Apabila lima nama besar dalam dunia muzik Nusantara — Tulus, Sal Priadi, Dere, Idgitaf dan Kunto Aji — berkumpul di satu pentas, ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pertemuan jiwa dan seni yang langka. Itulah yang bakal dirasai oleh para peminat Malaysia pada 5 Disember 2025, apabila Tur SAMA SAMA singgah di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, tepat jam 7.30 malam.
Sebuah Janji Yang Akhirnya Ditepati
Segalanya bermula di Bogor pada 24 Mei lalu. Ketika menutup siri persembahan di sana, Tulus melontarkan satu janji yang mencetuskan debaran di hati peminatnya. “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” katanya di hadapan ribuan penonton yang bersorak penuh semangat. Kini, janji itu akhirnya tertunai.
Malaysia menjadi destinasi kelima selepas Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor — sekaligus menjadi negara pertama di luar Indonesia yang bakal menyaksikan magis kolaborasi luar biasa ini. Tur ini bukan sekadar himpunan lima penyanyi solo, tetapi satu persembahan eksperimental di mana mereka saling bertukar lagu, berduet, bertrio, malah bergabung sebagai kuintet dalam format muzik yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Kolaborasi Yang Tidak Biasa, Persembahan Yang Tak Terulang
“Tentu sahaja pengumuman Tur SAMA SAMA yang bakal diselenggarakan di Idea Live Arena menjadi sebuah mimpi besar yang hampir direalisasikan kami selaku penganjur setelah mendapat sambutan hangat di Indonesia,” ujar Udzir Harris dari Thrive dengan penuh teruja.
Sementara itu, Bram Tulong dari ExpoIndo pula menambah, “Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi, dan Idgitaf akan bertandang ke sini membawa tema kolaborasi tak biasa. Tur SAMA SAMA adalah janji yang lahir daripada apresiasi besar peminat terhadap mereka.”
Manakala Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu pula memberi amaran mesra: “Sampai jumpa di Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena pada 5 Disember 2025. Jangan sampai tidak membeli tiketnya kerana anda akan rugi terlepas momen sebuah tur kolaborasi paling epik tahun ini.”
Harga Tiket, Kategori Dan Tarikh Pra-Jualan
Berita baik buat peminat muzik Indonesia di Malaysia — tiket pra-jualan rasmi telah dibuka sejak 29 September 2025, bermula pada harga RM228. Terdapat 11 kategori tiket untuk dipilih mengikut bajet dan keselesaan anda: Bronze, Crystal, Silver, Gold, Diamond, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite.
Kesemua tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi BBO Events dan laman web samasamatur.com. Disebabkan sambutan yang begitu hangat, pihak penganjur telah melanjutkan tempoh pra-jualan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025, bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk mendapatkan tempat mereka.
Satu Malam, Lima Dunia Muzik, Satu Bahasa Jiwa
Menariknya, kelima-lima artis ini akan tampil bukan sekadar dengan lagu hits masing-masing, tetapi dengan susunan lagu baharu yang dicipta khas untuk tur ini. Bayangkan “Sepatu” (Tulus) dinyanyikan semula dalam gaya lembut Dere, atau “Ego” (Sal Priadi) dibalut dengan vokal magis Kunto Aji. Itu belum termasuk kejutan lagu-lagu baharu yang mungkin debut buat pertama kali di Kuala Lumpur.
“Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi persembahan dalam format kolaborasi yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini. Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio hingga kuintet kami,” ujar Sal Priadidengan penuh semangat.
Dari Indonesia Ke Malaysia: Tur Penuh Cinta Dan Karya
Tur SAMA SAMA bukanlah sekadar konsert — ia simbol persahabatan dan solidariti antara pemuzik Nusantara. Setiap persembahan di Indonesia sebelum ini telah menerima pujian melangit daripada pengkritik dan peminat. Di setiap kota, tiket habis dijual dalam masa yang singkat. Ramai penonton bahkan menggambarkan pengalaman itu sebagai “spiritual dan emosional dalam satu malam.”
Kini, giliran Malaysia pula untuk merasai keajaiban itu. Dengan sokongan rasmi Tourism Malaysia dan kempen Cuti-Cuti Malaysia, acara ini dijangka akan menarik bukan sahaja peminat tempatan, tetapi juga pelancong serantau.
Platform Rasmi Dan Rakan Strategik
Tur SAMA SAMA disokong oleh beberapa rakan strategik yang menjadikan acara ini lebih besar daripada sekadar konsert. Antara penaja rasmi ialah myBCA (bank rasmi), serta ERA, Sinar dan THR Gegar sebagai radio rasmi, dan Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi.
Untuk mengikuti berita terkini, pengumuman rasmi dan behind-the-scenes menarik dari para artis, peminat boleh mengikuti akaun media sosial rasmi di @samasamatur dan @thriveevents_my.
Informasi Lengkap Acara
Acara: Tur SAMA SAMA
Artis: Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi, Idgitaf
Lokasi: Idea Live Arena, Kuala Lumpur
Tarikh: 5 Disember 2025
Masa: 7.30 malam
Penganjur: ExpoIndo, Thrive, Tiga Dua Satu
Tiket: BBO Events, samasamatur.com
Tempoh Pra-jualan: 19 Oktober – 2 November 2025
Sokongan Rasmi: Tourism Malaysia, Cuti-Cuti Malaysia
Apa Kata Budiey?
Budiey rasa inilah konsert yang tak boleh dilepaskan langsung tahun ini — bukan sekadar sebab line-up yang ‘gila power’, tapi kerana jiwa Nusantara yang dibawa oleh lima figura ini jarang sekali kita dapat saksikan dalam satu pentas. Tur SAMA SAMA bukan sekadar hiburan, tapi satu manifestasi kesatuan muzik serantau yang menghubungkan emosi, bahasa dan budaya kita.
Budiey yakin persembahan ini akan jadi malam bersejarah — penuh harmoni, puitis dan menggugah hati. Kalau anda pencinta muzik sejati, inilah peluang untuk jadi sebahagian daripada sejarah itu. Jangan tunggu lama, tiketnya cepat habis!
Kongsikan pengalaman anda nanti di media sosial dengan hashtag #SamaSamaTourKL #BudieyChannel #IdeaLiveArena — dan siapa tahu, mungkin Budiey pun akan ada di sana malam itu.