Di sebalik kehijauan ladang hamper seluas 2,000 ekar di Ulu Cheroh, Raub, tersembunyi satu kisah penuh makna dan harapan. Digerakkan oleh Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, sebuah badan amal di bawah naungan Kumpulan NAZA – program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bukan sekadar untuk “nampak bagus” di atas kertas. Ia adalah gerakan jiwa, misi nyata untuk membantu komuniti orang asli, khususnya kaum Semai, melalui pendekatan menyeluruh yang fokus kepada kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Bagi Budiey yang selalu turun padang dan mengikuti isu-isu masyarakat marhaen, inisiatif sebegini menyentuh hati. Ia bagaikan menyaksikan satu anjakan paradigma – bila korporat mula melihat masyarakat sebagai tanggungjawab bersama, bukan sekadar pengguna atau tenaga kerja.
Surau Yang Bertambah Fungsi Menjadi Pusat Komuniti Yang Penuh Harapan
Projek ini bermula secara simbolik dan sederhana – dari sebuah surau usang yang ditambah fungsi menjadi pusat kegiatan komuniti untuk aktiviti-aktiviti berimpak kecil dan besar. Untuk program kali ini, lebih 50 orang komuniti orang asli terdiri daripada bayi berusia dua bulan sehingga warga emas berusia 103 tahun hadir untuk mendapatkan rawatan asas dan mendengar perkongsian kesihatan daripada agensi kerajaan yang turut berkerjasama dalam program ini. Difahamkan sebelum ini juga, terdapat pelbagai aktiviti telah dilaksanakan semenjak surau ini diperbaiki seperti program beramah mesra, agihan pek makanan, kit kesihatan dan sebagainya.
Apa yang paling menyentuh hati Budiey ialah ketika bertemu dengan seorang nenek berusia 103 tahun. Masih sihat, masih bertenaga. Seorang penganjur berkata, “You look at her, she’s strong, still okay.” Budiey terdiam. Betul, umur bukan penghalang untuk kita terus menjalani gaya hidup aktif dan betapa pentingnya untuk kita sentiasa menjaga kesihatan sejak dari usia muda.
Bila Syarikat Bukan Hanya Kejar Untung, Tapi Pulang Nilai Kepada Masyarakat
Apa yang membezakan program ini adalah niat tulus yang jelas. Wakil Yayasan berkata dengan tegas: “Bukan sekadar kita nak buat bisnes, tapi kita nak bantu mereka. Nak bagi peluang, nak bagi ruang.”
Seramai 20 petugas kesihatan, termasuk doktor dan doktor gigi dari Pejabat Kesihatan Daerah Raub, turut serta secara sukarela, memberikan pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa, saringan tuberkulosis dan ceramah kesihatan asas – semuanya secara percuma.
Budiey anggap ini sebagai praktikaliti keprihatinan sosial – bila ada pihak yang dapat melihat cabaran yang dialami oleh penduduk luar bandar lalu berinisiatif untuk membawa sendiri kemudahan kesihatan bagi meringankan cabaran tersebut, seterusnya membantu usaha kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Orang Asli Tak Lagi Dipinggir Jalan Pembangunan
Selama ini, masyarakat orang asli, kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan awal. Bukan kerana Kerajaan tidak menyediakan, malah Kerajaan lah pihak yang paling menitikberatkan aspek Kebajikan Orang Asli. Tetapi, kerana mereka sendiri menolak asbab kurangnya pendedahan, malu dan kekangan logistik. Tapi kini, dengan inisiatif seperti ini, mereka mula terbuka untuk menjaga kesihatan dan faham kepentingan saringan awal.
Bantuan Bukan Sekadar Simbolik – Tapi Sokongan Sosial Jangka Panjang
Setiap keluarga yang hadir turut menerima bakul makanan dan kit kesihatan asas yang mengandungi barangan penting seperti beras, minyak masak, biskut, sabun, ubat gigi dan ubat-ubatan ringan. Seramai 21 keluarga orang asli menerima manfaat ini, manakala para pegawai kesihatan turut diberi hamper penghargaan – satu bentuk pengiktirafan yang wajar atas usaha mereka.
Namun yang paling membanggakan, inisiatif ini tak berakhir di sini. Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin turut mengangkat SK Satak di Raub sebagai sekolah angkat selama tiga tahun, membuktikan bahawa komitmen mereka terhadap komuniti bukan hanya di bidang kesihatan, tapi juga pendidikan dan pembangunan holistik.
Seruan Budiey Kepada Semua Syarikat – CSR Bukan Sekadar Laporan Tahunan
Budiey ingin seru kepada semua syarikat – besar atau kecil, jangan tunggu jadi jutawan baru nak menyumbang. CSR bukan sekadar KPI dalam laporan tahunan yang penuh jargon korporat. Ia adalah cerminan nilai kemanusiaan sesebuah organisasi.
Wakil Yayasan turut menyuarakan perkara ini dengan penuh semangat: “Kalau semua syarikat boleh buat macam ni, negara kita akan lebih maju dengan cara yang lebih bersepadu.” Dan Budiey sokong 200%.
Sebagai seorang pengamal media yang kerap melaporkan tentang isu komuniti, Budiey amat terharu dan bangga melihat bagaimana Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin meletakkan nilai kemanusiaan di hadapan.
Ini bukan sekadar program CSR, tapi satu bentuk pelaburan jiwa yang akan memacu masa depan komuniti orang asli. Bila satu surau yang turut menjadi pusat komuniti dan bila seorang nenek 103 tahun boleh hidup sihat dan tersenyum – itu bukti bahawa bila kita jaga rakyat, rakyat akan jaga negara.
Budiey harap agar kisah ini dijadikan inspirasi kepada lebih banyak pihak, bukan hanya untuk tampil di media sosial, tapi untuk turun padang, pegang tangan mereka yang memerlukan dan dengar degup nadi sebenar rakyat Malaysia.
Dan Budiey serius – kisah makcik 103 tahun itu memang layak dijadikan dokumentari. Kita kena rakam dan simpan kisah seperti ini – kerana di situlah terletaknya nilai kemanusiaan yang sebenar.