafas, cuma semakin perlahan. 

“Tak lama selepas itu dia pergi dengan tenang di hadapan kami. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak. Sebelum pergi pun dia tak ada cakap apa-apa dan tiada sebarang tanda ingin pergi… semuanya macam biasa. 

“Arwah tidak sakit tenat, namun mungkin kepenatan disebabkan tidak sihat, malam sebelumnya. Selalunya, apabila bangun arwah akan segar semula. Namun, saya tidak menyangka itu petanda ibu akan pergi selama-lamanya,”

Jenazah Allahyarham Mimi atau nama sebenar Aminah Ismail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pukul 11 pagi Sabtu. 

Mimi sebelum ini mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu. 

Gara-gara insiden itu, adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail ini mengalami patah tulang pinggul dan perlu melakukan pembedahan. 

Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu. Untuk makluman, Mimi aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem ‘Ahmad Albab’ pada 1968. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Walau Semalam Polis Ke Rumah Cari Bahan Bukti, Apa Yang Ebit Lew Buat Hari Ini Ramai Respek

Ditanya Tentang Zuriat, Ini Jawapan Remy Ishak Sebelum Dinikahkan dengan Ezza Yusuf