in ,

Raja Azmi Dilarang Ke UiTM?

Penulis novel KARKUMA, Raja Azmi Raja Sulaiman sekali lagi dilarang daripada mengadakan pertemuan bersama pelajar universiti. Slot dialog bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu sepatutnya berlangsung pada Ahad 26 Oktober 2014 bersempena dengan ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM Shah Alam.

Raja Azmi dijemput untuk mengisi slot festival seni mereka pada 15 Oktober 2014 lalu dan bersetuju untuk diadakan tayangan filem …DALAM BOTOL dan diikuti dengan sessi dialog bersama orang ramai.

Filem …DALAM BOTOL merupakan filem terbitan Raja Azmi dan diarahkan oleh Khir Rahman. Namun, pada pagi hari yang dijadualkan (26 Oktober), pihak Merpati Jingga mendapat panggilan yang memaklumkan bahawa Raja Azmi tidak dibenarkan mengadakan sessi tersebut. Menurut surat pembatalan yang dihantar sendiri oleh Pengarah Program Rul Iman Nur Rahidzab dengan tangan pada jam 1 tengahari, kami dimaklumkan bahawa ia merupakan arahan daripada pihak atasan UiTM Shah Alam dan dipercayai dinaungi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM. Surat pembatalan dilampirkan sebagai rujukan.

Raja Azmi Bertudung

Pihak kami berusaha untuk bertemu dengan mana-mana pihak atasan yang dinyatakan di dalam surat berkenaan untuk mendapat penjelasan tetapi malangnya tiada sesiapa yang tampil untuk bersemuka dengan wakil kami mahupun Raja Azmi sendiri yang sudah sampai ke tapak acara bagi slot tersebut.

Bagi pihak Raja Azmi dan penerbit novel KARKUMA, kami menganggap tindakan pihak HEP yang menghalang Raja Azmi untuk berdialog dengan para pelajar adalah suatu yang tidak professional dan cuba untuk menjatuhkan airmuka beliau.

Dalam sessi yang lain, penulis buku puisi Tulangkata, Taufiq Azhar yang juga dijemput oleh pihak penganjur ArtFest mendakwa puisi yang sepatutnya dibaca di pentas terbuka Dewan Sri Budiman dipaksa menyerahkan kepada pihak penganjur untuk dipantau. Taufiq yang juga menerbitkan tulisan beliau di bawah label Merpati Jingga memaklumkan bahawa beliau hanya dibenarkan membaca puisi yang diluluskan oleh pihak penganjur.

Untuk pengetahuan, semua jemputan dibuat oleh pihak penganjur kepada pihak kami atas dasar sukarela dan tidak menyediakan sebarang bayaran.

Kami ingin menekan di sini bahawa halangan-halangan sebegini bukanlah etika dalam penganjuran sesebuah festival. Notis yang dikeluarkan pada saat-saat akhir acara telah menyusahkan banyak pihak. Seperti UIAM Kuantan, kami merasakan pihak HEP UiTM Shah Alam juga bertindak sebagai polis moral yang mengongkong kebebasan berkarya dan untuk memperoleh pengetahuan.

Sebelum ini, Raja Azmi pernah dihalang untuk mengadakan sessi dialog bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan pada 18 Oktober lalu.

Pihak Merpati Jingga ingin menyatakan di sini bahawa pihak penganjur yang ingin menjemput mana-mana penulis atau artis kami agar memeriksa dahulu dengan pihak atasan mereka sebelum menyusahkan banyak pihak.

Sessi penampilan Raja Azmi dan promosi KARKUMA tetap diteruskan di MPH Nu Sentral pada 9 November 2014 pada pukul 1-2pm dan MPH SACC Mall Shah Alam pada 16 November 2014, 2-4pm.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menang Pass Berkaraoke Bersama DE’MEISES di Red Box

Senarai Pencalonan Akhir Festival Filem Malaysia 26