in , ,

RTM Siar Filem APPALAM Arahan Afdlin Shauki, Tonton di TV2

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Spice of India pada 2 April ini, pukul 2.00 petang di TV2 menyiarkan filem ’Appalam’, sebuah kisah drama komedi keluarga yang diangkat daripada filem terbaik Festival Filem Malaysia 22, PAPADOM.

Menampilkan pelakon utama Gana Pragasam sebagai Appalasamy yang membawa peranan bapa kepada Shruti lakonan Raja Ilya. Menariknya flem ini turut didukung oleh Jaclyn Victor, Haani Shivraj, Kristina Vinokree, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Mengangkat tentang sosial budaya kaum India di Malaysia, ceritanya berlegar kisah Samy (Appalasamy) menyara keluarga melalui gerai kecil menjual nasi daun pisang dan appalam yang mendapat sambutan kerana keenakan resipi turun-temurunnya. Samy dan isteri, Nalaini kemudian dikurniakan bayi perempuan, Shruti. Samy berazam untuk memberi kesenangan kepada Nalaini dan Shruti. 

RTM Siar Filem APPALAM Arahan Afdlin Shauki, Tonton di TV2

Perniagaan Samy semakin maju dan beliau berjaya membuka restoran bersama kawan-kawan baiknya, Hassan dan Wong. Namun ada harga yang terpaksa dibayar. Samy semakin sibuk dengan perniagaan makanan, menyebabkannya kurang memberi perhatian terhadap keluarga terutama si kecil, Shruti.

Ketika Shruti menginjak usia 10 tahun, Nalaini terlibat dalam kemalangan semasa bergaduh dengan Samy di talian telefon. Wasiat Nalaini agar Samy menjaga Shruti dengan baik. Samy berjanji akan menunaikannya. Bermulalah kehidupan Samy sebagai ibu dan bapa kepada Shruti. Segala keperluan Shruti disediakan dan segala pergerakan Shruti diperhatikan.

Masa berlalu Shruti sudah 17 tahun. Shruti semakin rimas dengan sikap bapa yang melayannya seperti anak kecil yang perlu dikawal itu ini. Selepas SPM, Shruti mahu belajar di Kuala Lumpur agar dia mampu berdikari. Samy bersetuju membenarkan Shruti pergi bersama kawan baiknya, Siti. Namun, tanpa pengetahuan Shruti, Samy momohon kerja sebagai tukang kebun di kolej agar dia sentiasa dapat mengawasi Shruti.

Shruti memulakan kehidupan baru di kampus tanpa gangguan bapanya. Dia bertemu dengan pelbagai ragam manusia, antaranya Shasha, Booty Slap dan Vassan. Shruti mula berubah sejak berkawan rapat dengan Booty Slap, tanpa menyedari yang pemuda tersebut sebenarnya berniat jahat. Shasha rasa cemburu kerana dia beranggapan dirinya lebih popular berbanding Shruti.

Samy pula tanpa jemu meneruskan misi ’rahsia’ mengintip pergerakan Shruti, antaranya rancangan menggagalkan siri temujanji Shruti dan Booty Slap. Pelbagai perkara pelik dilakukan oleh Samy termasuk mengajar Vassan bagaimana mahu menambat hati Shruti, mengajak Vassan mengekori Shruti dan Booty Slap, serta menyamar menjadi hantu untuk menakutkan Booty Slap.

Adakah Booty Slap berjaya memperdaya Shruti? Adakah Shruti bakal mengetahui semua rancangan bapanya itu? Dan mampukah Vassan memenangi hati Shruti? Selusuri gelak tawa, suka duka, kasih dan sayang dua generasi menerusi ’Appalam’.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Kata Penonton Tentang Filem LOGAN

MTV Launches New Southeast Asia Music Chart Show