in

LoveLove SEDIHSEDIH

Pelakon Shukery Hashim Meninggal Dunia

Derita barah pankreas dikesan tiga bulan lalu

Budiey BlogPelakon terkenal, Mohamad Shukery Hashim atau Shukery Hashim menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, jam 1.45 petang semalam akibat barah pankreas tahap empat yang dideritainya sejak tiga bulan lalu.

Shukery, 55, dimasukkan ke hospital, Jumaat lalu bagi mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit di bahagian perut. Isterinya, Faridah Mat Desa, 51, berkata sebelum ini arwah pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreas 22 April lalu di Hospital Selayang dan sejak itu kesihatannya mula merosot.

“Sepatutnya arwah menjalani rawatan kemoterapi tetapi dia sering menangguhkannya atas pelbagai alasan. Jadi, apabila dia mengadu sakit, kami pun menghantarnya ke PPUKM. Sepanjang berada di sana, dia sering mengadu tidak dapat tidur kerana terlalu sakit. Malah ada ketika dia terasa kakinya seperti kudung kerana terlalu kebas dan meminta saya merendamkannya di dalam air,” kata Faridah ketika ditemui di kediamannya di Taman Fairuza, di sini.

Mengulas lanjut keadaan suaminya, Faridah berkata walaupun Allahyarham menderita, dia tidak pernah menunjukkan kesakitannya itu kepada anggota keluarganya yang lain.

“Ketika di hospital, arwah rancak berbual dan bergurau seperti waktu dia masih sihat dulu. Cuma dalam kami bersembang itu sempat juga dia berpesan menjaga anak kami dengan baik, terutama anak bongsu kami, Amirul. Dia mahu saya memberi tumpuan kepadanya kerana dialah satu-satunya yang masih di bangku sekolah. Jadi dia tidak mahu anak bongsunya itu terjebak dalam gejala kurang sihat.” katanya.

Jenazah Allahyarham dikafan dan disembahyangkan di rumahnya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan lima anak, iaitu Norshikin, 28; Norizety, 26; Mohd Firdza, 25; Mohd Aidil, 22; dan Mohd Amirul, 14 serta tiga cucu yang berusia antara dua bulan hingga tiga tahun.

Pelakon serba boleh ini memulakan kariernya dengan drama radio pada 1975 diikuti dengan drama TV pada 1984. Sehingga kini lebih ratusan drama dibintanginya, termasuk yang sedang ditayangkan Cinta Gila di Astro Prima, dengan Allahyarham memegang watak Mahmood seorang penyanyi lama yang ingin kembali aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Allahyarham pernah membintangi tujuh filem dan kemunculan sulungnya adalah melalui filem Rahsia arahan Othman Hafsham pada 1987, diikuti Syahadat, Ujang, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan terakhir Shh… Dia Datang arahan Saiful Apek yang belum ditayangkan.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. benar….kematian tetap hadir mencari bila tiba saat dan ketikanya.

    takziah dan alfatihah buat keluarga yang ditinggalkan….alfatihah

  2. Al-Fatihah – takziah..rasa sedih kerana kini kita khilangn satu lg bintang yg serba boleh dlm industri seni tanahair…semoga rohnya sentiasa diberkati dan dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T….

  3. Takziah kepada keluarga Allahyarham Syukri Hashim..dunia hiburan kehilangan seorang lagi pelakon yang serba boleh terutama dalam drama TV..semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan orang2 solihin..alfatihah…

  4. sebutir bintang yg sukar dicari ganti,moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dikalangan org2 yg beriman. Al Fatihah…

  5. Alfatihah, Buat allahyarham semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Segala ketentuan adalah dari Allah jua dan di harap seluruh keluarga dapat menerima dan pasrah…….Amin

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Nizam dan Zilla Layak ke Pertandingan Akhir Bintang RTM

Adila & Yazid Peserta Oo La La Pertama Tersingir