in ,

RTM Siar LOG PAHLAWAN Simbolik Hargai Jasa Pahlawan Negara

Keberanian dan pengorbananmu dikenang. Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari “Log Pahlawan” yang merupakan simbolik menghargai jasa pahlawan negara mulai 18 Julai ini, setiap Rabu, pukul 4.05 petang di TV1.

13 episod berkongsi dengan penonton semangat keperwiraan 25 wira negara yang terdiri daripada anggota tentera, anggota polis dan anggota Jabatan Penjara yang dianugerahkan dengan pingat SP dan Panglima Gagah Berani (PGB). Menariknya penceritaan dibuat melalui temu ramah bersama ahli keluarga, rakan-rakan seperjuangan dan penerima anugerah sendiri serta lakon semula kejadian.

poster Log Pahlawan

Episod pengenalannya mengimbas kembali perjuangan, keberanian, pengorbanan dan sejarah kehidupan penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa Konstabel Abu Bakar bin Ngah Wahab anggota polis yang terkorban pada 15 Ogos 1968 sewaktu menentang pengganas komunis di Bukit Betong sempadan Malaysia dan Thailand serta Encik Kartar Singh, pegawai penjara yang mempertaruhkan nyawanya sewaktu menghalang percubaan melarikan diri empat banduan di penjara Pulau Pinang pada tahun 1970.

Seterusnya kisah Koperal 1351 Yeap Sean Hua, Detektif Di Cawangan Siasatan Khas, IPK Kuala Lumpur yang terkorban serta keberanian Konstabel Fong Thean Kit, Polis tugas am, Balai Polis Setapak yang berjaya menangkap penjenayah walaupun telah cedera dalam insiden tembak menembak dengan penjenayah pada bulan April 1971 di Setapak Kuala Lumpur.

Ikuti juga paparan kisah Sarjan Ngalinuh Bala dan Mata-mata Etin Bijam. Kedua-duanya telah menunjukkan keberanian yang luar biasa sewaktu terlibat dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Sibu Sarawak pada tahun 1972.

Turut menarik perhatian dua wira negara dari 69 Komando. ASP Mohd Zabri bin Abdul Hamid yang dikenali sebagai ‘Harimau Berantai’ yang gugur di medan pertempuran dengan komunis pada 4 September 1975 Gerik Perak dan ACP Abdul Razak bin Mohd Yusoff yang berjaya menyelesaikan konflik tanpa pertumpahan darah dengan pengikut Al-Ma’unah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak semasa OPS Subuh pada bulan Julai 2000.

Mengimbas kembali perjuangan, keberanian dan pengorbanan penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa dua wira negara dari Cawangan Khas Polis di Raja Malaysia, Datuk Paul Kiong yang pernah menyamar dan tinggal bersama-sama dengan anggota komunis di hutan Perak bagi mendapatkan maklumat dan akhirnya berjaya menumpaskan mereka dan bekas Sub Inspektor Salihuddin Saisi dari Cawangan Khas Polis di Raja Malaysia Kuala Lumpur yang berjaya menumpaskan anggota komunis dalam satu operasi di Jalan Loke Yew Kuala Lumpur pada bulan Februari 1978.

Berikutnya perkongsian tentang Koperal 75748 Mohd Nosruddin Che Yeop satu-satunya penerima anugerah dari Pasukan Simpanan Persekutuan PDRM. Beliau telah terkorban ketika berusaha menyelamatkan rakan sepasukan ketika rusuhan yang berlaku di Pusat Tahanan Imigresen Semenyih pada 26 Mac 1998.

Tidak dilupakan kisah Kapten Mohana Chandran a/l Velyuthan dari Batalion ke 4 Rejimen Ranger Diraja. Beliau telah terkorban dalam pertempuran ketika mengetuai satu misi khas menjejak pengganas komunis dalam operasi Ops Iblis di hutan Ulu Kinta Perak pada 13 Jun 1971.

Ada juga cerita dua wira negara dari Pasukan Gerak Khas. Truper Rasli Buang terkorban ketika pertempuran melawan komunis dalam operasi Ops Iblis pada 3 Julai 1971 di Ulu Kinta, Perak dan Lans Koperal Saimon bin Tarikat yang terkorban ketika operasi di Titi Kuala Kelawang Negeri Sembilan tahun 1983.

Diteruskan dengan wira negara dari pasukan Askar Melayu Diraja. Kapten Hamid bin Awang yang terlibat dalam pertempuran melawan anggota komunis PARAKU di hutan Gunung Puih Lundu Sarawak 1973 dan berjaya menyelamatkan anggotanya dari terbunuh.

Episod berikutnya penghormatan kepada Pahlawan Iban khususnya kepada Lt. Kol (B) Robert Rizal Abdullah bekas ketua Kompeni 3 Ranjer, merupakan penerima anugerah Pingat Panglima Gagah Berani kerana usahanya yang berjaya menumpaskan pengganas komunis dalam pertempuran di Asajaya, Sarawak pada 10 Julai 1993.

Turut ditonjolkan keberanian dua penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa iaitu Major Zainal b. Abdul Rashid daripada Batalion ke 17 RAMD yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam operasi Ops Gubir2 Kedah pada tahun 1976 dan Lt Muda Abdul Hamid b. Ismail daripada Batalion ke 3 RAMD yang terkorban ketika pertempuran dengan anggota pengganas komunis di Kulim Kedah pada 8 September 1973.

Penghormatan juga diberikan kepada Koperal Mat Aznan Awang daripada batalion ke 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) yang terkorban dalam misi menyelamatkan anggota tentera Amerika yang terperangkap di dalam peristiwa pertempuran di Mogadishu, Somalia pada 3 Oktober 1993 dan Sarjan Mohd. Sabri b. Ahmad penerima Pingat Panglima Gagah Berani yang menunjukkan keberanian luar biasa di dalam misi yang sama.

Episod akhir memberi penghormatan kepada Jeneral iaitu Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini b. Mohd Said satu-satunya penerima anugerah Seri pahlawan Gagah perkasa yang berpangkat Leftenan Jeneral. Terkenal kerana penglibatannya dalam Ops Subuh dan kejayaan menangkap ketua militan Al-Ma’unah, di Bukit Jenalik, Sauk, Perak pada 6 Julai 2000. Diikuti Mejar Jeneral (B) Datuk Abdullah bin Babu, penerima pingat Panglima Gagah Berani kerana kejayaan memimpin pasukan dan berjaya membunuh anggota pengganas komunis pada 24 Mac 1979 sewaktu berkhidmat di kem Semengong, Kuching, Sarawak.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lagu Guns N ‘Roses Meraih Sebilion Tontonan di YouTube

Family Showdown Game Show Terbaru di ntv7