in

Nazrey Johani Album Nasyid Nostalgia Memori The Zikr

Selepas melahirkan album Syahadah pada tahun 2007, kini Nazrey Johani, bekas vokalis utama kumpulan nasyid Raihan tampil dengan album terbarunya Nasyid Nostalgia Memori The Zikr.

Budiey turut diundang untuk turut sama menyaksikan Majlis Pelancaran Album Nasyd Nostalgia Memori The Zikr di Restoran Puteri, Damansara pada jam 3 petang tadi. Nazrey turut mempersembahkan dua buah lagu dalam album terbarunya.

 

Sejak bergelar artis nasyid, perjuangan dalam seni nasyid tersemat kemas dalam diri Nazrey Johani. Katanya, semua orang boleh menyampaikan hiburan, namun bagi Nazrey, perjuangan dalam nasyid semata-mata kerana Allah dan Rasul, bukan kerana hiburan tetapi kerana Islam.

“Kami mahu memperkembangkan nasyid lebih luas. Kerana itu, saya keluar dari Raihan dan kembali dengan solo. Sekarang, kenapa nasyid tidak boleh menjadi seperti Pop. Ini kerana nasyid adalah nasyid. Saya bukan dari kumpulan pop, saya berasal dari grup nasyid.”

Apabila ditanya, banyak sekarang ini lagu nasyid telah dicampur adukkan dengan irama pop dan hip hop. Komen Nazrey:

“Soal kemahiran, bakat dan strategi pemasaran, prinsip dalam perjuangan masing-masing mungkin tidak jelas. Prinsip saya, nasyid perlu ada lirik yang jelas. Mesej yang betul dan melodi yang bermutu. Contoh, budaya hip hop adalah budaya di negara luar dan boleh dinasyidkan dengan cara budaya mereka. Tetapi kita di Malaysia ini, perlulah ada budaya kita sendiri dalam irama nasyid.”

Kumpulan The Zikr dan Raihan adalah jiwa Nazrey Johani. Sebenarnya, orang yang boleh mencipta lagu, dalam fikirannya ada gelombang irama lagu. Album ini tidak melibatkan mana-mana anggota Raihan.

Pernah popular awal tahun 90 an, The Zikr terkenal dengan lagu seperti Secerah Pawana, Isteri Pawana, Isteri Solehah, Tak Seindah Sentuhan Mata cukup sinonim kepada penggemar nasyid kontemporari hingga ke hari ini. Kombinasi vakal utama dan suara latar yang mengiringi begitu memikat hati sesiapa yang mendengarnya dan mungkin itulah yang menyebabkan nama The Zikr sering meniti di bibir para peminat.

Namun, ramai yang belum tahu bahawa vokalis utama kumpulan The Zikr itu adalah Nazrey Johani yang lebih dikenali dengan nama Nazrey Raihan. Setelah The Zikr dibubarkan, Nazrey Johari tampil menubuhkan kumpulan Raihan selama hampir satu dekad dan kini, beliau tampil secara solo.

Bertemakan cogankata Dulu Kini & Selamanya, Inteam Records Sdn Bhd telah menerbitkan album solo kedua Nazrey Johan berjudul Nasyid Nostalgia: Memori The Zikr.

Album ini mengandungi 10 buah nostalgia The Zikr yang pernah popular dahulu. Lagu-lagu tersebut dirakam dan dinyanyikan semula oleh Nazrey Johani dengan mood baru, tanpa menjejaskan keasliannya. Irama dan muziknya disusun semula dengan cukup indah oleh Eddie Slam dan diterbitkan oleh Salleh Brotherz.

10 buah lagu terpilih yang terdapat di album album nasyid notalgia: Memori The Zikr ini adalah Secerah Pawana, Harapan Pada-Mu Subur Kembali, Tak Seindah Sentuhan Mata, Perantau (feat Far East, Salleh Brotherz, Azahari Nowseeheart dan Naim Mirwana), Antara Dua Cinta, Isteri Solehah (feat Azahari Nowseeheart), Wahai Kaum Muslimin, Wahai Kekasih (Kaulah Segalanya), Mengemis Kasih (feat Far East) dan Air Mata Keinsafan (feat Salleh Brotherz).

Album ini seharusnya dimiliki oleh para peminat The Zikr secara umumnya dan peminat Nazrey Johani secara khususnya. Mendengar lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini pasti akan menggamit pendengar pada nostalgia dahulu. Album istimewa ini boleh didapati di pasaran bermula 16 Jun 2008 pada harga RM24.90 bagi CD dan RM15.90 bagi kaset.

Jangan lupa dapatkan yang orginal!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dato’ Siti Nurhaliza di Anugerah Media Islam Negara Ke-2

Gambar Nubhan di Majlis Menandatangani Kontrak Maestro Records & Artiste United Records