in

Saingan Ceria Superstar Musim Kedua Bermula

Berikutan kejayaan dan maklum balas positif daripada para penonton, pihak Astro Ceria dengan berbesar hati membawakan program realiti yang berkonsepkan pertandingan tarian khusus untuk kanak-kanak iaitu Ceria Superstar yang kini kembali menceriakan hujung minggu anda untuk musim yang kedua dengan pengisian yang lebih mantap dan segar. Program Ceria Superstar Musim 2 bakal ditayangkan pada setiap hari Ahad, jam 11.30 pagi bermula 27 Oktober 2013 secara eksklusif menerusi saluran 611.

Menarik lagi, program Ceria Superstar masih mengekalkan Khairil Azam Pilus atau Aril sebagai pengacara serta Datuk Aznil Hj. Nawawi atau Pak Nil yang sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai penaung untuk musim yang kedua ini. Selain daripada itu, program Ceria Superstar juga akan diserikan lagi dengan kehadiran koreografi yang cukup dikenali dalam bidang tarian iaitu Belalang dan Alam Wakaka yang merupakan juri tetap untuk musim ini.

[pullquote align=”right”]Pentas Ceria Superstar Musim Kedua Kini Dibuka. Lapan peserta cilik berentap untuk menggondol wang tunai RM20, 000![/pullquote]

Setelah menjelajah ke empat buah lokasi iaitu Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, akhirnya lapan finalis terbaik telah dikenal pasti untuk bersaing di atas pentas Ceria Superstar bagi musim yang kedua. Lapan finalis tersebut merupakan peserta berkumpulan iaitu Kumpulan THE IMPOSSIBLE KREW (T.I.K.), Kumpulan ZEPPO YOUNGSTERZ CREW, Kumpulan WARISAN N9, Kumpulan NATION ONE, Kumpulan 3 ANGELS, Kumpulan DIAMONIQ, Kumpulan REBORN 6 CREW dan Kumpulan THE GLAM GIRLS.* Sila rujuk Lampiran untuk butiran lanjut mengenai para peserta.

Juara Ceria Superstar bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM 20,000. Naib juara pula bakal memenangi RM 15,000. Manakala pemenang tempat ketiga RM 10,000 serta tempat keempat akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Cik Hadzelynda Khairuddin berkata:

“Selaku saluran yang cukup sinonim dengan penerbitan program-program yang disasarkan khusus untuk kanak-kanak, pihak Astro Ceria tidak pernah jemu untuk terus membekalkan program hiburan berkualiti yang menghiburkan untuk disajikan kepada para penonton.

Justeru, kami bawakan kembali pertandingan tarian Ceria Superstar yang telah mendapat tempat di hati para penonton sekaligus berjaya mengumpul kelompok pengikutnya yang tersendiri berdasarkan kejayaan program ini pada musim lalu.

Kekuatan Ceria Superstar adalah pada konsep dan formatnya yang unik dan tersendiri kerana ia menawarkan platform dan peluang untuk si cilik memperlihatkan bakat dalam bidang tarian sekaligus menempa nama dalam bidang ini. Ia tidak hanya memberikan hiburan semata-mata malah turut mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat dan cergas menerusi aktiviti fizikal yang diterjemahkan dalam bentuk seni tarian. Aktiviti seperti ini juga boleh disifatkan sebagai satu bentuk senaman yang menyeronokkan.

Program ini juga dilihat sebagai satu platform untuk mereka mengenali karakter serta membina keyakinan diri melalui aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan di samping mendidik mereka mengenai kerjasama dalam sesebuah pasukan. Di samping memberi hiburan buat seisi keluarga, Ceria Superstar ini juga memainkan peranan penting dalam melatih kecergasan dan membina keyakinan di kalangan mereka.

Program yang bakal bersiaran selama 10 episod ini akan membawa penonton melihat perkembangan setiap peserta. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh para perserta pada setiap minggu. Episod minggu pertama juga akan menampilkan sesi ujibakat berserta ‘bootcamp’ sebagai perserdiaan untuk kelapan-lapan peserta yang telah terpilih. Manakala minggu kedua hingga minggu kesembilan akan bermulalah cabaran mingguan dengan pelbagai tema untuk setiap minggu.

Bagi merancakkan lagi kemeriahan untuk musim ini, dua buah program tambahan baru turut diperkenalkan iaitu Ceria Superstar Xtra dan Ceria Superstar Backstage yang pastinya menghiburkan para penonton dengan pengisiannya yang cukup menarik.

Bakal bersiaran selama 10 episod, program Ceria Superstar Xtra akan menyiarkan pelbagai aktiviti menarik, sesi latihan dan kisah menarik mengenai para perserta sekaligus memberi peluang kepada para penonton untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Menarik lagi, program ini turut menampilkan adik Wafiy sebagai hos yang telah dicungkil bakatnya menerusi program Ceria Popstar dan Ceria Superstar Musim Pertama terbitan Astro Ceria sebelum ini. Program ini boleh ditonton pada setiap hari Sabtu, jam 11.30 pagi bermula 2 November 2013.

Manakala program Ceria Superstar Backstage pula bakal bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 11.40 pagi bermula 2 November 2013. Program yang dihoskan oleh adik Farhanna Qismina atau lebih dikenali sebagai Sweet ini bakal memaparkan perkara yang berlaku ‘di sebalik tabir’ iaitu kejadian sewaktu sebelum, semasa dan selepas rakaman. Para penonton kini boleh menonton temubual secara santai bersama juri tetap, koreografer, penaung dan sebagainya menerusi program ini.

Pentas Ceria Superstar Musim Kedua

Pentas Ceria Superstar Musim Kedua

Pentas Ceria Superstar Musim Kedua

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cabaran Lebih Hebat Over The Top Musim Ke-2

Sebab Mengapa Konsert Kesha Warrior Tour in Malaysia Dibatalkan