in

Program Menarik TVi Sempena Sambutan Hari Malaysia 2011

Dokumentari, Telemovie dan Program Hiburan di TVi Sempena Sambutan Hari Malaysia 2011

Stesen TVi (Astro 180) milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Perayaan Hari Malaysia bertemakan Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera pada 16 September ini bakal menyiarkan beberapa program menarik bermula dengan Siaran Langsung Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan yang ke-54 mulai jam 8.00 pagi bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Elaine Daly Dan Fahrin Ahmad Dalam Namaku Bukan Setsuko

Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara Malaysia, sebuah doku-drama bertajuk Di Mana Bendera Saya disiarkan jam 3.05 hingga 4.00 petang. Drama terbitan RTM Sabah ini mengisahkan sikap seorang remaja yang terlalu mengagungkan budaya barat sehingga tidak pernah menghargai pengorbanan datuknya yang terkorban kerana menentang penjajah. Sikap egonya menyebabkan dia meninggalkan rumah neneknya. Namun secara tidak sengaja dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang menceritakan kisah pahit manis menentang penjajah demi kemerdekaan negara. Drama ini dibintangi oleh Abu Bakar Elah, Rablin Nordin dan Nazri Hussin.

Menyusul kemudiannya telemovie bertajuk Namaku Bukan Setsuko pada jam 4.05 petang lakonan berkesan Elaine Daly, Fahrin Ahmad, Dian P.Ramlee dan Mariani Ismail yang berkongsi kisah percintaan lelaki dan wanita berlainan bangsa dan agama di antara Tijah (seorang wanita Melayu) dan suaminya seorang lelaki berbangsa Jepun. Setelah berkahwin mereka dikurniakan seorang anak perempuan tetapi malangnya mereka terpisah kerana dikhianati oleh seorang pemuda kampung yang menaruh hati terhadap Tijah. Suami Tijah terpaksa membawa lari anak mereka ke Jepun dan membesar di sana sebagai Setsuko. Namun satu hari ayah Setsuko berpesan supaya mencari ibunya di Malaysia. Setibanya di Malaysia, barulah Setsuko mengetahui identiti dirinya yang sebenar.

Saksikan juga Pertandingan Tarian 1 Malaysia atau 1 Malaysia Culture Dance Competition 2011 disiarkan pada jam 9.00 malam. Pertandingan ini menyaksikan sebanyak 6 kumpulan terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia berentap membuat persembahan yang mempunyai kombinasi elemen 1 Malaysia termasuk dari segi pemilihan lagu, koreografi, props dan juga kostum bagi merebut peluang bercuti selama 6 hari di Korea. Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM3,000.00 dan terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa (International Folk Dance) di Korea, September ini. Antara kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian termasuklah JCJ Batu Kawan, Brenda Entertainers, Rhythm Mix Dancers, Universiti Teknologi Petronas, Great & Gold Dancers dan Seito College.

Program sempena Hari Malaysia diteruskan lagi pada hujung minggu dengan drama bersiri Suu Lee, Maryam, Haryati’ mulai 17 dan 18 September ini jam 8.00 malam. Drama ini berkisar tentang kisah kezaliman tentera Jepun setelah berjaya mengalahkan tentera British di Malaya. Maka bermulalah penderitaan rakyat termasuk kaum Cina dan Melayu pada ketika itu. Tentera Jepun cuba memburu Ah Chai iaitu ayah Suu Lee kerana menyangka beliau adalah tali barut British menyebabkan Ah Chai terpaksa menyembunyikan Suu Lee di rumah ayah Haryati. Di sana bermulalah kisah hidup Suu Lee, Maryam dan Haryati mengharungi hidup di zaman penjajahan Jepun di Malaya. Watak berkesan drama ini dibawakan oleh Irma Hasmie, Nadia Mustafar, Zamarul Hisham, Nasir Bilal Khan dan Aleza Shadan.

Sebagai penutup disiarkan program Koir Kebangsaan Cintakan Kedamaian dua hari berturut-turut pada 17 dan 18 September ini jam 9.00 malam. Lagu-lagu yang dinyanyikan pleh Koir Kebangsaan Malaysia ini merupakan lagu-lagu berunsur kedamaian. Konduktor koir adalah Amri Zane sementara Pengarah Koir adalah Tunku Marina Tunku Dato’ Zubir.

Namaku Bukan Setsuko

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Perjalanan Seni Yuna Dewan Filharmonik PETRONAS

Vokal Bukan Sekadar Rupa TV3