in ,

Najwa Latif Duta Rasmi Portal e-Pembelajaran uniCLIQ

NAJWA ANGGAP DILANTIK DUTA AMANAH BESAR

Dipilih berdasarkan prestasi cemerlang dalam pelajaran & seni, Najwa Latif dilantik Duta Rasmi portal e-pembelajaran uniCLIQ.

Perlantikannya baru-baru ini sebagai duta rasmi sebuah portal e-pembelajaran untuk pelajar-pelajar sekolah menjadikan artis remaja sensasi YouTube Najwa Latif berasa teruja dan berbangga kerana beliau dapat terus mengasah bakat seninya sambil menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Meskipun demikian, Najwa tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dan rasa gementar apabila dilantik sebagai Duta Rasmi portal e-pembelajaran oleh syarikat uniCLIQ Sdn Bhd.

Najwa Latif

Ketua Pegawai Operasi uniCLIQ Sdn Bhd Analiz Alias (kiri) bersama-sama Duta Rasmi Portal E-Pembelajaran uniCLIQ, artis remaja popular Najwa Latif menunjukkan muka hadapan portal uniCLIQ yang boleh dilayari melalui iPad, tablet, komputer riba serta pelbagai alatan yang berasaskan Internet.

“Saya sebenarnya berasa agak takut kerana ini satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Saya akan cuba memainkan peranan saya sebagai duta yang mewakili produk ini dengan sebaik mungkin. Pada masa yang sama saya sangat teruja kerana saya dapat mengajak rakan-rakan dan adik-adik yang masih bersekolah untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran dengan cara yang lebih mudah,” ujar Najwa.

Sebagai duta rasmi, Najwa telah merakamkan semula dua lagu dari albumnya untuk digunakan sebagai muzik latar di portal uniCLIQ. Selain mamaparkan imej serta muzik Najwa, portal itu juga menyediakan satu laman blog khas bagi penyanyi genit tersebut berinteraksi dengan para pengguna portal dan peminatnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan Najwa bersama uniCLIQ, Ketua Pegawai Eksekutif uniCLIQ En. Apandi Dollah berkata: “Najwa Latif adalah personaliti yang tepat bagi mewakili uniCLIQ kerana beliau merupakan ikon bagi generasi muda dengan kumpulan penggemar dan pengikut yang ramai di dunia maya. Beliau dipilih sebagai duta uniCLIQ berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam pelajaran dan juga di dunia seni. Najwa memiliki keperibadian yang sangat baik dan menjadi contoh yang sempurna bagi para remaja.”

“uniCLIQ ternyata satu pilihan yang bijak untuk mengulangkaji kerana sistem pembelajarannya yang ‘sempoi’ lagi menyeronokkan. Malah saya dapat mengakses uniCLIQ melalui alat tablet android mahu pun iPad atau alatan lain yang mempunyai Internet seperti komputer riba, jadi apabila sahaja ada kelapangan walau di mana pun saya berada, saya dapat membuat ulangkaji melalui uniCLIQ,” tegas penyanyi cilik kelahiran Johor ini.

Najwa Latif

Bijak membahagikan masa antara aktiviti muzik dan pelajaran, Najwa sentiasa memastikan jadual seni tidak mengganggu waktu persekolahannya dengan hanya mengadakan persembahan pada musim cuti sekolah dan hujung minggu. Bagaimanapun beliau sekarang sedang berehat dari membuat persembahan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki hujung tahun ini.

Ditanya pengalamannya sejak menggunakan portal e-pembelajaran uniCLIQ, Najwa berkata: “Setelah menggunakan uniCLIQ, saya kini tiada alasan lagi untuk tidak mengulangkaji pelajaran kerana hanya dengan mengakses laman web uniCLIQ dari alat tablet android saya di mana-mana sahaja, saya boleh ulangkaji, buat latihan dan cari bahan rujukan.”

“Bagi saya kelebihan utama uniCLIQ ialah segalanya ada di situ termasuk bahan rujukan dan soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Ia sesungguhnya sistem pembelajaran interaktif yang tidak membosankan malahan sangat berkesan kerana kita akan lebih memahami apa yang telah diajar guru di kelas,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai mata pelajaran kegemarannya di sekolah, gadis yang bercita-cita menjadi pensyarah ini mengakui amat meminati Bahasa Inggeris dan Matematik. “Mungkin sebab saya suka mengira jadi secara tidak langsung saya gemar mata pelajaran Matematik,” katanya.

“Saya memang bercita-cita hendak menjadi pensyarah. Selepas SPM saya merancang menyambung pelajaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) ataupun muzik. Kerjaya seni dan muzik tetap akan berjalan seperti biasa kerana ia adalah minat saya dan matlamat saya ialah untuk sukses dalam kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Najwa turut menyeru rakan-rakan serta peminatnya yang masih bersekolah dan ingin belajar secara mudah dan senang difahami untuk mencuba sistem e-pembelajaran uniCLIQ kerana bukan sahaja ia mudah diakses melalui komputer, tablet android atau iPad, malah harganya juga sangat berpatutan.

Modul-modul dalam talian untuk pelajar rendah dan menengah boleh diperolehi dengan harga serendah RM20 sebulan untuk satu mata pelajaran. uniCLIQ menawarkan e-pembelajaran untuk subjek-subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sementara mata pelajaran elektif pula termasuklah Matematik Tambahan, Biologi, Seni Visual dan Pendidikan Islam. Pengguna juga boleh menikmati penjimatan dengan melanggan pakej 3 bulan dan 6 bulan pada harga diskaun.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru kerjaya muziknya, Najwa berkata album mini terbarunya yang berjudul ‘Najwa Latif’ baru sahaja berada di pasaran, memuatkan lima lagu termasuk termasuk dua lagu baru berjudul ‘Sahabat’ dan ‘I Love You’ selain lagu ‘Cinta Muka Buku’ yang melonjakkan namanya ke persada populariti muzik tanah air. Turut ditampilkan ‘Carta Hati’ dan ‘Kosong’, dua lagunya yang telah digubah semula untuk menjadi lagu latar di portal uniCLIQ.

Portal uniCLIQ yang boleh dicapai di www.uniCLIQ.com, adalah suatu produk pembelajaran maya yang bertujuan melengkapi pembelajaran konvensional di sekolah. Sistem e-pembelajaran ini direka khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dengan membolehkan mereka menjalani pembelajaran dan membuat penilaian sendiri bagi pelbagai mata pelajaran menurut tahap kemahiran, kesesuaian masa dan keselesaan masing-masing.

Digelar “Portal pembelajaran luar waktu sekolah”, uniCLIQ dibangunkan untuk kegunaan semua pelajar dalam mempelajari dan mengulangkaji secara dalam talian sepanjang tahun. Mendapat perakuan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, kandungan kursus multimedia interaktif ini dibangunkan mengikut Kurikulum Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian dan boleh digunakan melalui Internet bila-bila masa dan di mana sahaja di www.uniCLIQ.com.

Najwa Latif

Najwa Latif

Najwa Latif

najwa latif

Mengenai uniCLIQ Sdn Bhd
uniCLIQ Sdn Bhd adalah penyedia yang terkemuka bagi kandungan pembelajaran berasaskan sekolah bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia. uniCLIQ memiliki lebih 2000 tajuk kursus multimedia interaktif untuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Biologi, Matematik Tambahan serta banyak lagi. Kandungannya adalah berdasarkan Kurikulum Kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dikenali sebgai Telekom Smart School Sdn Bhd (TSS) sebelum ini, uniCLIQ telah terbabit dalam perniagaan pendidikan sejak 1999.

Mengenai Portal uniCLIQ
Portal uniCLIQ menawarkan persekitaran pembelajaran maya yang bertujuan melengkapi pembelajaran konvensional di sekolah dengan membolehkan para pelajar menjalani pembelajaran dan penilaian sendiri bagi pelbagai mata pelajaran mengikut kemahiran, masa dan keselesaan masing-masing. Ia direka bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran dan mengulangkaji selepas waktu sekolah untuk sepanjang tahun. Kandungan kursus multimedia interaktif boleh digunakan melalui Internet dimana sahaja, bila-bila masa. Mata pelajaran teras yang ditawarkan ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sementara mata subjek-subjek elektif termasuk Matematik Tambahan, Biologi, Seni Visual, pengajian Islam dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut sila lawati www.uniCLIQ.com.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Pencalonan Top 10 GOLDEN AWARDS 2012

Drama Bersiri Cinta Berkalung Duri