in

Pelakon Era 80-an Norlida Ahmad Masuk ICU

Pelakon era 80-an, Norlida Ahmad, 58 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat perubatan Universiti Malaya semalam akibat terlalu banyak asid dalam darah sehingga merebak ke hati.

Anak perempuannya, Ally Marisha Afrina Abdullah, 18, memberitahu BH Online, ibunya berada dalam keadaan stabil biarpun tetap di bawah pemantauan doktor.

“Tekanan darah ibu pun sudah kembali normal. Pada mulanya, ibu dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu kerana terlalu banyak asid dalam darah sehingga berlaku jangkitan kuman pada buah pinggangnya.

“Semalam, ibu terpaksa dimasukkan ke ICU pula kerana ia sudah merebak ke hati. Alhamdulillah, ibu kini sudah stabil dan dia masih lagi di bawah pemantauan doktor,” katanya.

Kata Ally, doktor masih mencari punca sebenar penyakit berkenaan memandangkan ibunya seorang yang begitu peka dalam penjagaan makanan.

“Setahu saya, dia selalu jaga makan. Sekarang ini doktor cuba mengesan punca penyakit itu,” ujarnya.

Norlida atau lebih mesra disapa Connie adalah antara pelakon wanita paling popular pada era 1980-an.

Beliau pernah membintangi filem Tujuh Biang Keladi (1984), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Suara Kekasih (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Gila-Gila Si Pikoy (1987), Dendang Remaja (1988), Tuah (1988), Guru Badul (1988) dan Sumpahan Mahsuri (1989).

Norlida pernah dua kali dicalonkan dalam kategori Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia, masing-masing menerusi filem Tujuh Biang Keladi dan watak lagenda Mahsuri dalam Sumpahan Mahsuri.

Beliau juga dipilih oleh peminat hiburan tempatan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 1989.

Norlida turut menggenggam trofi Pelakon Pembantu Filem Popular pada ABPBH 1990.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kisah Azam Baharu Dalam Telemovie WAU ITU BULAN

RTM Siar Filem BOPENG Lakonan Nabil Ahmad & Johan Asa’ri