in

Sakit Tekak Aina Bukan Penghalang di Konsert Mentor Legend

Protégé Mentor Legend, Aina telah dinobatkan persembahan terbaik pada malam Konsert Battle 1, Kumpulan B malam tadi. Dalam keadaan yang tidak sihat, beliau telah melontarkan vokalnya sehabis boleh demi membuktikan bakatnya kepada pencinta Mentor Legend. Berkat usaha Aina dan Ella, telah membuahkan hasil apabila kedua-dua mereka telah Berjaya membawa pulang sebuah Komputer riba jenama HP setiap seorang.

Dengan lagu pilihannya, Sesal Separuh Nyawa nyanyian asal Alyah, Aina telah mendapat pujian Juri Tetap, Azmeer, sebagai satu persembahan yang cukup matang. Pengawalan vokal dan pernafasan Aina dalam menyembunyikan sakit tekaknya telah mendapat perhatian semua juri termasuk Juri Awam dan undian penonton.

aINA & ELLA

Menurut Aina, “Lagu Sesal Separuh Nyawa ini memang antara lagu kegemaran saya, dan kebetulan Kak Ella menyuruh saya menyanyikan lagu itu pada minggu ini. Jadi seperti orang mengantuk disorongkan bantal, saya berikan yang terbaik. Namun saya masih muda dan masih banyak lagi yang perlu saya belajar dari Mentor saya, Ella. Berkaitan dengan imej saya, seperti yang ditegur oleh Juri Tetap, saya serahkan kepada Mentor saya untuk mengubahnya, asalkan tidak melanggar syariah.”

Selain Aina, Nadeera juga telah mendapat perhatian Juri Tetap, terutama Azmeer yang mengatakan Nadeera telah menyanyi dengan sempurna. Terutama dalam persembahan solonya, lagu ‘Kerna Ku Sanggup’, nyanyian asal Agnes Monica yang dikatakan telah dinyanyikan dengan indah dengan pengawalan nada dan suaranya.

Namun, tidak ketiga-tiga protégé telah membuat persembahan yang baik. Persembahan Azmil kelihatan sedikit hambar. Mentornya, Dayang Nurfaizah juga mengakui bahawa Azmil kelihatan sedikit terganggu sejak belakangan ini.

Satu kelainan pada konsert Mentor Legend minggu ini adalah persembahan pembukaan konsert menampilkan Kumpulan Briged dari program Pop Krew di TV9. Briged telah membuat persembahan bersama Tomok dengan lagu asal Tomok sendiri, ‘Berlari’. Ini merupakan satu pengiktirafan untuk kumpulan Briged setelah dinobatkan Persembahan Terbaik minggu lepas, dan juga sebagai promosi Pusingan Akhir Pop Krew, yang akan berlangsung pada 27 Disember 2014, 8.30 malam di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

Mengekalkan format pemarkahan yang sama seperti musim-musim yang sebelumnya iaitu 30% dari undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS), 50% dari Juri Tetap, dan 20% dari Juri Awam. Para pencinta Mentor Legend boleh mengundi Protégé Mentor Legend dengan menaip MENTOR untuk satu undian atau MENTOR5 untuk lima undian diikuti dan hantar ke 33399. Setiap satu undian akan dikenakan caj sebanyak RM 0.50. Contohnya MENTOR AZMIL dan hantar ke 33399.

Program Mentor Legend yang mengandungi 13 episod ini diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian Isa dan dibantu oleh Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku penerbit. Kali ini, Mentor Legend menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara program, Shiha Mentor sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend.

Selain itu, Zuan Azmi (Bikin Panas) bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Musim ini turut mempersembahkan Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik, Azmeer sebagai Penasihat Vokal, dan Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan.

Ikuti konsert mingguan Mentor Legend yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam hingga 10.30 malam. Penonton juga boleh saksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor Legend, setiap hari Ahad selama 30 minit bermula jam 6.00 petang pada 30 November.

Untuk menonton siaran ulangan setiap program Mentor Legend, boleh didapati melalui portal video Tonton (www.tonton.com.my). Program ini juga mendapat sokongan Hot FM selaku radio rasmi, dan peminat setia Mentor Legend boleh mendapatkan informasi Mentor Legend melalui frekuensi radio 97.6 di sekitar Lembah Klang.

Azmil

aina

Zainal Abidin

dayang n azmil

juri

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Groupon Lancar MY KL BY LISA SURIHANI

RTM Raikan Hari Natal Bersama Penonton