in , , ,

Noraniza Idris & Michael Ang Berdamai di Anugerah MeleTop Era 2020

Konflik membabitkan penyanyi, Noraniza Idris dan pengarah kontroversi, Michael Ang berakhir apabila mereka saling bermaafan secara terbuka dalam sidang media khas di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) ketika berlangsungnya Anugerah Meletop Era 2020 (AME2020).

Mengulas perkara itu, Michael menjelaskan pertemuan empat mata itu dibuat bagi meleraikan salah faham yang berlaku antara mereka berikutan kritikan yang dilakukan dalam media sosial berhubung persembahan Noraniza ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang melabuhkan tirai, minggu lalu.

“Saya minta Astro mengatur pertemuan kerana mahu orang luar mengetahui perkara sebenar. Saya juga mahu Noraniza tahu kritikan ini bukan bersifat peribadi, tetapi lebih kepada persembahannya. Saya ingin meminta maaf kerana komen yang dibuat menggunakan bahasa kasar.

Noraniza Idris & Michael Ang Berdamai di Anugerah MeleTop Era 2020

“Saya seharusnya lebih berhati-hati dan berlapik, memandangkan Noraniza sudah berusia. Saya lega apabila perkara ini selesai dan Noraniza tahu niat sebenar saya mengeluarkan komen ini,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Noraniza menyifatkan pertemuan itu sebagai perkara yang positif apabila berjaya meleraikan keraguan terhadap niat sebenar pengarah berkenaan mengkritiknya secara terbuka dalam laman sosial.

“Saya tak pernah mengenali Michael secara peribadi. Apabila kenal hati budinya, ia sudah memadai. Sebelum ini, saya pernah dihentam oleh seorang selebriti, tetapi disebabkan saya memang mengenalinya dan tahu orangnya bagaimana, saya tak ambil hati pun.

“Cuma, saya harap Michael dapat mengawal tutur kata dan penulisan kerana dia seorang yang berpengaruh. Tak mahulah apa yang ditulis boleh mendorong netizen untuk menulis ikut rasa. Apapun, saya sudah memaafkannya dan tak simpan dendam,” kata penyanyi Dikir Puteri itu.

Kontroversi membabitkan dua selebriti itu tercetus apabila pengarah drama rantaian, Sweet Dreams itu begitu lantang memberikan komen persembahan penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Etnik Kreatif berkenaan menerusi laman Twitter.

Terkesan dengan komen berbisa yang dilemparkan, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan sutradara sensasi itu selepas program GV7 berakhir.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook menyentuh isu status mualaf Michael dan mengaitkan tujuannya memeluk Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti.

*Sumber: BH Online

Michael Ang Seorang Yang Sangat Baik – Noraniza Idris

Konflik antara penyanyi, Noraniza Idris, dan pengarah Michael Ang akhirnya terlerai apabila keduanya kembali berdamai dalam satu pertemuan diatur pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), semalam.

Menurut Noraniza, dia memang berhajat untuk bertemu Michael untuk mengenalinya secara peribadi disebabkan tidak pernah rapat sebelum ini.

“Saya ingin memohon maaf secara bersemuka dengan Michael atas apa yang berlaku antara kami. Ternyata, dia adalah seorang yang sangat baik meskipun ramai nampak dia lantang bersuara.

“Saya juga sudah menegur peminat untuk menjaga tutur kata dalam berbicara mengenai apa yang berlaku. Saya tidak mahu mereka mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur rasis,” katanya.

Bagi Michael pula, dia memaklumkan dirinya tiada masalah pun hendak bersemuka dengan penyanyi Dikir Puteri itu

“Mungkin kenyataan saya agak kasar seolah-olah bersifat peribadi terhadapnya sebelum ini. Apa yang saya luahkan di Twitter adalah jujur daripada sudut peminat program realiti dan bukannya sebagai rakan industri.

“Jujur, saya tiada masalah dengan Noraniza. Cumanya, saya terkesan apabila ada komen yang sampai menyentuh mengenai niat saya masuk Islam disebabkan mahu perhatian, itu saya marah.

“Saya tidak akan berhenti untuk kongsi pendapat jujur mengenai industri selepas ini. Orang pun sudah tahu bukan bagaimana mulut saya ini,” katanya.

Terdahulu, isu pertelingkahan antara mereka tercetus apabila Michael menulis kritikan pedas mengenai persembahan Noraniza di Gegar Vaganza 7 (GV7). Sekali gus, ia menimbulkan kemarahan Noraniza, keluarga dan peminatnya.

Noraniza Idris, Michael Ang Berdamai

Penyanyi Noraniza Idris dan sutradara kontroversi, Michael Ang masing-masing memohon maaf secara terbuka berhubung isu yang terpalit antara mereka sebelum ini.

Kedua-duanya membuat permohonan maaf dalam satu sidang akhbar khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebentar tadi sewaktu berlangsungnya majlis Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020).

“Dalam peluang dan ruang ini, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Michael atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

“Selepas ini saya akan pastikan peminat saya mengawal tutur kata dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif seperti isu rasis,” tutur Noraniza Idris memulakan maaf.

Sejurus permohonan maaf tersebut dibuat, Michael turut melakukan perkara sama dengan berbesar hati memohon maaf kepada Noraniza yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang berlangsung dua minggu lepas, Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan peserta program berkenaan menerusi Twitter.

Nama Noraniza antara penyanyi yang sering mendapat kritikan pedas dan negatif daripada pengarah itu.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa itu selepas tamat program berkenaan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook menyentuh isu status mualaf Michael dan mempersoalkan tujuan utamanya masuk Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti. –

*Sumber: K!ONLINE

‘Saya Peminat Lagu You Tau’ – Michael Ang Mohon Maaf Kepada Noraniza Idris

PENGARAH drama terkenal, Michael Ang meminta maaf kepada penyanyi, Noraniza Idris secara langsung di Anugerah Meletop Era 2020 (AME).

Michael meminta maaf selepas Noraniza selesai membuat kemunculan khas semasa persembahan Shiha Zikir dan Wany Hasrita yang menyanyikan lagu etnik kreatif iaitu “Hati Kama” dan “Ting Ting”.

Menurut pengarah “Sweet Dreams” itu, dia langsung tidak berniat apa-apa dan apa yang dikatakan jujur dari hati.

“Mungkin bahasa saya terlalu kasar, jadi saya minta maaf sebab saya tak berniat apa-apa,” katanya semasa siaran langsung AME 2020.

Pada masa sama, Ratu Etnik Kreatif itu juga mengatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah untuk menerima kritikan namun apabila ia datang daripada Michael Ang yang mempunyai pengaruh yang besar ia agak terkesan buat dirinya.

“Michael orang berpengaruh, jadi dah tarik semua netizen untuk katakan sesuatu yang tidak baik pada Kak Ani, Kak Ani sedih tau” balas Noraniza.

Noraniza yang popular dengan lagu “Dikir Puteri” itu juga meminta agar Michael Ang selepas ini menggunakan perkataan-perkataan yang baik ketika beri komen pada seseorang.

Sebelum ini, Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan peserta program Gegar Vaganza menerusi Twitter.

Nama Noraniza antara penyanyi yang sering mendapat kritikan pedas daripada pengarah yang popular dengan drama “Perempuan Tanpa Dosa” itu.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah tersebut selepas tamat program berkenaan.

Sumber: *Astro Awani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Asyraf Nasir Lancar Single KELIRU

Tiga Selebriti Ini Beranikan Diri Membuat Lamaran Secara Langsung di Kaca TV