in

Primeworks Studios Raih Kemenangan di Anugerah Televisyen Chicago

CHICAGO, 24 April 2013 — Primeworks Studios telah menerima dua anugerah di Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago ke-49 malam tadi melalui dua produksi televisyennya, iaitu Hip-Hoppin’ Asia dan Switch Off.

Hip-Hoppin’ Asia, rancangan travelog berunsur hip-hop yang pertama di Malaysia, telah memenangi Anugerah Perak dalam kategori ‘Travel Series’.

Penerbit-penerbit rancangan ini, Sean Jesudasan dan Anusha Peterson, telah menghadiri majlis tersebut untuk menerima anugerah itu. Rancangan travelog ini telah bersiaran di saluran 8TV Oktober lalu dan dihoskan oleh penyanyi, penulis lagu dan penerbit hip-hop terkenal Joe Flizzow.

Sementara itu, Switch Off, sebuah rancangan berbentuk ‘game show’ terbitan Primeworks Studios yang disiarkan di TV9, telah dianugerahkan dengan Sijil Merit dalam kategori ‘Game Show Series’. Rancangan unik terbitan Ismail Mohd Rasakh ini berdasarkan soalan yang begitu asas sekali: “Adakah anda takut gelap?” Kemenangan ini membawa makna yang cukup mendalam untuk TV9, sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-7.

Dianjurkan oleh Cinema/Chicago, Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago adalah satu pertandingan televisyen antarabangsa tahunan yang mengiktiraf rancangan-rancangan dan iklan-iklan televisyen dari seluruh dunia.

Majlis Anugerah tersebut, dihoskan oleh personaliti televisyen dan radio terkenal Jeanne Sparrow, turut mempersembahkan beberapa anugerah berprestij kepada pertubuhan dan individu yang banyak memberi sumbangan kepada dunia televisyen Chicago. Leo Burnett, salah satu agensi pengiklanan terbesar di dunia, telah diberi penghormatan dengan Anugerah Komitmen Kecemerlangan untuk Iklan Televisyen manakala wartawan Walter Jacobson telah memenangi Anugerah Lagenda Chicago sempena sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan selama lima puluh tahun.

Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, berkata, “Kemenangan anugerah-anugerah ini merupakan penghormatan besar bagi kami, dan kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mempamerkan hasil terbitan kami untuk paparan antarabangsa. Tahniah diucapkan kepada krew penerbitan Hip-Hoppin’ Asia dan Switch Off. Saya amat berbangga dengan bakat-bakat muda di 8TV dan TV9 yang sentiasa menyumbangkan idea-idea yang segar dan inovatif untuk menghasilkan kandungan yang terbaik sekaligus memberi penonton pengalaman luar biasa setiap kali menonton rancangan-rancangan kami. Saya percaya pencapaian ini menjadi inspirasi besar bagi kami untuk terus menghasilkan rancangan-rancangan berkualiti yang boleh dinikmati oleh penonton di seluruh dunia.”

Hip-Hoppin ‘Asia memperkenalkan penonton kepada pelbagai cara hidup hip-hop di bandar- bandar Asia dan meneroka bagaimana genre muzik ini dihayati di setiap destinasi. Dari Thailand ke Taiwan, Filipina ke Jepun, dan Hong Kong ke Sri Lanka, travelog ini memaparkan perkara-perkara unik untuk dibuat di bandar-bandar ini, dan juga pengalaman hip-hop paling menarik untuk dicuba. Sepanjang perjalanan, hos Joe Flizzow juga bertemu dengan personaliti-personaliti hip-hop terkemuka seperti Teriyaki Boyz di Jepun, Thaitanium di Thailand, dan Saykoji di Indonesia.

Switch Off yang disiarkan pada September lalu telah menyaksikan ahli band-band indie tempatan melaksanakan cabaran-cabaran yang diberi di dalam sebuah rumah usang yang gelap. Keberanian para peserta diuji apabila mereka terpaksa menghadapi salah satu daripada ketakutan yang paling asas iaitu kegelapan! Hanya walkie-talkie menjadi penghubung mereka dengan ahli mereka yang lain. Rancangan ini dihoskan oleh lagenda indie Malaysia, Radhi Razali, dan menyaksikan penyertaan daripada band-band ternama Malaysia seperti Monoloque, Kyoto Protocol, Grey Sky Morning, OAG, Couple dan Oh Chentaku.

Mengenai Primeworks Studios Sdn Bhd
Primeworks Studios merupakan anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Terlibat dalam penghasilan rancangan TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994, Primeworks menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Selain penerbitan rancangan televisyen dan kandungan lain, Primeworks Studios turut terlibat dalam pengedaran dan pemasaran kandungan. Primeworks Studios penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen
komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 – merangkumi kandungan pelbagai genre seperti rancangan hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Welcome to the Rail World, Jalan Jalan Cari Makan, One In A Million, Mentor, Wanita Hari Ini, Melodi, Jejak Rasul, 999 dan Idola Kecil.
Mengenai TV9
Sejak ditubuhkan pada 2006, TV9 telah mengembangkan sasaran kepada golongan muda dan tampil sebagai stesen percuma nombor 2 negara dan saluran sukaramai golongan kanak-kanak. Untuk mengekalkan kedudukannya pada tahun 2012 ini, TV9 akan terus memberi fokus kepada golongan muda masyarakat Melayu dan penonton di bandar tanpa melupakan penonton setia sedia ada. Ini dapat diterjemahkan menerusi penampilan yang lebih segar dengan menumpukan kepada hiburan, drama, komedi dan realiti untuk memuaskan kehendak segmen sasaran. Antara susunan menarik TV9 termasuklah Idola Kecil, Berita Adik, Upin & Ipin, Apa Saja…FBI, Hip TV, Galaksi, dan Chopp!!
Mengenai 8TV
8TV ialah landasan interaktif untuk kumpulan penonton yang disatukan oleh keinginan terhadap ciri-ciri keaslian and ekspresi diri. 8TV membawakan program hiburan `original’ dan antarabangsa yang dan dirangkumi oleh ciri-ciri interaktif. 8TV memulakan operasi pada 8hb. Januari 2004, memancarkan siaran percuma ke seluruh Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Kuantan pada November 2004 lalu menerusi gelombang jalur UHF. 8TV juga boleh ditonton menerusi saluran Astro 708.
8TV telah mencapai kejayaan dalam tempoh tahun pertama operasinya dengan berjaya melahirkan rancangan Malaysian Idol yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan. 8TV juga telah memenangi pelbagai anugerah industri dalam kecemerlangan kreatif di peringkat Asia.
Sejak dilancarkan, 8TV telah mencatat beberapa mercu tanda dalam industri penyiaran, seperti membawakan Grammy Awards dan Academy Awards secara langsung, memenangi hak siaran bagi UEFA Euro 2004 bersama syarikat sekutunya TV3 dan menganjurkan acara Malaysian Idol yang amat dinanti-nantikan. 8TV meneruskan penerbitan rancangan terbitan sendiri yang mendapat sambutan mengalakkan seperti Malaysia’s Most Beautiful, I Wanna
Be A Model dan program realiti pencarian bakat nyanyian terunggul di Malaysia, One In A Million. Disamping itu juga, 8TV turut menjayakan Summer Live Concert yang menampilkan barisan artis-artis cina antarabangsa yang berjaya menarik beratus ribu penonton.
8TV terus cemerlang dengan memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara antaranya di Phoenix Awards, Promax/BDA Awards dan Anugerah Skrin. 8TV menerima tiga anugerah antarabangsa dalam dua kategori yang dipertandingkan di majlis Phoenix Awards 2009 yang diadakan di Singapura. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Gangsa untuk kategori ‘Opening Credits or Titles for TV Programme’ bagi Promo Shout! Awards, Anugerah Perak dan Anugerah Gangsa untuk kategori ‘Campaign to Promote Feature Film or TV Series’.
Menerusi Anugerah Phoenix 2008, 8TV berjaya memenangi empat anugerah menerusi dua kategori iaitu ‘TV Promotional’ dan ‘Film Advertising/Promotion’. Showdown 2010 juga berjaya menerima anugerah ‘Favourite TV Programme’ di Shout! Awards 2010 dan Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2010. Pada majlis Anugerah Sri Angkasa 2010, Showdown 2010 berjaya memenangi anugerah Program Realiti Terbaik manakala di Shout! Awards 2009 berjaya memenangi anugerah Rancangan Muzikal Terbaik.
Pada majlis Promax Asia 2009, 8TV berjaya membawa pulang Anugerah Gangsa untuk kategori ‘Best Public Announcement’ menerusi kempen Merdeka Rasa Sayang dan turut tersenarai sebagai pilihan pertama untuk ‘Youth Market’ di majalah Advertising & Marketing. 8TV juga memenangi Anugerah Emas menerusi promo Project Superstar dan Anugerah Gangsa bagi promo The Sarah Connor Chronicles di Promax/BDA Awards. Selain itu 8TV turut memenangi anugerah Rancangan Hiburan Terbaik menerusi program Project SuperStar dan Rancangan Realiti Terbaik menerusi program So You Think You Can Dance (musim ke-2) di majlis Anugerah Skrin 2008.
Penonton Malaysia boleh menyaksikan rancangan-rancangan terbaik 8TV secara ‘online’ secara percuma dalam jangkamasa 12 jam program ini ditayangkan di kaca televisyen menerusi laman sesawang www.8tv.com.my / www.tonton.com.my. Penonton online juga mendapat beberapa keistimewaan apabila melayari laman web 8TV seperti menonton klip video sesi ujibakat, di sebalik pembikinan dan juga visual promo. ikuti kami menerusi laman

sosial www.facebook.com/8TVfb , www.twitter.com/8tv, www.youtube.com/8tvaddicts dan instagram @8TV

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Dude Harlino di Makan Bareng Sinetron Dalam Mihrab Cinta

Gambar Meyda Sefira di Makan Bareng Sinetron Dalam Mihrab Cinta