in ,

Reputasi Tercalar, Pengasas Produk Nilam Tuntut Balas Ganti Rugi RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan tindakan tegas dua personaliti terkenal, Nilam dan Azlan Komeng, yang memfailkan tuntutan balas ganti rugi berjumlah RM5 juta terhadap sebuah syarikat susulan dakwaan fitnah dan tindakan mencemar nama baik yang didakwa menjejaskan reputasi, perniagaan serta kehidupan peribadi mereka.

Keputusan memfailkan tuntutan itu dibuat selepas pelbagai kecaman dan fitnah tersebar di media sosial dan industri hiburan, sehingga menyebabkan jualan produk merudum, kehilangan pelbagai peluang kerjaya serta tekanan emosi dan mental yang berpanjangan.

“Kami sudah lama bersabar dan enggan bertindak balas secara terbuka. Namun, apabila maruah keluarga dan hal peribadi mula dijadikan bahan fitnah, kami tidak ada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang,” jelas Nilam.

Pelancaran Dua Produk Baharu Nilam Anggun Nilam Suri Massage Oil

Rasa Kecewa, Sedih & Tertekan

Nilam turut menambah, “Perasaan kecewa, sedih dan tertekan itu bukan hanya kami yang rasa, tetapi seluruh keluarga turut menanggung akibatnya. Setiap hari kami terpaksa menjawab persoalan dan menerima pandangan serong dari masyarakat yang hanya mendengar sebelah pihak.”

Nilam dan Azlan turut menjelaskan bahawa nilai tuntutan RM5 juta adalah berasaskan impak besar terhadap kerjaya, kehidupan dan perniagaan mereka.

“Nilai ini sebenarnya kecil berbanding kerugian sebenar yang kami alami, termasuk kehilangan kepercayaan rakan industri, stigma masyarakat, dan trauma yang berpanjangan,”

– Nilan

Tambah Nilam lagi, “Bukan mudah untuk membersihkan nama yang sudah tercemar. Kadang-kadang, walau apa pun penjelasan yang diberi, masyarakat tetap memilih untuk mempercayai apa yang tular di media sosial.”

Selain tuntutan material, kedua-dua figura ini turut menuntut permohonan maaf terbuka daripada syarikat berkenaan serta usaha membetulkan semula persepsi masyarakat terhadap mereka.

“Kami mahu permohonan maaf yang jujur dan ikhlas, bukan sekadar untuk memenuhi syarat undang-undang. Biarlah isu ini menjadi pengajaran supaya masyarakat lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang tidak sahih,”

– Azlan Komeng
AZLAN KOMENG - 1

Masih Buka Pintu Rundingan

Mengenai proses rundingan, mereka memaklumkan masih terbuka untuk berbincang secara damai, namun menegaskan terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipenuhi pihak syarikat sebelum persetujuan boleh dicapai.

Setakat ini, tiada usaha rasmi dari pihak syarikat untuk menyelesaikan kes ini secara rundingan.

“Kami masih ada ruang untuk perdamaian, namun prinsip dan maruah tidak boleh dikompromi. Kebenaran perlu ditegakkan dan kami yakin sistem kehakiman negara akan memberi keadilan kepada kami,” tegas Nilam.

Dalam satu kenyataan, Nilam turut memberi nasihat khusus kepada golongan selebriti dan orang ramai: “Jangan terlalu mudah percaya kepada janji manis atau kata-kata manis sesiapa pun. Simpan segala bukti perbincangan dan jangan serahkan sepenuhnya kepercayaan kepada sesiapa dalam urusan profesional.”

Impak dari Tercetusnya Isu Ini

Nilam turut mengakui pengalaman ini memberi kesan besar dalam hidupnya. “Peristiwa ini benar-benar mengajar saya tentang erti ketabahan dan siapa kawan yang benar-benar ikhlas. Parut di hati mungkin takkan hilang, tapi saya yakin setiap pengalaman pahit ada hikmahnya,” ujarnya.

Difahamkan, kes ini akan terus berjalan di mahkamah sekiranya tiada penyelesaian dicapai antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat. Apa pun keputusannya, kisah Nilam dan Azlan memberi peringatan kepada ramai bahawa fitnah dan pencemaran nama baik tidak boleh dipandang ringan, khususnya dalam dunia hiburan yang penuh cabaran dan persaingan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tak Tahan Lagi Pendam, AGY Bongkar Kisah Lama & Trauma Sejak Kecil