in ,

Natasha Hudson Bintangi Drama Dea Sofea

NATASHA HUDSON MUNCUL BINTANGI DRAMA DEA SOFEA DI TV2

Meskipun pernah muncul dengan single pertamanya bertajuk Hanya Tuhan Yang Tahu, hakikatnya nama pelakon cantik Natasha Hudson lebih menyerlah bergelar pelakon. Terbaharu jelitawan ini muncul sebagai watak utama dalam drama rantaian 13 episod bertajuk Dea Sofea mulai 3 Jun 2010, setiap Khamis, jam 9.30 malam di TV2.

Bakal bergandingan dengan pelakon baru meningkat naik Nur Fathia Abdul Latiff, Natasha membawakan watak Sofea merupakan anak tunggal kepada Bakri. Ibu Sofea sudah lama meninggal dunia. Bakri memiliki sebuah syarikat peruncitan barangan makanan beku untuk kegunaan domestik dan merupakan seorang usahawan yang sederhana. Setelah kematian isteri, Bakri memberi tumpuan penuh kepada Sofea dan tidak memikirkan hal perkahwinan demi sayangnya kepada anak tunggalnya itu. Dia mahu Sofea membesar dengan sepenuh kasih sayangnya.

Sofea baru saja menamatkan pengajian dan mula bekerja sebagai Pembantu Pengurus Akaun di syarikat milik Rashid, rakan lama ayahnya. Sofea bukan tidak mahu terus menyertai syarikat ayahnya selepas tamat pengajian tetapi mahu bekerja di tempat lain untuk mencari pengalaman terlebih dahulu. Bakri bersetuju, apatah lagi Sofea bekerja di syarikat rakan baiknya sendiri.

Hubungan Sofea dengan Rashid juga cukup baik. Rashid menganggap Sofea bagaikan anak sendiri. Syarikat milik Rashid yang memberi tumpuan kepada penjualan kereta terpakai dan barangan alat ganti itu semakin berkembang dan Sofea tidak kekok menjalankan tugasnya dengan pengawasan oleh ketuanya, Bakhtiar. Bakhtiar yang juga orang kepercayaan Rashid, nyata pemuda yang cukup komited dalam tugas dan seringkali kagum dengan hasil kerja yang ditunjukkan oleh Sofea. Rashid juga nyata gembira dengan prestasi Sofea dalam tugasnya walaupun baru saja menyertai syarikat itu.

Bakhtiar sudah pun bertunang dengan Maira, seorang model sambilan yang semakin laku di pasaran komersil. Apabila Sofea menjadi pembantu Bakhtiar, Maira nyata berprasangka buruk dan mula mencurigai Bakhtiar.

Bakri pula tenang menghadapi kehidupan. Pada satu majlis keramaian, dia diperkenalkan dengan Kamelia, wanita cantik muda jelita yang baru saja berpisah dengan anak seorang hartawan ternama. Rakan baik Bakri yang memperkenalkan mereka iaitu Lubis, beberapa kali memujuk Bakri supaya mencari pengganti arwah isteri.

Sofea berhubungan baik dengan Airil, pemuda sekolej dengannya hingga selesai pengajian. Airil telah pun bekerja sebagai wartawan di sebuah majalah yang memberi tumpuan kepada dunia lelaki. Bergaji tetap dan kreatif dalam penulisan, Airil cukup gembira kerana sudah pun mampu menyara keluarganya.

Airil berjumpa Sofea dan ucap tahniah kerana Sofea sudahpun menjadi orang pegawai ternama di syarikat Rashid. Sofea juga ucap tahniah pada Airil kerana berjaya menjadi wartawan dan mempersiapkan diri untuk mencapai cita-citanya menjadi penulis terkenal satu hari nanti. Namun tiada cinta yang terluah. Mereka tetap berkawan baik. Saling memberi pandangan dan nasihat.

Sementara itu Kamal, abang kepada Kamelia baru saja keluar penjara. Kamal berpakat dengan Kamelia untuk mendapatkan kehidupan yang senang. Kamal menyuruh Kamelia memikat Bakri tetapi nampaknya Bakri ‘liat’. Dia lalu mencuba sedaya upaya untuk menarik perhatian usahawan kaya itu.

Konflik cinta berlaku apabila Sofea telah diserang oleh Fauziah, bekas tunang Baktiar yang marah kerana Baktiar memutuskan pertunangan mereka. Disebabkan itu Fauziah mula menjauhkan diri daripada Baktiar apatahlagi ketika itu hubungannya dengan Airil mula rapat.

Drama yang turut menyelitkan isu pinjaman wang haram dan konspirasi merampas perniagaan dengan taktik kotor ini disiarkan mulai 3 Jun 2010, setiap Khamis, jam 9.30 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Lisa Surihani di Malam Gala & Red Carpet Filem Kapoww

Gossip Pelakon Jelita Goda Duda Kaya