in

Program Khas RTM Sempena Hari Malaysia

3 Program Khas RTM Berturut-turut Sempena Hari Malaysia Pada 16, 17 dan 18 September Ini

Dalam usaha menyemarakkan sambutan dan meraikan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini, RTM menyediakan tiga program khas buat penonton setia saluran TV1. Nyata RTM tidak hanya menumpukan kepada satu genre semata-mata sebaliknya penonton berpeluang menyaksikan variasi program termasuklah telemovie, teater dan program hiburan menerusi saluran sama.

Memulakan siaran adalah telemovie Hujan Tak Berhenti pada 16 September ini, jam 3.05 petang. Telemovie terbitan Unit Drama TV ini, berlatar belakangkan negeri Sabah memaparkan nilai-nilai persefahaman dan kepimpinan melalui kisah sekumpulan anak muda yang giat berlatih zapin untuk membuat persembahan sempena sambutan Hari Malaysia. Aman telah menawarkan diri untuk menjadi guru zapin kepada Bella dan rakan-rakannya namun hasrat Aman sering mendapat halangan. Lalu bagaimanakah kesudahannya?

Drama ini menyaksikan lakonan mantap  Syed Ali, Hafiz Nafiah, Naufarah Yasin, Emma Suhaimi dan Lana Nodin.

Menyusul kemudiannya pada 17 September pula menerusi slot Panggung Sabtu adalah Teater Tun Mahathir yang akan bersiaran pada jam 3.05 petang. Teater ini mengisahkan perjalanan suka duka mantan Perdana Menteri Malaysia keempat ini daripada zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Watak pemimpin disegani dunia itu dipertanggungjawabkan kepada 3 pelakon mengikut 3 fasa kehidupan, iaitu Esma Daniel, ketika zaman Tun Mahthir berumahtangga, Zizan Nin (zaman bujang) serta finalis program Idola Kecil 2008, Mohd Shafeiq Shazwan pada zaman kanak-kanak.

Penonton-penonton cilik juga tidak dilupakan dalam menyemarakkan semangat cintakan negara. Konsert Adik-Adikku akan ditayangkan pada 18 September, jam 4.00 petang yang sarat dengan pengisian di mana peserta-peserta Adik-Adikku membuat persembahan seperti berpuisi dan bersajak tentang kemerdekaan negara.

Saksikan tiga program menarik ini hanya di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Hujan Tak Berhenti

Johan Raja Lawak Diserang Penyakit Lupa Kronik