in , , ,

Astro Originals Pertaruhkan Gabungan Dua Pengarah Muda Dalam PROJEK: ANCHOR SPM

‘Projek: Anchor SPM’ Bawa Penonton Kenang Memori Zaman Persekolahan

Astro menampilkan sebuah lagi drama bersiri premium terbaru menerusi jenama Astro Originals, bertajuk Projek: Anchor SPM yang menggantikan Kampong Pisang Bersiri-Siri. Ia memaparkan kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah yang pernah berlaku dalam pengalaman kehidupan pelajar dan gelagat mereka menghadapi SPM. Menariknya, ia telah mendapat sentuhan kreatif daripada dua pengarah berbakat besar tanah air iaitu pengarah filem PUSAKA, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf yang sebelum ini merupakan penulis skrip untuk filem pecah panggung Polis Evo 1 (RM18 juta), Polis Evo 2 (RM 23 juta), PUSAKA (RM13 juta), PASKAL: The Movie (RM30 juta) dan Wira (RM11 juta).

PROJEK: ANCHOR SPM

Gabungan mereka terdahulu menerusi PUSAKA telah mempamerkan kredibiliti mereka dalam menghasilkan karya berkualiti dengan gaya kontemporari. Kali ini, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf diberi peluang sekali lagi untuk bekerjasama dan menguji kreativiti dalam mengarahkan drama siri premium pula.

Tambah menarik, drama siri premium ini, mempunyai keunikkan yang tersendiri. Dengan berlatar belakangkan tahun 2003, ia bakal membawa penonton mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan menerusi barang-barang nostalgia, prop dan set; disamping elemen persahabatan, percintaan alam remaja, kekeluargaan, serta ragam dan aktiviti para pelajar sekolah.

PROJEK: ANCHOR SPM

Antara kekuatan lain Projek: Anchor SPM adalah sinematografinya yang berkualiti tinggi setaraf filem. Manakala, busana dan gaya penampilan telah direka mengikut karakter setiap watak. Projek: Anchor SPM bakal menemui penonton mulai 15 Mac, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).

Bagi memastikan lakon layar yang komersial, pasukan penulis Astro Shaw writers’ room turut memainkan peranannya dalam penghasilan skrip dan pra-produksi yang telah memakan masa selama empat bulan.

Menerusi 8 episod, penonton dapat menyaksikan konflik berbeza yang ditampilkan dalam setiap episod yang diyakini mampu mencetuskan keterujaan dan sekaligus mendorong penonton untuk terus menantikan episod seterusnya.

PROJEK: ANCHOR SPM

Bagi menghidupkan watak-watak dalam drama ini, ia telah digerakkan dengan baik oleh barisan pelakon muda iaitu Aedy Ashraf yang membawa watak Aizat, seorang pelajar kacak dan popular di sekolah, Daiyan Trisha dengan watak Aaidaa iaitu seorang pelajar pintar tetapi kurang keyakinan diri, Shasha Abedul sebagai Jaja seorang yang ceria dan ketua kelab peminat Aizat, Nadhir Nasar (Juara Hero Remaja 2020) sebagai Hilmi iaitu Ketua Pelajar dan aktif dalam sukan, Chubb-E (Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33) sebagai Botol, seorang yang berbakat dalam muzik dan sering menjadi penenang kepada kawan-kawan. Selain itu, turut membintangi adalah nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30), Tony Eusoff dan Susan Lankester.

PROJEK: ANCHOR SPM

Terdapat tiga runut bunyi yang akan menghiasi Projek: Anchor SPM, iaitu lagu utamanya adalah ‘Bintang’ nyanyian Chubb-E & Shasha Abedul, ‘Beban Dunia’ nyanyian Daiyan Trisha dan ‘Sentiasa’ nyanyian oleh Firdaus Rahmat.

Menurut Pengarah Projek: Anchor SPM, Razaisyam Rashid, beliau berbangga dan berterima kasih kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Astro dalam menghasilkan sebuah drama siri premium.

Di atas kepercayaan yang diberikan ini, saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada aspek teknikal dan gaya seni untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi. Selain itu, saya turut berbangga dapat bekerjsama dengan saudara Anwari Ashraf sekali lagi, dan buat pertama kalinya kami sama-sama mengarahkan drama siri premium ini. Tentunya, ada cabaran dalam menghasilkan karya ini, lebih- lebih lagi sesi penggambaran adalah ketika berlangsungnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak limitasi. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya tidak sabar untuk persembahkan karya ini kepada penonton. Saya harap Projek: Anchor SPM dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.”

Razaisyam Rashid
PROJEK: ANCHOR SPM

Menurut Anwari Ashraf, Pengarah & Show Runner Projek: Anchor SPM berkata, “Saya memang meminati genre filem bergenre ‘Young Adult’ dan selalu impikan untuk meperkenalkan genre ini kepada penonton Malaysia kerana genre ini jarang didedahkan. Jadi, saya cuba untuk cari satu topik yang dekat dengan penonton Malaysia untuk mengetengahkan genre ini. Saya yakin ramai yang mempunyai pengalaman mengambil SPM atau apa-apa jenis peperiksaan, jadi kami bawa topik pelajar dan peperiksaan untuk menjadi nadi kepada jalan cerita Projek: Anchor SPM. Saya harap penonton dapat berhibur dengan drama siri premium ini serta mengambil nilai-nilai positif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran.”

PROJEK: ANCHOR SPM

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro sentiasa ingin menawarkan kelainan dalam setiap konten. Menerusi slot Astro Originals, drama premium yang ditampilkan adalah berkualiti setaraf filem dan boleh ditonton secara bersiri setiap minggu. 

Kali ini, Projek: Anchor SPM bakal menghiasi slot Astro Originals dan ia mengetengahkan subjek yang dekat dengan penonton Malaysia, iaitu pengalaman dan isu di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan selama ini. Antaranya isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya, lebih-lebih lagi di kalangan anak muda. Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh dan ia adalah subjek sangat menarik untuk kita kupas, di samping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah. Selain itu, drama siri premium ini mempertaruhkan kreativiti dua pengarah berbakat hebat iaitu Razaisyam Rashid dan Anwati Ashraf yang mampu memberikan sesuatu yang baru buat drama tempatan.”

Raja Jastina Raja Arshad
PROJEK: ANCHOR SPM

Mungkin ada yang mempertikaikan tentang sub-elemen iaitu ‘meniru’ yang dipaparkan dalam drama ini. Tetapi kehadiran drama ini adalah untuk memberi tauladan kepada semua. Setiap kelakuan yang salah pasti ada hukuman dan pengajaranSementara itu, buat golongan ibu bapa pula, diharap boleh membuka mata untuk lebih memahami beban serta tekanan yang dialami anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Kepada para guru, ini mendedahkan taktik-taktik yang mungkin akan dilakukan oleh pelajar. Kami harap, penonton dapat menilai daripada sudut positif dan jadikan ia sebagai tauladan.”

Raja Jastina Raja Arshad
PROJEK: ANCHOR SPM

Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij. Aizat, kapten pasukan ragbi yang disegani, bersama Hilmi, iaitu Ketua Pelajar dan Ketua Pengawas yang cemerlang, serta rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Botol, adalah rakan karib dan sentiasa bersama di kala waktu susah dan senang.

PROJEK: ANCHOR SPM

Sementara itu, Aaidaa, pelajar paling cemerlang akademik STIA yang gemar menyendiri, bersusah payah membantu adik tirinya, Jaja, yang kurang mahir pendidikan, untuk bersedia hadapi peperiksaan terbesar, SPM.

Di samping itu, setelah mencuri keluar beberapa kali daripada kampus sekolah pada waktu malam, Aizat akhirnya ditangkap oleh Pengetua Awang, pengetua STIA yang amat tegas. Pengetua Awang, memberi syarat kepada Aizat supaya tidak dibuang sekolah dan perlu meraih keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM yang sudah hampir. Justeru, Aizat dengan terdesaknya cuba mencari jalan keluar, dan akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa, dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini. Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

PROJEK: ANCHOR SPM

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Syafiq Naser Mahu Serius Menyanyi, Lancar Single LENGGANG Sebagai Bukti

Pawagam Dibuka Mulai Jumaat Ini, Pengusaha Pawagam Tarik Nafas Lega