in , ,

Pementasan Wayang Kulit Sakti dan Gema Gangsa di Istana Budaya

Sekian lama Panggung Sari Istana Budaya tutup tirai akibat pandemik COVID-19, kini pementasan kembali diadakan.

Pementasan Wayang: Sakti yang merupakan persembahan wayang kulit diiringi muzik secara langsung oleh kumpulan pemain wayang kulit Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 19 dan 20 November ini.

Menariknya, pementasan kali ini akan menggunakan konsep sinematik yang menggabungkan teknologi ‘virtual reality’ dan ‘motion capture’ bertujuan memberi impak luar biasa setanding dengan peredaran semasa.

Pementasan Wayang Kulit Sakti dan Gema Gangsa di Istana Budaya

Barisan pelakon terdiri daripada Mohd Suhaimi Ibrahim sebagai Tok Dalang, Zamzuriah Zahari (Puteri Rakna Dewi), Kamarul Baisah Hussin (Jin Hitam Sangduja), Tengku Iefizulasyrifie Putra (Kera Belira Indera), Rudy De Luna (Sakti Kenchana) dan dibantu Artis Budaya Istana Budaya.

Pementasan Gema Gangsa pula akan dipentaskan pada 27 dan 28 November ini di lokasi yang sama jam 8:30 malam. Program gabungan pemuzik OTM dan kumpulan Asuhan Seni Istana Budaya ini menampilkan konsep gamelan Melayu tradisional dan kontemporari dengan gubahan baharu tanpa menghilangkan nilai tradisi serta ciri estetika muzik gamelan. 

Tetamu jemputan untuk Gema Gangsa adalah tokoh gamelan, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Hamzah Abd Hamid, penyanyi terkemuka tanah air Ella, penggiat teater Naqiu dan adik Amirah Murshidah Nor Azman daripada kumpulan Asuhan Seni. 

Kedua-dua pementasan ini adalah salah satu usaha Istana Budaya untuk terus mempopularkan teater wayang kulit dan muzik gamelan supaya seni persembahan tradisional ini kekal relevan dan terus diminati umum.

Pementasan Wayang Kulit Sakti dan Gema Gangsa di Istana Budaya

Tiket pementasan Wayang: Sakti berharga RM20, RM30, RM50 dan RM80 manakala tiket Gema Gangsa dijual pada harga RM78, RM88, RM98 dan RM108 boleh ditempah bermula 9 November 2021 jam 5:30 petang di laman sesawang Istana Budaya.

Pembayaran tiket yang telah ditempah boleh dilakukan secara tunai bermula 15 November ini di kaunter Box Office Istana Budaya dari 11 pagi hingga 4 petang. Orang ramai yang tidak membuat tempahan juga boleh mendapatkan tiket secara manual di kaunter bermula pada tarikh yang sama.

Istana Budaya turut mengingat penonton yang berhasrat menonton kedua-dua persembahan ini perlu lengkap divaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta peraturan sedia ada di Istana Budaya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menonton dengan syarat ditemani ibu bapa atau penjaga yang juga lengkap dua dos vaksinasi. Pihak Istana Budaya berhak menghalang orang ramai yang didapati bergejala dan tidak mematuhi SOP daripada memasuki premis.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hadiahkan Ibu Beg LV RM14,200, Nubhan Tiada Niat Menunjuk

“Agak-Agaklah,” Rozita Che Wan Tolak Tawaran Berlakon Watak Ibu Kepada Remy Ishak