in , ,

Mizie Kamis Muncul dengan Single ‘Ada Kamu’ Kisah Pengorbanan Bergelar Isteri

Bertapak di utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Mizie Kamis memulakan langkah seni menerusi kumpulan Zahran.

Kerjaya solonya bermula pada tahun 2012 dengan kehadiran album sulungnya, Di Suatu Masa. Lagu yang menjadi taruhan dalam album tersebut ialah Kini (feat Masrie), Hakikat Cinta,dan Di Suatu Masa. Kemunculan album sulung tersebut walau bagaimanapun kurang disedari peminat nasyid. Malah, album yang bersifat ‘indie’ tersebut belum cukup kuat untuk ditabalkan sebagai album berkualiti penuh.

Pada tahun 2015, Mizie Kamis tampil dengan album keduanya, Kini ’15. Kali ini, Mizie Kamis dilihat lebih bersedia. Kualiti muzik dan rakaman makin bagus, malah beberapa buah lagu dari album sulungnya turut dirakam semula dengan audio yang lebih berkualiti.

Mizie Kamis

Lagu yang mendapat perhatian menerusi album Kini ’15 ialah Kalimah Berjasa. Nama Mizie Kamis kian dikenali di sekitar Kedah terutamanya.

Setelah hampir lima tahun, akhirnya Mizie Kamis tampil berani untuk komersialkan lagi karya seninya. 

Ada Kamu, merupakan karya seni terbaru daripada pendidik yang kini berkhidmat di negeri Sabah. Lagu ini merupakan karya sepenuhnya daripada Mizie sendiri yang turut menggunakan nama pena, Udhya.

Ada Kamu bersinopsiskan tentang kisah pengorbanan wanita bergelar isteri yang telah berjasa dalam sesebuah rumah tangga.

“Lagu ini secara khususnya saya tujukan buat isteri saya. Secara umumnya, (saya tujukan) kepada semua isteri yang banyak berjasa kepada suami dan keluarga,” ujar Mizie ketika pra-pelancaran Ada Kamu menerusi saluran Inteam Digital.

Menceritakan tentang Ada Kamu, Mizie menyatakan proses untuk menghasilkan single ini memakan masa yang agak lama.

“Nak release single ini ambil masa hampir setahun. Ada Kamu tunggu masa yang sesuai untuk diterbitkan,” ujar Mizie lagi.

Bagi komersialkan Ada Kamu, Mizie Kamis menerusi syarikatnya, MK Production, telah bekerjasama bersama Inteam Digital yang bertindak sebagai pengedar digital.

Ada Kamu telah diterbitkan pada 26 Februari 2021 menerusi saluran Youtube Inteam Digital. Ada Kamu turut diterbitkan di platform digital Spotify, KKBOx, Joox, Deezer dan iTunes.

*Sumber: TheQarya

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Paduan Romantis Syamel & Ernie Zakri Dalam ‘GOODBYE HELLO’

SAJAT

PGA Edar Gambar Sajat Di Pos Kawalan Keselamatan, Elak Dia Bolos Ke Negara Jiran