in

Muzikal Raya Ratu Rock Ella

MUZIKAL RAYA : RATU ROCK ELLA GEGARKAN RAYA KETIGA DI TV1

Tidak cukup dengan drama-drama menarik dan komedi yang menghiburkan di TV1, hiburan Aidilfitri di saluran RTM juga terus diceriakan dengan slot Muzikal Raya. Gembira di hari raya dengan konsert yang menampilkan Ratu Rock Malaysia menerusi Konsert Ella yang bakal menemui penonton di saluran TV1 pada hari raya ketiga ini.

Ella

Konsert Ella ini telah dirakamkan khas bersempena Festival Kuala Lumpur 2010 dengan usahasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan RTM. Ella sudah pasti mempersembahkan rangkaian lagu-lagu yang pasti dinantikan peminatnya serta seluruh penggemar muzik tanahair. Diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan, pemuzik-pemuzik profesional dan artis-artis jemputan seperti Awie, Datuk Ahmad Jais serta pemain gitar terkenal Joe Wings, ia pasti menjanjikan kelainan bagi Konsert Ella yang julung-julung kali diadakan tahun ini.

Konsert yang berlangsung selama dua jam ini bakal menampilkan lagu-lagu popular beliau seperti Rama-rama, Sembilu, Simbiosis, Nuri dan Dua Insan serta lagu popularnya, Layar Impian. Konsert ini turut diserikan dengan nyanyian duetnya bersama bintang rock tanahair, Awie menerusi lagu Baldu Biru selain turut menampilkan artis veteran kegemarannya Datuk Ahmad Jais dengan alunan lagu Budi Setahun Segunung Intan.

Aidilfitri pasti bertenaga dengan menyaksikan Muzikal Raya : Konsert Ella pada 12 September 2010, Ahad jam 9.30 malam.

Selain Konsert Ella, dua lagi muzikal menarik disediakan dalam Slot Muzikal Raya menerusi program khas Muzika Aidilfitri yang bakal menampilkan artis-artis seperti Farhan, Haziq, Dato Yusni Hamis, Kelvin Lau dan L. Ramlee pada 13 September 2010, jam 3.05 petang.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, RTM tidak pernah lupa akan budaya serumpun apabila tahun ini bekerjasama dengan Radio Televisyen Brunei (RTB) menerusi program Temasya Pantun Aidilfitri RTM-RTB pada 14 September 2010 jam 3.05 petang. Selain berbalas pantun, rancangan turut diceriakan dengan persembahan lagu-lagu raya bersama artis-artis jemputan seperti Norlia Ghani, Danny X-Factor, Ameer Sofaz, Lydia Ibtisam, Sabri Yunus dan Hj Amilin serta artis-artis dari negara Seri Begawan Brunei Darussalam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suspek Pembunuhan Sosilawati Peguam Bergelar Datuk Ditahan

Raya Ke-4: Momok The Movie