in ,

LoveLove CuteCute

Profile Ella Ratu Rock Malaysia

ELLA

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila binti Haji Aminuddin, lahir 31 Julai 1966 di Gelugor, Pulau Pinang dan telah dibesarkan di Klang, Selangor. Pada zaman persekolahannya, beliau sering diundang menyanyi dan membuat persembahan pada setiap majlis yang diadakan di sekolahnya. Ella telah menamatkan pengajiannya sehingga tingkatan lima di SM Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Sebelum menceburi bidang seni, Ella sering membuat persembahan di kelab malam dan lounge di sekitar Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di beberapa kelab tersebut, Ella telah dilamar oleh kumpulan iaitu yang menggelarkan diri mereka `The Boys’ yang juga merupakan penyanyi kelab malam. Akhirnya Ella bersetuju untuk bergabung dengan kumpulan tersebut, maka lahirlah `Ella & The Boys’.

Karier Awal (1983-1985)
Di zaman persekolahannya, Ella mengakui tidak begitu menyerlah dalam bidang akademik dan gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 1983. Namun, beliau tekad mengambil peperiksaan sekali lagi dan masih lagi gagal mendapat keputusan yang memuaskan. Tetapi semua itu bukan halangannya untuk terus berjaya dalam hidupnya. Sebaik saja selepas menduduki peperiksaan SPM 1983, beliau telah bergabung dengan band Moonracker. Namun, ia hanya bertahan selama dua tahun sahaja. Ella tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian dengan mengadakan persembahan di hampir semua lounge dan kelab malam di seluruh Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di serata tempat, akhirnya telah menemui sekumpulan Band iaitu The Boys. Ketua Band The Boys, Lokman Idris atau nama samarannya Lord telah tertarik dengan suara dan gaya persembahan Ella. Beliau telah bercadang dengan Ella untuk mengambil Ella sebagai Vokalis Utama The Boys. Akhirnya Ella menerima lamaran Lord dan terciptalah kumpulan Ella & The Boys.

Zaman Kegemilangan Ella & The Boys (1985-1988)
Tahun 1985 adalah bermulanya era kegemilangan Ella & The Boys apabila berjaya mencipta populariti dalam masa yang singkat sekali gus berjaya meletakkan nama Ella & The Boys setaraf dengan Search, Wings, Ekamatra dan Slam. Nama Ella telah mula meniti di bibir peminat di Malaysia dan menjadikan beliau penyanyi rock wanita terunggul ketika itu. Pada 1987, Ella telah diberi gelaran Ratu Rock Malaysia oleh para wartawan dan juga peminat oleh kerana beliau merupakan satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menembusi muzik rock ketika itu.

Tahun demi tahun, Ella & The Boys terus unggul di persada muzik rock tanah air. Pelbagai undangan diterima di seluruh tempat dan juga mengadakan beberapa konsert sehinggalah kelab malam yang sentiasa menjadi tempat mereka mengadakan persembahan telah hangus terbakar. Punca terbakarnya kelab malam tersebut adalah disebabkan oleh sikap iri hati seseorang terhadap kejayaan yang dikecapi oleh Ella & The Boys. Namun, mereka tetap tabah sehinggalah Ella mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan The boys dan bergerak solo pada 1988. Pada mulanya, sedikit pertelingkahan terjadi apabila Ella menyuarakan hasratnya itu kepada anggota kumpulan the Boys yang lain. Lord akhirnya akur dan bersetuju membenarkan Ella bergerak solo. Meskipun tidak lagi bersama The Boys, tetapi Lord dan ahli anggota yang lain tetap bekerjasama dengan Ella.

Pada 1988, Ella telah berhijrah ke syarikat rakaman WEA (kini Warner Music) dan telah menghasilkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta. Album tersebut telah berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit.

Bintang Mula Bersinar (1989-1993)
Nama Ella semakin hari semakin bersinar dan setiap album yang dihasilkan pasti berjaya dengan jumlah pengedaran yang cukup laris di pasaran. Pada tahun 1989, beliau telah bekerjasama dengan beberapa artis dalam menjayakan sesebuah konsert. Antara konsert yang telah dijayakan oleh Ella ialah Konsert Kotaraya, Konsert Seni dan Suara dan Konsert Rock Salem. Pada 1990, Ella telah menghasilkan album solo keduanya, Puteri Kota yang telah mengetengahkan dua single popular, iaitu Tiada Tangis Lagi dan Puteri Kota. Dua lagu tersebut telah dijadikan lagu tema dalam filem pertama lakonan Ella, iaitu Bayangan Maut. Pada tahun yang sama, Ella juga telah menghasilkan album ketiganya, iaitu Identiti. Lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah merupakan single paling popular daripada album tersebut dan sekaligus telah melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita rock paling popular.
Menerusi lagu tersebut, Ella berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1991.

Ella bukan saja berjaya mencipta populariti di Malaysia, malah namanya juga telah berjaya menembusi industri muzik di Indonesia apabila album duet beliau bersama penyanyi terkenal Indonesia, Deddy Dores telah berjaya dijual 100,000 unit di negara tersebut. Ramai yang berpendapat, keunikan uara dan bakat yang dimiliki Ella adalah faktor yang mampu menarik perhatian peminat di Indonesia.

Pada 1992, Ella berhijrah pula ke EMI Malaysia dan telah menghasilkan album keempatnya yang berjudul Ella 30110. Album ini dianggap sebagai album Ella paling berjaya pernah diterbitkan kerana telah mencipta sejarah sebagai album pertama yang telah mencapai jualan tertinggi dalam masa yang sangat singkat. Hampir kesemua lagu dalam album tersebut telah berjaya menjadi single popular. Kelahiran album ini sebenarnya telah memberikan impak yang begitu besar terhadap karier nyanyian Ella sepanjang bergelar anak seni. Sebagai penghargaan dan hadiah bagi peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap album ini, Ella telah mengadakan konsert solo pertamanya, iaitu Konsert Ella 30110 di Stadium Negara. Konsert tersebut telah berjaya meninggalkan `kesan’ apabila berjaya menghimpunkan 10,000 peminat yang hadir bagi memberi sokongan kepada Ella. Ia sekaligus meletakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita terlaris pada tahun tersebut.

Ella merupakan penerima Anugerah Artis Wanita Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (Berita Harian) 1993.

Zaman Kegemilangan Ella (1994-1995)
Tahun 1994 adalah tahun yang paling bermakna dalam karier Ella selepas hampir sedekad bergelar anak seni. Ia dianggap kemuncak dalam kerjaya seni Ella apabila beliau telah berjaya merakamkan sebuah album killer iaitu Ella USA. Album yang dirakamkan sepenuhnya di Amerika Syarikat ini sekaligus telah meletakkan Ella sebagai penyanyi pertama dari Malaysia yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat. Pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan proses rakaman di Amerika Syarikat tetapi segala-galanya dapat diatasi dengan semangat dan jiwa kental penyanyi kecil molek ini.

Setelah sebulan Ella berada di sana, akhirnya beliau berjaya pulang ke tanah air dengan membawa hasil yang membanggakan. Album Ella USA telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta RIM sebagai album paling laris di pasaran. Kesemua lagu daripada album ini telah menjadi single yang popular. Album tersebut berjaya mencapai jualan melebihi 350,000 unit. Penjualan album ini menjadikan Ella sebagai dilabel sebagai penyanyi wanita paling laris dari segi penjualan album.

Kejayaan jualan album ini melonjakkan Ella sebagai penyanyi muda yang berstatus jutawan dan merupakan penyanyi paling kaya pada tahun 1994. Pada masa yang sama, Ella merupakan Duta kepada Badan Kebajikan Yayasan Kebajikan Negara dan beliau turut mengadakan Konsert Ella USA Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada badan kebajikan tersebut. Sebagai penghargaan kepada peminat sempena ulang tahun ke-10 penglibatan Ella dalam bidang seni hiburan tanah air, pada tahun 1995 beliau mengadakan Konsert Ella Ten Years. Menerusi konsert tersebut, Ella telah berjaya menyanyi sebanyak 40 buah lagu tanpa henti. Konsert ini dianggap oleh peminatnya sebagai suatu pencapaian yang sungguh hebat dan luar biasa yang pernah Ella lakukan dalam kerjaya seninya.

Ella (1996-1998)
Pada tahun 1996, Ella telah menghasilkan album kompilasi iaitu Demi yang menghimpunkan lagu-lagu daripada album terdahulu dan sebuah lagu baru, Demi. Populariti Ella mula suram apabila ketika itu ramainya artis-artis wanita baru muncul seperti Nurul, Siti Nurhaliza, Nora, Amy Mastura dan ramai lagi . Namun, Ella terus memperjuangkan karier seninya dengan penuh teguh dan tabah dalam meneruskan minatnya yang begitu mendalam terhadap dunia muzik. Pada tahun yang sama, Ella juga telah mengadakan Konsert Demi Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan album Demi. Pada tahun berikutnya, Ella telah menghasilkan album kompilasinya yang berjudul Kompilasi – Lagi Gempaq, sebuah lagu baru, Jalan Ke Sisimu yang menjadi single pada tahun itu. Tetapi populariti Ella tetap suram meskipun mempunyai single yang agak popular ketika itu. Pada 1998, populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau dipilih menjadi penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang julung kalinya diadakan di Malaysia. Standing In The Eyes Of The World, lagu tema sukan bertaraf dunia tersebut begitu popular apabila ia kerap kali disiarkan di TV dan radio. Ia melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi Asia pertama yang menjadi penyanyi lagu tema untuk sukan tersebut.

Zaman Kebangkitan Semula (1998-1999)
Populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau telah dipilih untuk menjadi penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang berjudul Standing In The Eyes Of The World kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah ketika itu. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.

Usahawan yang berjaya
Setelah berjaya mencipta nama di bidang seni, akhirnya Ella berjaya menceburi bidang perniagaan yang menjadi impiannya selama ini. Beliau telah membuka beberapa syarikat hasil usaha beliau sendiri. Antaranya ialah seperti Ella’s Production, Ella Inc’s Sdn Bhd. dan Syarikat Ombak Warna Sdn Bhd. Sehingga kini, beliau merupakan antara usahawan yang berjaya di Malaysia dan dianggap antara artis bertaraf usahawan paling berjaya. Sebelum ini, Ella telah menguruskan pelbagai perniagaan seperti mengimport dan mengeksport produk yang telah diuruskan oleh syarikat miliknya. Beliau juga mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan yang menggunakan jenama dengan nama beliau sendiri iaitu ELLA. Produk tersebut telah mendapat sambutan hangat sehinggalah ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Biodata
NAMA Nor Zila binti Aminuddin
ASAL Klang, Selangor
LAHIR 31 Julai 1966, Pulau Pinang

PENDIDIKAN
Sekolah Tengku Ampuan Rahimah
Sekolah Tinggi Methodist, Klang, Selangor

KERJAYA
Penyanyi kumpulan Moonrackers (1983) & The Boys (1985)
Penyanyi solo (1988 hingga kini)
Pelakon Filem
Pencipta Lagu
Penulis Senikata

Album (Solo)
Pengemis Cinta (1989)
Puteri Kota (1990)
Identiti (1990)
Koleksi Terbaik (1991)
30110 (1992)
Kesal (1992)
Dua Insan Bercinta EP (1993)
Unggul (1993)
100% Remix (1993)
USA (1994)
Demi (1996)
El (1998)
El – Edisi Terhad (1999)
Diva Metal (2000)
“Tanda Tanya” Single (2001)
Ilham Bicara (2001)
Simbiosis (2003)
A Journey Beyond (2005)
Ratu Rock (2005)
Rama-Rama (2007)

Album (Bersama The Boys)
Battle Of The Bands 1 & 2 – Pelbagai Artis (1986)
Ella & The Boys (1987)
Anak Merdeka (1988)
Reflexi (1997)
Album (Kompilasi)
8494 (1995)
Puteri Rock (2002)
3 Dimensi Rock Wanita Terbaik – Pelbagai Artis (2002)
Kasih (2007)

Album (Muzik/Instrumental)
KaraOKE 1 – USA (1994)
KaraOKE 2 – 30110/Dua Insan Bercinta (1994)
Mentera Metal, petikan gitar Kyoji Yamamoto, Man Keedal & Michael Thompson (1998)

Lagu Single
Jalan Ke Sisimu (1997 / kompilasi Lagi Gempaq)
Aku (1998 / soundtrack filem Silat Legenda)
Lagenda 25 (1998 / kompilasi P. Ramlee 25 Tahun Tanpamu)
Standing In The Eyes Of The World (1998 / single Standing In The Eyes Of The World)
Teruja (2005 / soundtrack filem Gol & Gincu)
Percaya Diriku (2005 / soundtrack filem Gol & Gincu)

Lagu Duet
Pergilah Sayang, bersama Korie (1996 / album Korie)
Mungkinkah Sayang, bersama Korie (1997 / album Korie – Satu Sama)
Baldu Biru, bersama Awie (2000 / kompilasi Gerenti Gempaq)

Video Muzik
Suara Semalam (1989 / WEA)
Tiada Tangis Lagi (1990 / TV3)
Kesal (1992 / WEA)
Teruja (2005 / Red Films)

Rakaman Semula
Kasih (1994/Jay Jay – Tribute To Ramli Sarip)
Pedih (1999/FTG – Live at Metal Wars)

Filem
Bayangan Maut (1991/Pelakon Pembantu)
Pemburu Bayang (1993/Pelakon Utama)
Hanya Kawan (1997/Pelakon Utama)

Konsert
Konsert Battle Of The Bands di Stadium Negara, Kuala Lumpur (2 Februari 1986)
Konsert Battle Of The Bands jelajah Malaysia (sepanjang 1986)
Konsert Terbuka Ella & The Boys di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur (1986)
Konsert Ella & The Boys di Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak (18 April 1987)
Konsert Kotaraya bersama artis-artis rock di Stadium Negara, Kuala Lumpur (1989)
Konsert Seni & Suara, bersama Ramli Sarip & Lefthanded di Stadium Negara, Singapura (1989)
Konsert Rock Salem, bersama MAY & BPR di Stadium Negara, Kuala Lumpur (8 September 1989)
Konsert Revolusi Salem jelajah Malaysia, bersama Search & Wings (1990)
Konsert Hari Valentine Bersama Ella di Stadium Negara, Kuala Lumpur (14 Februari 1993)
Konsert 30110 Jelajah Malaysia (1993)
Konsert Solo Ella, bersama Cromok di Tapak Pesta Shah Alam, Selangor (1993)
Konsert Solo Ella di Stadium Tertutup, Singapura (1993)
Konsert Ella USA Jelajah Malaysia (1994)
Konsert Tahun Baru Bersama Zainal Abidin & Ella (1995)
Konsert 8494 jelajah Malaysia (1995)
Konsert Ella Ten Years di Plaza Sungei Wang Roof Top, Kuala Lumpur (1995)
Konsert Demi Ella jelajah Malaysia (1996)
Konsert Pop Orkestra DBKL di Kuala Lumpur (1999)
Konsert Bulldozer bersama artis-artis rock (1999)
Festival RentakAsia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur (2000)
Konsert Rentaq Serantau, bersama Search & artis-artis Indonesia di Stadium Malawati, Shah Alam (3 Februari 2007)
Sunday Nite Live di Planet Hollywood, Kuala Lumpur (11 & 25 Februari 2007)
Konsert di Esplanade, Singapura (2007)

Anugerah
Penyanyi Solo Paling Popular ’89, anjuran Berita Harian/Nescafe (1989)
Anugerah Cakera Platinum Berkembar Tiga, album Puteri Kota terjual melebihi 190,000 unit di Malaysia (1991)
Anugerah Cakera Platinum Berkembar Lima, album 30110 terjual melebihi 250,000 unit di Malaysia (1993)
Rakaman Album Terbaik, jururakam Greg Henderson, album El, Anugerah Industri Muzik ke-7 (2000)

Pencapaian
Menerima gelaran Ratu Rock Malaysia (sejak 1987)
Menyertai Festival Lagu Tokyo ke-19 di Nakino Sun Plaza, Tokyo, Jepun diiringi Hillary Ang (1990)
Menyertai ASEAN Music Scene, anjuran Monichi Broadcasting Tokyo di PWTC, Kuala Lumpur (1990)
Juara bulan Mac pertandingan Muzik-Muzik TV3, lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah (1991)
Menyertai Festival Lagu-Lagu Pop ASEAN di Jogjakarta, Indonesia (1991)
Bertanding dalam Anugerah Juara Lagu TV3, lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah (1991)
Menyertai Asian Music Festival di Jakarta, Indonesia (1992)
Bertanding dalam International Pop Music & Song Contest di Kazakhstan (1992)
Persembahan dalam 2 buah konsert khas sempena festival Asian Sound Wave di Tokyo, Jepun (1993)
Tersenarai dalam Carta MTV Asia selama 15 minggu berturut-turut, lagu Layar Impian (1993)
Rakaman lagu dan penggambaran muzik video di Amerika Syarikat untuk album USA (1994)
Penyanyi lagu tema dan persembahan pembukaan di Sukan Komanwel ke-16, Kuala Lumpur (1998)
Berjaya merakamkan lagu baru ciptaan penyanyi Richard Marx dan Jascha Richter (MLTR) untuk album El (1998)
Berjaya mendapatkan khidmat pemain gitar terkemuka Slash Guns N’ Roses untuk rakaman lagu Bayangan (1998)

Penglibatan
Menyertai pertandingan Muzik-Muzik 90 dengan lagu Sangkar Kerinduan & Tiada Tangis Lagi.
Model kasut sukan dan barangan jenama LA Gear (1989)
Menubuhkan syarikat produksi Ella’s Production (1990)
Menubuhkan kumpulan pemuzik pengiring, The Lips (1990)
Menubuhkan kumpulan pemuzik pengiring, Ella’s (1991)
Menerbitkan Kalendar Istimewa Ella (1993)
Terlibat dalam Kempen Masyarakat Penyayang anjuran kerajaan Malaysia (1994)
Model barangan kalkulator jenama Canon (1993 – 1998)

Fakta Lain Tentang Ella
• Memenangi pertandingan Battle Of The Bands (BOTB) anjuran Radio Televisyen Malaysia.
• Artis Malaysia pertama mengeluarkan album video iaitu ‘Ella-Mood’ (1991).
• Pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal seperti L.A Gear, Levi’s, dan Canon.
• Artis Malaysia pertama paling laris penjualan albumnya iaitu album ‘Ella USA’ yang mencatat jualan sebanyak 350,000 Unit.
• Satu-satunya artis rock wanita yang bertahan sehingga kini.
• Menjadi duta Muhibbah Persatuan Bulan Sabit Merah sebelum Siti Nurhaliza yang turut menjadi duta bagi persatuan ini.
• Ella adalah antara artis rock yang terkenal dan dikenali oleh peminat di seluruh Asia sekaligus telah menjadikan dirinya sebagai artis rock tersohor Asia.
• Ella pernah muncul di Stesen Televisyen terkenal di Amerika Syarikat iaitu ‘Music Television (MTV)’. Ella juga merupakan satu-satunya artis Malaysia yang pernah ditemubual oleh stesen televisyen tersebut selepas Datuk Sharifah Aini.
• Artis Malaysia pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.
• Dipilih sebagai ‘Role Model’ oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mempromosikan pemikiran positif di kalangan belia dan muda-mudi.
• Memenangi Anugerah Artis Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1993).
• Nama tercatat dalam ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ‘Artis Wanita Pertama Yang Mempunyai Penjualan Album Terbanyak’ (1998).
• Album ‘Ella 30110’ pernah mencatat sejarah sebagai album pertama mencatat jualan terbanyak dalam tempoh masa yang singkat.
• Pernah menerima sijil MBR (Edisi Emas) sebagai penghargaan kepadanya yang telah mengekalkan rekodnya selama sepuluh tahun. Artis lain yang juga menerima sijil ini ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Raihan dan ramai lagi.

• Satu-satunya artis Malaysia yang dipilih menyanyi lagu tema Sukan Komanwel iaitu ‘Standing In The Eyes Of The World’.
• Memegang watak utama dalam tiga buah filem iaitu Bayangan Maut (1990), Pemburu Bayang (1992), dan Hanya Kawan (1997).
• Artis pertama yang menerima anugerah platinum berkembar sebanyak lima kali.
• Ella merupakan antara artis terkaya dan mampu mengekalkan status jutawannya hingga kini. Artis lain yang juga bergelar jutawan ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusof Haslam, Anita Sarawak, Tan Sri Dato’ SM Salim, Sheila Majid, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura, Siti Nurhaliza, dan ramai lagi.
• Ella pernah menjadi penyampai anugerah di Anugerah MTV Asia pada tahun 2003. Beliau juga pernah berduet dengan ahli kumpulan terkenal dari Barat iaitu The Blues.
• Ella adalah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian. Selain beliau, artis lain yang juga merupakan artis yang menerima bayaran tertinggi ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Sheila Majid, Fauziah Latiff, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan ramai lagi.
• Ella ialah satu-satunya artis wanita Malaysia yang menerima anugerah album platinum berkembar sebanyak lima kali.
• Ella pernah menjadi penyampai anugerah di Anugerah MTV Asia pada tahun 2003, di mana beliau turut berduet dengan kumpulan The Blues.
• Ella dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 17 Februari 2003 sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-57.
• Ella dikurniakan Pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 30 Mac 2010 sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

What do you think?

75 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. suara n pncapaian mmg superb.tp kurangkn sket prangai mengade2, n manje dbuat2 tu ea.meluat tengok ‘ORG TUA’ buat mcm tu.budak 12 tahun pn tak mcm tu.n tak yah pakai lg lah t-shirt nmpk ‘ketiak’.

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Orianthi Live in Kuala Lumpur

Peraduan Jom Menonton Filem INCEPTION – Sensasi Selebriti