in

Pasaran Muzik Terbesar di Dunia di Cannes

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bakal mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri daripada Bunkface Production, Faithful Music, Livescape Group, Breaking Records, Jazzy Group dan syarikat lain-lain ke acara perniagaan muzik dan produksi audio tahunan terbesar di dunia, Marché International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM), bertempat di Cannes, Perancis. Tahun ini menandakan penyertaan kali keempat bagi Malaysia keacara tahunan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung bermula 3 hingga 6 Jun 2016.

KKMM Bakal Ketuai Delegasi Malaysia Ke MIDEM

Pada tahun-tahun sebelumnya, Malaysia telah menyertai MIDEM melalui konsert Malaysia Supernova (2013 dan 2014), dan kerjasama strategik dengan negara lain seperti China, Korea dan Taiwan (2015). Kini, Malaysia telah membuktikan kredibilitinya untuk menjadi salah satu hab muzik di Asia, dengan penganjuran pelbagai festival muzik bertaraf antarabangsa seperti World Youth Jazz Festival, Rainforest World Music Festival dan Asia Music Festival, sekaligus menempatkan Malaysia di persada antarabangsa sebagai salah satu negara yang mempunyai industri muzik yang semakin rancak.

‪Menyedari kepentingan sektor muzik, KKMM mengambil langkah baharu pada tahun ini dengan memberi lebih tumpuan kepada sisi perniagaan industri muzik negara dengan membuka penyertaan kepada syarikat-syarikat di dalam seluruh ekosistem muzik. Justeru, selain syarikat rakaman, delegasi tahun ini turut merangkumi artis-artis tempatan (Bunkface, Paperplane Pursuit, dan Dennis Lau), penerbit muzik, penganjur konsert, ejen tempahan, syarikat pengurusan artis, dan lain-lain. MIDEM memberi peluang untuk industri muzik antarabangsa menerokai ekosistem, bakat-bakat, serta perkhidmatan di dalam industri muzik Malaysia, seterusnya membuka peluang yang lebih besar untuk mengeksport kandungan tempatan dan kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan promosi industri muzik Malaysia sebagai irama Asia di seluruh dunia.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, KKMM telah memperuntukkan RM118 juta di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) untuk membangunkankan industri kreatif tempatan. Menerusi DIKN, pelbagai program muzik telah dilaksanakan sebagai usaha KKMM untuk membangunkan serta menggalakkan bakat-bakat kreatif di dalam industri kreatif negara. Kerjasama antara pihak kerajaan dan industri muzik ini dijangka akan menjana pulangan ekonomi yang lebih besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Pada tahun 2014, sebanyak RM145 juta direkodkan bagi program pemasaran kandungan tempatan di pasaran antarabangsa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Tiga Sebab Anda Perlu Miliki NESCAFÉ® Dolce Gusto® Di Rumah

Majlis Iftar Bersama Bella Amira