in

Animasi Islamik OMAR & HANA Catat 16 Juta Tontonan

Baru sahaja ditayangkan selama dua minggu di kaca televisyen, animasi Islamik ‘Omar & Hana’ telah melakar satu pencapaian yang membanggakan apabila berjaya mencatat jumlah tontanan sebanyak 16 juta dengan 11 juta di YouTube dan 5 juta di kaca televisyen melalui lagu-lagunya.

Lebih membanggakan, dengan jumlah tontonan yang sebegitu tinggi di YouTube, lagu ‘Main Sama-sama’ berjaya menduduki carta teratas di laman penstriman video popular tersebut selama empat hari berturut-turut bermula dari 7 Jun yang lalu.

Official-Poster

Animasi Islamik OMAR & HANA Catat 16 Juta Tontonan

Mengulas mengenai sambutan hangat yang diterima animasi ‘Omar & Hana’ ini, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro berkata, “Dengan jumlah keseluruhan tontonan sebanyak 16 juta selepas selama hanya dua minggu bersiaran di kaca televisyen, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa penerimaan karya animasi kanak-kanak semakin dihargai oleh masyarakat kini. Pencapaian ini akan menjadi pemangkin buat kami dan Digital Durian untuk menerbitkan lebih banyak lagi karya animasi yang berkualiti buat santapan ilmiah kanak-kanak.”

‘Omar & Hana’ merupakan sebuah animasi Islamik kanak-kanak yang menyampaikan mesej Islamik secara santai menerusi lagu-lagu menarik khas buat si cilik yang berusia satu hingga enam tahun.

Mula bersiaran pada awal Ramadan yang lalu, animasi Islamik terbaru hasil kerjasama Digital Durian dan Astro ini menampilkan dua karakter utama iaitu ‘Omar’ dan ‘Hana’, serta beberapa karakter sampingan yang mengajak kanak-kanak bernyanyi bersama mereka lagu-lagu berunsur Islamik secara santai. Pada setiap penghujung lagu pula akan disertakan sebaris hadis bertujuan memperkukuhkan lagi mesej di dalam lagu tersebut.

Trending nombor 1 di laman YouTube selepas dua minggu tayangan

Putri Yasmin menambah, “Selain daripada kandungan serta pendekatan yang digunakan, penghasilan animasi ‘Omar & Hana’ yang turut melibatkan kolaborasi bersama penggiat seni berpengalaman dalam industri seni tanah air menjadikan karya ini mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri. Antara mereka yang terlibat adalah Syahril daripada kumpulan nasyid In-Team yang menyumbangkan suara bagi karakter Ustaz Musa. Akan datang, animasi ini bakal berkolaborasi bersama sifu Datuk M. Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa serta Prof Dr. Muhaya dan suaminya, Dr. Azmi.”

Bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti tinggi dan sesuai buat kanak-kanak, pengisian kandungan animasi ini mendapat kerjasama daripada Puan Zaliza Alias daripada Genius-Aulad yang bertindak selaku Penasihat Pendidikan. Bagi informasi berkaitan agama pula, animasi ini mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli agama terkemuka, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Nushi Mahfodz daripada KUISCELL yang bertindak selaku Penasihat Syariah. Bukan itu sahaja, pandangan dan nasihat daripada imam, penceramah serta pensyarah daripada AlMaghrib Institusi, Shaykh Yahya Ibrahim, turut diambil kira.

Terbaru, animasi ini turut terdapat dalam versi Bahasa Arab yang boleh ditonton di laman YouTube melalui kata kunci ‘Omar Wa Hana’. Versi Bahasa Inggeris pula akan menyusul kelak. Penghasilan animasi ‘Omar & Hana’ turut dijayakan oleh Susu Wildan ADEK yang merupakan penaja pertama bagi animasi ini.

Selain boleh ditonton di saluran YouTube Omar & Hana, sempena bulan Ramadan ini animasi ‘Omar & Hana’ turut boleh ditonton di empat saluran Astro iaitu Astro Ceria (saluran 116), Astro Oasis (saluran 106), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135). Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO, Njoi Now dan On Demand.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Provocative Parlay of Love & Jealousy

Penginapan Yang Menyenangkan di Jurys Inn Cardiff di UK