in ,

Operasi Sekolah Tahfiz Milik Amy Search Diiktiraf Jais

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy, meluahkan rasa syukur apabila operasi sekolah tahfiz, Al-Bayan School of Quran & Hadith miliknya di Sungai Buloh dekat sini diiktiraf Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pemberian sijil bagi mengesahkan operasi sekolah berkenaan telah berlangsung di pejabat jabatan itu di Shah Alam dekat sini pada Isnin.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, berkata, dengan adanya sijil tersebut ia dapat memudahkan lagi pengendalian sekolah tahfiz berkenaan terutamanya dalam mendapat kepercayaan orang ramai.

“Alhamdulillah, Jais mempermudahkan niat saya untuk terus memperkukuhkan sekolah tahfiz ini. Dengan adanya sijil daripada pihak mereka, orang ramai akan lebih mempercayai penubuhan sekolah ini yang bertujuan mendidik anak-anak menghafal Al-Quran dan Hadis,” katanya kepada mStar Online.

Amy dihubungi mStar Online selepas menerima sijil penubuhan sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith di pejabat Jais dekat sini pada pagi Isnin.

Al-Bayan School of Quran & Hadith yang dibuka sejak awal tahun lalu merupakan sebuah sekolah yang mengkhususkan pelajar daripada kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun hingga 15 tahun.

Selain menghafal Al-Quran dan Hadis, mereka turut diajar Bahasa Arab selain pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Sementara itu, Amy berkata, sehingga kini, seramai 18 pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan dan dia merancang untuk memperbesarkan lagi sekolah tahfiz tersebut pada tahun hadapan.

“Apabila sudah ada sijil Jais, macam-macam benda yang dirancang tetapi biarlah ia bergerak sedikit demi sedikit. Cuma saya mahu membesarkan lagi sekolah tersebut dan membuat perpustakaan dalam sekolah itu. Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka yang kini saya memiliki sebuah sekolah tahfiz, perkara yang saya idam-idamkan selama ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amy dan keluarganya bakal mengerjakan ibadah Umrah pada 7 Julai depan.

Sumber: Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menangi Merchandise Filem ANT MAN

Didi Astillah Lebih Dikenali Sebagai Insta Famous