in ,

‘Permata Yang Dicari’ Kini Lebih Segar Dengan Sentuhan Yusuf Kassim

Versi Baharu Yang Menyentuh Jiwa Dan Sarat Dengan Nilai Kerohanian Tentang Cinta Yang Diredhai Allah

Yusuf Kassim, seorang bintang baru yang sedang menyinar, tampil memperkenalkan lagu “Permata Yang Dicari 2.0”, sebuah karya yang membawakan semula lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh kumpulan DeHearty pada tahun 2005. Namun kali ini, dengan nafas baharu dan susunan muzik yang lebih moden, lagu ini diberi sentuhan emosional serta penuh keikhlasan oleh Yusuf, menjadikannya lebih dekat dengan jiwa pendengar masa kini.

“Alhamdulillah, saya tak sangka diberi peluang untuk merakamkan kembali lagu Permata Yang Dicari versi terbaru ini dan saya membesar dengan lagu ini sewaktu saya belajar di sekolah,” ujar Yusuf. Proses rakaman pula hanya mengambil masa sekitar tiga jam — satu pencapaian luar biasa yang menunjukkan betapa selesanya Yusuf dengan lagu ini.

Latar Belakang Yusuf Kassim Dan Kisah Di Sebalik Lagu

Untuk yang belum mengenali Yusuf Kassim, beliau adalah bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, dan juga merupakan Johan Qari Tilawah Negeri Johor 2024. Sejak tahun 2023, pihak Inteam Records sebenarnya telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengannya, namun kekangan kontrak sedia ada menangguhkan hasrat itu. Segalanya berubah selepas kontraknya tamat pada pertengahan September 2024, lalu Yusuf terus menandatangani perjanjian bersama Inteam Records pada Oktober 2024.

“Sebelum ini, pihak Inteam Records telah lama melamar saya sejak tahun 2023 lagi tapi disebabkan saya terikat kontrak dengan syarikat rakaman sebelum ini saya terpaksa menolak dan sehingga tamat kontrak pada pertengahan bulan 9, 2024… dan pihak Inteam Records terus menawarkan kembali untuk bersama mereka,”katanya dengan penuh rasa syukur.

Gubahan Segar, Lirik Yang Dimatangkan Dan Sentuhan Istimewa Dalam Muzik Video

Lagu Permata Yang Dicari 2.0 bukan sekadar ‘remake’, sebaliknya ia telah digubah semula oleh Frizdan dan diberi sentuhan muzik segar oleh Amy Bong. Yang menarik, lirik di bahagian hujung lagu ini turut diubah — dari kisah pencarian jodoh kepada penemuan pasangan yang diimpikan. Perubahan ini memberi simbolik bahawa si pencari akhirnya telah menemui “permata” yang dicarinya.

Muzik video lagu ini pula memperlihatkan sesuatu yang cukup istimewa — penampilan Hisyam Inteam, penyanyi asal lagu ini, yang kini membawa watak tok kadi. Malah, isteri Yusuf Kassim sendiri, Noranisa, turut berlakon sebagai pasangannya dalam video tersebut.

“Alhamdulillah, pengalaman pertama kami untuk berlakon dan saya tidak berasa kekok di mana isteri saya berlakon bersama,” kata Yusuf lagi.

Muzik video ini telah meraih 38,000 tontonan di YouTube Inteam Digital dalam masa hanya dua minggu — satu angka yang membuktikan sambutan hangat daripada peminat dan pendengar.

Lagu Yang Mengangkat Nilai Cinta Dalam Islam

Lebih dari sekadar hiburan, lagu ini mengangkat nilai-nilai Islam tentang cinta dan jodoh, mengajak pendengar untuk melihat cinta sebagai satu anugerah yang perlu dicari dengan kesabaran, kesedaran dan keikhlasan hati.

Yusuf turut menyatakan hasratnya: “Saya berharap lagu Permata Yang Dicari 2.0 ini dapat memberikan kesan mendalam kepada pendengar, terutamanya dalam menghayati nilai-nilai murni tentang pencarian jodoh yang diredhai Allah.”

Beliau menambah, lagu ini bukan hanya tentang cinta antara manusia, tetapi juga mengingatkan kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah dalam semua urusan, termasuk jodoh.

“Saya ingin agar pendengar tidak hanya menikmati melodi dan liriknya, tetapi juga menghayati pesan yang terkandung dalamnya,” katanya mengakhiri.

Lagu ini kini boleh ditonton di YouTube Inteam Digital dan turut boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, Permata Yang Dicari 2.0 bukan sekadar remake kosong yang menumpang populariti lagu lama. Ini adalah satu bentuk penghormatan dan tribute yang penuh rasa cinta dan penghayatan, khususnya buat peminat lagu-lagu berunsur dakwah. Versi baharu ini menyatukan dua generasi — yang lama dengan nostalgia DeHearty, yang baru dengan semangat Yusuf Kassim yang penuh ketulusan.

Kualiti rakaman, pemilihan lirik, susunan muzik dan penampilan visual dalam MV semua nampak terjaga dan menyentuh jiwa. Paling Budiey suka, transformasi lirik di hujung lagu yang menandakan penutup kepada pencarian — satu simbolik yang kuat untuk mereka yang sedang dalam perjalanan mencari cinta yang berkat.

Kalau anda sedang mencari lagu yang boleh buat hati bergetar dan tersentuh… inilah dia. Jangan tunggu lama-lama — pergi tonton sekarang dan hayati mesej yang cuba disampaikan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan ‘Mission Impossible The Final Reckoning’ Sarat Aksi Mind-Blowing