in ,

Pendedahan ‘Berani Mati’ Meghan Markle, Kehidupan Monarki British Yang Penuh Toksid

MENDIANG Puteri Diana pernah meninggalkan segugus kata-kata: “Sekiranya kita bertemu dengan seseorang yang kita sayang dalam hidup, kita mesti bertahan, menjaganya dan kalau kita bernasib baik bertemu seseorang yang cintakan kita, maka lindungilah dirinya.”

Barangkali meletakkan keluhuran nilai tersebut di tempat paling atas, anak kedua Diana, Putera Harry, Duke Sussex sanggup melepaskan keistimewaan diraja dan melangkah keluar dari Buckingham Palace bersama cinta hatinya, Meghan Markle, Duchess of Sussex.

Sejak dari hari pertama minggu ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa satu dunia ‘bergoncang’ dengan pendedahan berani mati dan eksklusif dua jiwa itu kepada mogul televisyen, Oprah Winfrey berkenaan ketoksidan yang wujud dalam kehidupan Monarki British.

Meghan Markle

Perkauman, toksik

Dalam satu pendedahannya, Megan pernah berniat mahu mencabut nyawa sendiri kerana tidak sanggup lagi berdepan diskriminasi dan perkauman terlampau dalam sistem monarki keluarga diraja Britain.

Pengakuan tersebut tercetus saat ditanya, sama ada dia pernah terfikir untuk menamatkan hidupnya.

“Saya tidak mahu hidup lagi dan itu adalah pemikiran berterusan yang sangat jelas dan menakutkan,” ujarnya.

Pendedahan Meghan yang disifatkan sebagai luar biasa dalam keluarga diraja dilihat sekali lagi meletakkan institusi itu dalam keadaan tegang dan tercengang.

Ketika Meghan berdepan masalah kesihatan mental, usaha untuknya mendapat bantuan juga dinafikan oleh keluarga diraja itu.

Menerusi wawancara yang disiarkan menerusi saluran CBS pada Ahad, Megan memberitahu, hak anak lelakinya, Archie sebagai putera dalam kerabat diraja turut dinafikan hanya kerana dikandung oleh seorang wanita berketurunan kulit hitam.

“Lebih menyedihkan apabila mereka menimbulkan kebimbangan mengenai warna kulit Archie sebelum dilahirkan,” katanya yang berketurunan Afrika-Amerika seperti yang dipetik dalam laporan media antarabangsa.

Meghan Markle

Gelaran dilucut, semangat mendiang Diana

Seiring keputusan mengejutkan, pasangan itu mahu memulakan kehidupan baharu dan keluar dari keluarga diraja Britain, pada Januari tahun lalu Harry meninggalkan United Kingdom (UK) untuk bersama Meghan dan anak mereka, Archie di Kanada,

Selepas membuat keputusan berpindah ke Amerika Utara, bekas pelakon televisyen itu mula digambarkan akhbar Britain sebagai keras kepala, licik dan pasangan yang terburu-buru serta mementingkan diri apabila membuat keputusan meninggalkan kehidupan diraja.

Kata Harry, penghijrahan terpaksa dilakukan kerana bimbang sejarah akan berulang.

Dia merujuk kepada insiden kematian ibunya, Puteri Diana yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya bersama Dodi Al-Fayed, anak jutawan kelahiran Mesir, Mohamed Al-Fayed pada tahun 1997 di Paris.

“Saya benar-benar kecewa (merujuk kepada Putera Charles). Keluarga saya sekat sumber kewangan,” katanya.

Berbanding abangnya, Putera William, Duke Cambridge yang dilihat memilih jalan selamat mengiyakan kebanyakan protokol di Buckingham, Harry sepertinya hidup dengan semangat Diana yang keluar daripada kepompong kelaziman.

Harry lebih berani, tegas berpendirian, dan tidak takut berdepan tekanan kerabat diraja biarpun dia dan isteri terpaksa berdepan kemungkinan dilucutkan gelaran Duke and Duchess of Sussex. Semuanya kerana melanggar perjanjian ‘Megxit’ iaitu slanga yang digunakan bagi menggambarkan pengunduran pasangan itu daripada institusi diraja Britain.

Elaun dipotong

Harry mendedahkan, aliran kewangannya juga dipotong sejak tahun 2020 kerana keingkarannya tunduk kepada sistem berkenaan.

“Saya bawa apa yang ibu saya (mendiang Diana) tinggalkan kepada saya. Tanpa bantuan (apa yang ditinggalkannya), kami tidak akan mampu buat semua ini.

“Saya dapat rasakan bahawa ibu seperti sudah dapat mengagak perkara ini akan berlaku. Saya betul-betul dapat merasakan kehadiran dirinya dalam setiap keseluruhan proses apa yang berlaku,” kata Harry.

Kata orang, kerana mulut badan binasa. Sudah tentu langkah berani Harry dan Meghan telah menyemarakkan lagi api kebencian yang telahpun ‘terbakar’ pada saat mereka memutuskan untuk melangkah keluar dari Buckingham.

Memetik laporan The Times of London, pihak istana dalam satu pertemuan minggu lalu telah berbincang untuk menarik gelaran pasangan itu kerana melanggar perjanjian ‘persidangan Sandringham’ yang dibuat setahun lalu melibatkan pengunduran diri dari keluarga diraja Britain.

Kahwin rahsia, anak perempuan

Selain mahu membunuh diri, satu lagi kejutan berlaku apabila Meghan mendedahkan dia dan Harry sebenarnya telah berkahwin secara rahsia tiga hari sebelum upacara perkahwinan rasmi.

“Tiga hari sebelum perkahwinan kami, kami sudah pun berkahwin. Tiada siapa tahu tentang perkara itu.

“Kami hanya berkata, perkahwinan gilang-gemilang hanya untuk tontonan dunia.

“Tetapi kami mahu persatuan kami di antara kami, jadi sumpah yang telah kami lakukan di bilik kami, hanya kami berdua di halaman belakang Archbishop Canterbury,” dedahnya.

Dalam wawancara berdurasi dua jam tersebut, pasangan itu mendedahkan jantina anak kedua yang dijangka lahir pada pertengahan tahun nanti perempuan.

Kini, Meghan dan Harry benar-benar sudah keluar daripada kehidupan diraja.

“Sekarang kami bahagia di tempat lain. Sebenarnya, kami bukan hanya meneruskan kehidupan tetapi kami berjaya buktikan sesuatu.

“Ini keajaiban. Semua perkara yang saya harapkan berlaku, sudah berlaku,” dedah Meghan lagi.

Ketika ditebak adakah Meghan menjadi dalang terhadap semua yang sedang berlaku sekarang, jawab Harry: “Bukan dia (Meghan) yang paksa saya buat ini.

“Saya tidak lari daripada tanggungjawab. Saya cuma melangkah mundur daripada mengundurkan diri.

“Satu persekitaran yang sukar bagi sesetengah orang. Kita tahu betapa media Britain mampu jadi toksik dan membunuh kesihatan mental saya.

“Jadi, saya buat apa seorang suami dan bapa akan buat – keluarkan keluarga saya daripada semua itu.”

Pada hujungnya, sesiapapun bebas memiliki banyak pendapat berbeza tentang apa yang berlaku.

Setiap keluarga mempunyai sejarah dan drama tersendiri. Keluarga Diraja British tidak terkecuali.

Apa yang tercanang berhubung kisah tersebut memberi bisikan betapa kemegahan sesebuah istana, kemasyhuran kehidupan putera-puteri raja atau golongan elit tidaklah seindah yang disangka.

*Sumber: Kosmo!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Blog Featured 1 | 23

Lama Menghilangkan Diri, Noorkumalasari Bongkar Sesuatu Tentang Anita Sarawak

Hael Husaini | 24

Anugerah Juara Lagu 35 Akhirnya Berlangsung Memperjuang Semangat Positif