in ,

Rumah Mawi Dimasuki Perompak

Rumah Mawi dipecah masuk, dua perompak ditembak mati

JOHOR BARU: Empat perompak telah memecah masuk rumah penyanyi Asmawi Ani atau Mawi di Felda Taib Andak, Kulai Jaya pada pukul empat pagi semalam. Dalam operasi susulan, pihak polis telah menembak mati dua suspek lelaki Indonesia manakala dua orang suspek lagi berjaya melarikan diri.

Ibu Mawi, kakak, abang ipar dan lima ahli keluarganya sedang tidur ketika rumah mereka diceroboh. Perompak-perompak tersebut berjaya melarikan telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas.

Salah seorang ahli keluarga yang sedar akan kejadian itu telah menelefon pihak polis. Polis berjaya mengesan suspek tersebut di sebuah ladang kelapa sawit yang berdekatan kira-kira 5km dari rumah Mawi.

Perompak tersebut keluar dari kenderaan mereka dan menyerang pihak polis menggunakan parang. Pihak polis terpaksa menembak mati dua suspek untuk mempertahankan diri, manakala dua lagi suspek berjaya melarikan diri. [sumber]

Ini pula dipetik dari Berita Harian:

KULAI JAYA: Polis menembak mati dua perompak warga Indonesia tengah hari semalam, kira-kira lapan jam selepas mereka bersama dua lagi rakan merompak rumah ibu penyanyi terkenal, Mawi atau Asmawi Ani di Felda Taib Andak, di sini.

KAKAK Mawi, Rashidah menunjukkan bagaimana ibunya dicekik perompak yang memecah masuk rumah mereka, semalam. Gambar kecil Teratak Bonda di Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

Empat lelaki dipercayai berusia antara 20 dan 30 tahun bersenjatakan parang, memecah rumah ibu Mawi, Teratak Bonda, kira-kira jam 4 pagi semalam, dipercayai melalui pintu belakang sebelum melarikan telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM8,000.

Ketika kejadian, terdapat sembilan orang di rumah berkenaan termasuk ibu Mawi, Ramlah Sarlan; kakaknya, Rashidah Ani, 38; suami Rashidah, Sahrom Saji, 40, serta tiga anak; adik Mawi, Asmidah Ani, 22, dan dua anak saudara penyanyi itu.  

Bertindak atas maklumat berkenaan, polis menubuhkan satu pasukan khas terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri serta Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya bagi menjejaki kumpulan perompak terbabit.

Difahamkan, usaha menjejaki kereta perompak terbabit berhasil, selepas polis mendapat maklumat orang ramai bahawa ada sebuah kereta mencurigakan masuk ke ladang kelapa sawit, Ladang Fraser yang terletak kira-kira lima kilometer dari Felda Taib Andak.

Berikutan itu, pasukan polis mengepung kawasan berkenaan, dan mengarahkan empat perompak terbabit menyerah diri tetapi mereka bertindak menyerang anggota polis mengakibatkan dua daripada mereka ditembak mati manakala dua lagi berjaya meloloskan diri.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, berkata dua perompak yang ditembak mati dikenali sebagai Marwa, 30, dari Mataram, Batam dan Roni Aslah, 29, dari Tanjung Pinang.

“Mereka masuk ke Johor menggunakan pasport sah masing-masing pada Jumaat minggu lalu serta Khamis lalu, dan kereta yang digunakan perompak ini, jenis Proton Waja dilaporkan dicuri di Taman Pelangi, di sini, Oktober lalu,” katanya.

Jalaludin berkata, polis turut menemui sebahagian barang kemas disamun dari rumah ibu Mawi dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyamun seperti kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 dan 395 Kanun Keseksaan dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan dua lagi perompak yang dipercayai masih berada di sekitar Kulaijaya.

SEBAHAGIAN senjata serta barangan yang ditemui selepas polis menembak mati dua daripada empat penjenayah yang memecah masuk rumah Mawi di Felda Taib Andak, semalam.

Sementara itu, Rashidah yang sedang mengandung lapan bulan ketika ditemui berkata, mereka sekeluarga melalui detik mencemaskan selama kira-kira 10 minit.

Beliau berkata, kepalanya serta ibu, Ramlah diketuk beberapa kali selain rantai dan gelang mereka diragut salah seorang perompak terbabit.

“Saya tidur di tingkat bawah bersama dua anak, manakala ibu di bilik lain di tingkat bawah terkejut apabila mendengar bunyi bising dan mendapati terdapat empat lelaki di dalam rumah, berpakaian ala ninja sebelum salah seorang daripada mereka bertindak mencekik leher bagi mengelak saya menjerit. Bagaimanapun, saya terjerit kerana ketakutan menyebabkan kepala saya diketuk sebanyak tiga kali dengan ulu parang sebelum saya terus memeluk anak dan meminta mereka (anak) juga tidak membuat bising,” katanya.

Beliau berkata, rantai dan gelang diragut dalam kejadian itu sebelum salah seorang daripada perompak terbabit memasuki bilik Ramlah lalu mencekik serta merampas rantai dan gelang.

“Suami yang tidur di dalam bilik di tingkat atas kemudian keluar dan ketika menuruni tangga ternampak perompak terbabit menyebabkannya lari semula ke atas sebelum salah seorang daripada perompak mengejarnya ke dalam bilik,” katanya.

Sementara itu Mawi ketika dihubungi selepas selesai perlawanan Liga Futsal HotFm 2009 di Sabah petang semalam mengakui panik dan bimbang sebaik diberitahu mengenai kejadian yang menimpa keluarganya. Mawi mengakui kejadian berkenaan bukanlah yang pertama kali, sebaliknya sudah masuk kali ketiga sejak sebelum bergelar juara Akademi Fantasia 3 lagi.

“Memang kejadian kali ini agak menakutkan dan ganas kerana penjenayah bertindak lebih berani menggunakan senjata selain bertopeng,” tambahnya yang berbangga atas kecekapan polis menumpaskan dua daripada empat penjenayah berkenaan kurang daripada 24 jam selepas kejadian.

Asmawi Ani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Keadaan Kesihatan Yasmin Ahmad Bertambah Buruk

Yasmin Ahmad Meninggal Dunia