in

Program Realiti Gadis M2 Tiru American Next Top Model?

[dropcap]R[/dropcap]amai gadis yang mempunyai impian atau cita-cita untuk menjadi selebriti terkenal dan dikagumi seperti Erra Fazira, Maya Karin atau pun Fazura yang bukan saja cantik, tetapi dikagumi dari segi kejayaan dalam bidang seni. Wajah-wajah inilah yang dijadikan ikon atau aspirasi bagi para gadis-gadis di luar sana yang ingin berjaya. Namun tidak semua mereka tahu atau mempunyai peluang untuk mengasah bakat mereka.

Program Realiti Gadis M2

Melihat dari perkembangan positif program realiti, Datuk Azrin Mohd Noor telah mencetuskan satu lagi fenomena baru didalam program realiti, bergabung dengan Harian Metro dan mendapat usahasama sepenuhnya dari Astro, untuk menerbitkan rancangan Gadis M2.

Melalui syarikat produksi, I Like Entertainment Sdn Bhd, yang bernaung di bawah Kumpulan Sedania, program ini mempunyai tujuh episod yang akan memulakan siaran episod pertamanya pada 19 Mei 2013 pada pukul 10.00 malam di saluran Astro Ria 104. Seterusnya akan bersiaran pada setiap hari Ahad pada waktu yang sama.

Menurut Pengasas dan Ketua Eksekutif Kumpulan SEDANIA; Datuk Azrin Mohd Noor berkata,

“Program realiti Gadis M2 membawa bersama dua “Gergasi” media Melayu tempatan, Astro dengan 1.93 juta penonton rangkaian Melayu, dan Harian Metro dengan 4 juta pembaca hariannya. Keduanya merupakan lidah dan penentu citarasa masyarakat Melayu negara ini.”

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro; Encik Khairul Anwar Salleh berkata,

“Astro sentiasa akur dengan permintaan para pelanggan yang mahukan pengisian yang segar dan terkini. Melalui pemerhatian kami, selain daripada bidang seni tarian, nyanyian, komedi dan lakonan, bidang pencarian bakat serba boleh juga merupakan satu lagi cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai. Oleh yang demikian, kami berasakan sudah tiba masanya bagi pihak Astro untuk berkerjasama dengan produksi I Like Entertainment Sdn Bhd serta Harian Metro untuk melahirkan bakat berpotensi yang akan menyinari bidang ini pula.

Berdasarkan pencapaian sebelum ini, pihak Astro amat sinonim dengan penerbitan program yang seumpama ini dan telah berjaya dengan formulanya untuk melahirkan ramai pelapis industri seni menerusi program-program realiti yang diterbitkan. Kami telah berjaya melahirkan ramai bintang-bintang berpotensi bukan sahaja dalam bidang nyanyian, bahkan meliputi bidang komedi, lakonan, pengacaraan dan tarian. Kehadiran mereka ternyata bukan sekadar tempelan tetapi memberi impak besar kepada industri hiburan tanahair.”

Khairul turut menambah,

“Penerbitan program Gadis M2 ini adalah antara inisiatif Astro untuk memberikan peluang kepada gadis-gadis muda di luar sana dengan menyediakan sebuah platform bagi menjana daya kreativiti dan kemahiran sekaligus menyerlahkan bakat terpendam serta potensi yang mereka miliki di bawah pengawasan dan tunjuk ajar oleh barisan penasihat.

Kami berharap segala tips, ilmu, bimbingan, nasihat dan motivasi yang dikongsi melalui program ini dapat dijadikan sumber inspirasi dan motivasi yang boleh dipraktikkan bukan sahaja oleh para peserta tetapi juga para penonton di rumah. Kami percaya program ini mampu memikat hati para penonton sekaligus dapat mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri kelak.”

FORMAT GADIS M2

Menerusi format realiti, sepuluh peserta akan diuji dengan beberapa cabaran seperti pengacaraan, lakonan, imej, solekan, peragaan dan juga fotografi. Ini adalah antara kriteria yang perlu ada sebagai seorang selebriti yang anggun dan menawan.

Program Gadis M2 menampilkan Datin Sofea Jane sebagai juri tetap. Beliau dipilih berdasarkan latar belakang beliau sebagai seorang artis dan juga selebriti yang masih bertahan hingga ke hari ini; digandingkan dengan Zaihani Zain yang dipilih atas pengalaman beliau yang pernah menerajui bahagian imej dan gaya di Astro.

Sepanjang tujuh episod, 10 peserta, pertamanya, akan diberi latihan oleh tenaga pengajar yang terdiri dari selebriti dan para profesional di dalam bidang masing-masing sebelum menghadapi cabaran yang berbeza pada setiap episod.

Program Realiti Gadis M2

Pada setiap episod, seorang juri jemputan akan diundang mengikut cabaran yang telah ditetapkan.

Peserta akan dinilai bukan saja dari paras rupa, tapi mereka juga akan diadili melalui cabaran yang telah diberikan. Setiap markah akan dikumpulkan dan peserta yang mempunyai markah yang terendah akan disingkirkan pada setiap minggu. Penonton juga boleh mengikuti perkembangan peserta setiap Isnin melalui Harian Metro yang akan memaparkan carta kedudukan peserta. Hanya lima peserta terbaik sahaja yang akan ke pusingan akhir.

Rancangan ini akan dihoskan oleh Awal Ashaari. Penampilan istimewa Dynaz Mokhtar sebagai mentor atau dikenali sebagai “BIG SISTER” akan sentiasa memantau perkembangan setiap peserta. Dynaz juga dipilih berdasarkan kredibiliti beliau yang bukan sahaja berjaya sebagai pelakon, pengacara, model tetapi beliau juga telah membuktikan bahawa sebagai selebriti, dia juga boleh berjaya sebagai usahawan.

Rancangan ini juga mendapat sokongan dari nama-nama besar di dalam dunia hiburan dan fesyen. Majalah fesyen terkemuka, In Trend, berbesar hati untuk menyumbangkan tenaga sebagai penasihat gaya bagi segmen yang melibatkan peragaan fesyen dalam program ini. Manakala pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Jovian Mandagie, Azura Couture Kuala Lumpur dan juga AzuraAzwa Couture, memberi sokongan penuh untuk program ini demi melahirkan selebriti yang mempunyai personaliti terunggul dan juga bergaya.

Juara Program Gadis M2 akan memenangi kontrak artis bernilai RM100,000, juga akan membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan dari Snips Academy of Arts sebanyak RM20,000 serta tiket penerbangan pergi dan balik ke Paris tajaan Air France.

Setia City Convention Centre juga berbesar hati untuk menaja lokasi studio penyingkiran. Manakala Snips Group telah menaja tenaga kerja untuk solekan dan tatarias rambut. Cabaran-cabaran di dalam program ini juga disokong oleh Inglot Cosmetic, Shu Uemura dan Loreal.

SASARAN

Gadis M2 lebih memfokuskan kepada dunia selebriti wanita yang merangkumi banyak aspek iaitu dunia model, pengacaraan dan lakonan. Dengan adanya nama-nama besar yang bergabung dalam rancangan ini, diharap program ini dapat menghasilkan selebriti yang terunggul pada masa akan datang. Di harap dengan adanya pengkhususan bidang ini, industri kita akan lebih dipenuhi dengan bakat-bakat baru yang lebih fokus dan tahu hala tuju mereka.

Rancangan ini juga dapat diikuti perkembangannya melalui www.facebook.com/Pencarian.GadisM2, twitter @gadisM2 dan instagram Gadis M2.

Program Realiti Gadis M2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Teater Perang Terakhir Lakonan Sharifah Aleya

Bengkel Ikhtiar Hidup di Bandar untuk Pemilik Nissan Wanita