in

Lima Keluarga Selebriti Popular Bergabung Dalam OH MY FAMILY

Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Rita Rudaini, Azad Jasmin dan Aziz M. Osman bersama anak-anak mereka keluar dari zon selesa demi menyelesaikan pelbagai misi hebat!

Buat pertama kalinya, lima keluarga selebriti popular bergabung di bawah satu bumbung bagi menjayakan program terbaharu di slot eBu, ‘Oh My Family!’.

Mereka terdiri daripada keluarga Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Rita Rudaini, Azad Jasmin serta Aziz M. Osman dan program ini akan bersiaran sebanyak enam episod pada setiap Rabu mulai 11 April 2018, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611).

OH MY FAMILY

Program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan on demand.

NOTA RINGKAS ‘OH MY FAMILY!’

• Oh My Family! memaparkan gelagat anak-anak Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Rita Rudaini, Azad Jasmin dan Aziz M. Osman dalam misi menyelesaikan sesuatu tugasan (dengan penglibatan minimum daripada ibu bapa mereka), bersesuaian dengan peringkat umur masing-masing.

• Mereka terdiri daripada Payish, Piyash & Piyush (anak Datuk Fazley), Dahlia Arissa (anak Datuk Aaron Aziz), Airit Qaqa Arjuna & Airit Rayyan Rizqin (anak Rita Rudaini), Amarra Sofea Rose (anak Azad Jasmin dan Eira Syazira) serta Ara Aziz (anak Aziz M. Osman).

• Mereka akan didedahkan dengan pelbagai situasi yang asing bagi diri mereka untuk menguji kecekalan mental dan fizikal masing-masing. Dalam pada itu, program ini akan turut memperlihatkan sejauh mana anak-anak cilik ini mampu bertindak dalam mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi setiap cabaran yang perlu dihadapi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

• Antara misi atau cabaran yang menanti anak-anak cilik ini ialah ‘mencari bahan masakan di pasar tani’, ‘mengemas rumah’, ‘menjana pendapatan sendiri’, ‘menaiki kenderaan awam’, ‘mendirikan khemah’ dan ‘mengadakan acara kejutan buat ibu bapa’.

• Setiap misi yang dijayakan ini mempunyai pengajaran dan nilai-nilai positif yang ingin diterapkan dalam diri mereka seperti berusaha untuk memperoleh apa yang diingini, kemahiran hidup (life skills), membina keyakinan diri dengan berinteraksi bersama masyarakat, berdikari, menghargai ahli keluarga dan sebagainya.

KENYATAAN RASMI

Razlin Irawati Johar, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro berkata:

“Selepas menerbitkan enam buah program untuk slot eBu, Oh My Family! merupakan buah tangan yang paling meriah untuk penonton di luar sana kerana program ini menghimpunkan lima buah keluarga selebriti terkenal iaitu keluarga Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Rita Rudaini, Azad Jasmin dan Aziz M. Osman. Mereka hadir bersama pasangan masing-masing untuk membantu anak mereka menyelesaikan misi serta cabaran yang diberikan dalam setiap episod program.

Menyentuh sedikit mengenai misi yang diberikan kepada anak-anak selebriti ini, ada misi yang baru pertama kali dilakukan oleh mereka seperti menjana pendapatan sendiri, menaiki kenderaan awam dan mendirikan khemah. Menarik lagi, dalam menyelesaikan sesuatu misi itu, mereka menonjolkan sisi berbeza yang tidak pernah dilihat oleh ibu bapa mereka sendiri. Oleh itu, penonton dapat melihat pelbagai aksi dan reaksi spontan yang mencuit hati daripada selebriti dan anak mereka dalam program ini.

Secara tidak langsung, Oh My Family! memberi peluang kepada barisan selebriti yang terlibat untuk lebih mengenali dan memahami sisi lain anak-anak mereka. Semoga program Oh My Family! ini memberi inspirasi kepada penonton terutamanya golongan ibu bapa untuk membina sebuah kehidupan berkeluarga yang positif, lebih harmoni dan bahagia.”

BUTIRAN SIARAN

Saksikan bagaimana lima keluarga selebriti ini menyelesaikan setiap misi yang diberikan dalam Oh My Family! pada setiap hari Rabu, mulai 11 April 2018 jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611). Program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan on demand.
IKUTI BERITA TERKINI ‘OH MY FAMILY!’

www.ebu.com.my Astro eBu
@my.ebu OfficialMyeBu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jom Tonton Video Klip Official Comel Pipi Merah – Siti Nurhaliza

Ismail Izzani & Naim Daniel Jadi Hos MUZIK JAM