Bila bercakap tentang penyakit pernafasan, ramai antara kita mungkin hanya fikir tentang selesema atau batuk biasa. Tapi, realitinya, ada satu virus yang lebih licik dan diam-diam menjadi mimpi ngeri setiap ibu bapa dan anak-anak muda yang ada orang tua di rumah — iaitu Virus Respiratori Sinsitial (RSV). Ramai yang tak tahu betapa besar ancaman RSV ini sebenarnya, bukan sahaja kepada bayi yang baru lahir, malah kepada warga emas yang sudah lama menempuh liku-liku hidup.
RSV: Virus Yang Selalu Disalah Tafsir Tapi Boleh Membawa Padah
Ramai di antara kita yang mungkin anggap RSV ini sekadar “selesema budak-budak”. Hakikatnya, RSV adalah antara punca utama bayi bawah enam bulan dimasukkan ke hospital dan menyebabkan kematian secara senyap. Kalau tengok statistik global, lebih 33 juta kanak-kanak bawah lima tahun dijangkiti setiap tahun. Lebih menakutkan, hampir 100,000 kanak-kanak maut akibat komplikasi RSV.
Warga emas pun tak terkecuali. Golongan yang sudah sedia ada penyakit seperti diabetes, asma atau masalah jantungmemang mudah terdedah dengan komplikasi serius, sampai ada yang mengidap pneumonia atau kegagalan paru-paru hanya kerana diserang virus ini. Malangnya, ramai yang tak ambil peduli atau tak kenal pun virus ini — sehinggalah ada ahli keluarga sendiri masuk ICU.
Dr. Gan Chin Seng, Pakar Pediatrik dan Intensif Pediatrik, berkongsi pengalaman getir beliau,
“Kami pernah melihat bayi yang sihat sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hanya dalam beberapa hari disebabkan RSV. Salah satu perkara yang paling sukar pernah saya alami ialah melihat seorang bayi bertarung untuk bernafas, manakala ibu bapanya hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa. Ia amat menyayat hati, dan situasi ini telah saya saksikan berkali-kali.”
Di Malaysia, RSV berlegar sepanjang tahun, tetapi ‘mengganas’ semasa musim monsun. Waktu hujan, Unit Rawatan Rapi Pediatrik akan ‘full house’ dengan bayi yang memerlukan bantuan oksigen dan mesin pernafasan. Cuba bayangkan, bayi yang baru beberapa minggu, sudah pun bertarung nyawa!
Ibu Hamil: Jangan Ambil Mudah, Langkah Pencegahan Bermula Dari Rahim
Dr. Gayathri Mariappa pernah merasa sendiri peritnya menjadi ibu kepada bayi empat bulan yang dijangkiti RSV,
“Saya masih ingat ketakutan yang menyelubungi hati saya. Walaupun saya seorang doktor, tiada apa yang dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi perasaan tidak berdaya apabila melihat anak sendiri sukar bernafas dan memerlukan bantuan oksigen serta rawatan nebulisasi. Detik itu telah mengubah sepenuhnya cara saya berbincang dengan pesakit mengenai langkah pencegahan.”
Lepas pengalaman pahit itu, Dr. Gayathri tekad untuk menyedarkan ibu-ibu hamil tentang pentingnya imunisasi dan penjagaan awal. Tahukah anda, vaksin semasa kehamilan boleh memindahkan antibodi pelindung kepada bayi, dan memberi perlindungan sementara pada bulan-bulan pertama hidup mereka — waktu paling kritikal sebelum bayi cukup umur untuk divaksinasi?
Katanya lagi,
“Imunisasi untuk ibu hamil membentuk perisai pelindung untuk bayi anda. Ia umpama menyelimuti mereka dengan selimut yang tidak kelihatan, yang melindungi mereka daripada jangkitan yang mengancam nyawa sebelum mereka menghela nafas pertama.”
Di Malaysia, vaksin tetanus, influenza, dan pertusis memang sudah digalakkan untuk ibu hamil. Tetapi, vaksin khusus RSV belum lagi menjadi amalan biasa — walaupun pakar global tengah giat kaji kesan positifnya. Apa pun, langkah pencegahan ini wajar diambil serius sebab permulaan hidup anak bergantung pada usaha ibu hari ini.
Kesan RSV: Bukan Sekadar Statistk, Tapi Luka Emosi Dan Beban Kewangan
Apa yang jarang disebut dalam berita ialah kesan emosi dan tekanan kewangan akibat RSV ini. Kajian dari Netherlands (BRICK Study) dapati, 30% ibu bapa yang anak mereka masuk hospital kerana RSV alami tekanan pascatrauma. Di Malaysia pun sama, bila anak atau orang tua jatuh sakit, keluarga terpaksa cuti kerja, bayar bil hospital mahal dan setiap hari hidup dalam kebimbangan yang tak pernah dirancang.
Kata Dr. Gayathri,
“Jika kita dapat mencegah walaupun satu keluarga daripada mengalami apa yang telah dilalui oleh keluarga saya, segala usaha ini amat berbaloi.”
Warga Emas: Simptom Ringan Tapi Risiko Berat
Masalah utama bila bercakap tentang RSV dalam kalangan warga emas ialah gejala yang selalu dipandang ringan. Biasanya hanya letih, demam ringan atau keliru — semua ini selalu dianggap sebagai tanda penuaan. Tapi, bila lambat bertindak, boleh jadi sudah melarat kepada pneumonia, kegagalan jantung atau kematian senyap.
Menurut Dr. Gan,
“Kebiasaannya, warga emas memandang ringan gejala awal. Malangnya, apabila mereka mendapatkan rawatan, keadaan mereka selalunya jauh lebih serius daripada apa yang mereka sangkakan.”
Keluarga Malaysia: Tinggal Serumah, Risiko Berganda
Satu lagi realiti rakyat Malaysia — kediaman pelbagai generasi. Bila cucu, ibu bapa dan datuk-nenek duduk bawah satu bumbung, risiko jangkitan memang melambung. Masa musim raya atau tempoh berpantang, satu batuk kecil pun boleh bawa bencana jika tak berhati-hati.
Dr. Gayathri menekankan,
“Perlindungan terhadap RSV dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam sesebuah keluarga. Apabila seorang ibu hamil dilindungi, bayi dalam kandungan turut mendapat perlindungan. Apabila seorang datuk atau nenek dilindungi, mereka turut membantu melindungi seluruh isi rumah. Ia adalah tentang kepentingan saling menjaga antara satu sama lain merentas generasi.”
Pencegahan, Imunisasi Dan Peranan Setiap Generasi
Petugas kesihatan menasihatkan semua ibu hamil untuk berbincang tentang imunisasi dengan doktor semasa lawatan antenatal. Anak-anak dewasa pula perlu pastikan ibu bapa mereka ambil vaksin pernafasan terkini, terutamanya musim hujan.
Gejala RSV yang mesti diperhatikan: batuk, berdehit, kesukaran bernafas, letih luar biasa, kurang selera makan, dan bagi warga emas, kekeliruan mendadak. Jangan tunggu sampai kritikal baru bertindak!
Dr. Gan menegaskan,
“Vaksinasi bukan hanya untuk mereka yang sedang sakit. Ia juga adalah untuk mereka yang sihat dan ingin kekal sihat. Bagi golongan yang paling berisiko, pencegahan membawa ketenangan fikiran.”
Apa Kata Budiey?
Jujurnya, masyarakat Malaysia perlu lebih cakna dan berani tanya doktor tentang RSV — jangan selesa sangat dengan stigma ‘benda ni tak akan jadi pada keluarga aku’. Kalau kita sendiri tak ambil tahu, sampai bila-bila pun kesedaran masyarakat tak ke mana. Dalam dunia yang makin kompleks dan berisiko, setiap hela nafas memang berharga — dari nafas pertama bayi hingga nafas terakhir warga emas yang kita sayang.
Bagi Budiey, inisiatif vaksinasi perlu didesak jadi amalan nasional, terutama untuk ibu hamil dan warga emas. Kalau negara maju sudah ke depan, takkan Malaysia nak tunggu sampai lebih ramai mangsa? Sudah sampai masanya untuk kita jadikan perlindungan RSV sebagai tanggungjawab bersama, bukan lagi pilihan peribadi.
Tak perlu tunggu tragedi baru nak sedar. Jadilah generasi yang memutuskan rantai jangkitan, bukan penyambungnya.