in ,

Sinopsis Telemovie MIMPI DANIA

Setiap daripada kita pastinya mengimpikan kembali ke zaman kanak-kanak yang meriangkan. Tanpa perlu memikirkan masalah dan cara mengatasinya, momen tersebut tersemat di fikiran semua dan alangkah indahnya putaran masa jika dapat diulang semula.

Saat-saat manis tersebut dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi watak kanak-kanak bernama Dania dalam telemovie bertajuk “Mimpi Dania” yang menemui penonton pada 31 Disember ini, pukul 10.05 pagi di TV1.

watak anak dan ayah dalam Mimpi Dania

Impian Tertunai Dalam Telemovie MIMPI DANIA di TV1

Menampilkan pelakon utama Farah Nadia, Sherie Merlis, Sharifah Sahora, dan Syed Aiman, ‘Mimpi Dania’ memaparkan kisah Dania, yang selalu hayal sama ada di rumah mahupun di sekolah dan sering menjadi ejekan kawan-kawannya. Dania tinggal bersama ibunya di sebuah kampung yang jauh dari bandar. Bapanya telah meninggal dunia dan ibunya Marisah bekerja di sebuah kilang.

Dania suka mengelamun dan bercakap seorang diri. Kadang-kadang dia dimarahi oleh gurunya kerana berhayal di dalam kelas. Begitu juga di rumah, ibunya mendapati Dania sering lupa melakukan kerja-kerja yang disuruhnya kerana berhayal.

Dania berhayal mempunyai seorang kawan bernama Danish. Dania sering duduk di bawah sebatang pokok dan bercakap-cakap dengan kawan hayalannya itu. Dalam hayalannya itu Danish membuatkan sebuah rumah di atas pokok itu untuk mereka bermain-main bersama.

Dania teringin hendak pergi bercuti ke Cameron Highlands dan memujuk ibunya membawanya ke sana. Ibunya mencari duit lebih dengan membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual di kilang tempat dia bekerja dan juga meminta Dania menjualnya di sekolah.

Di sekolah ada seorang budak bernama Amri yang suka mengejek dan mengganggu Dania. Satu hari berlaku pergaduhan antara Dania dengan Amri kerana Amri menghalang perjalanan Dania dengan kakinya.

Selepas kejadian itu guru sekolah tidak membenarkan Dania menjual kuih lagi. Marisah juga kehilangan kerja apabila kilang tempat dia bekerja ditutup. Dania bermimpikan arwah bapanya yang memberitahunya supaya mencari sebuah beg hitam.

Dania menemui beg itu dan menunjukkan kepada ibunya yang mendapati di dalamnya ada dua buku akaun bank untuk Dania dan Marisah. Marisah menggunakan wang dalam akaunnya itu sebagai modal berniaga karipap beku.

Perniagaannya semakin maju dan Marisah dapat membawa Dania bercuti di Cameron Highlands. Semasa di Cameron Highlands Dania bertemu Danish kawan dalam hayalannya itu. Tetapi budak lelaki itu mengatakan dia bukan Danish tetapi Daniel dan dia tidak mengenali Dania. Dania menerima hakikat kawan hayalannya Danish sudah tiada dan Dania berkawan dengan Daniel. Sementara itu Amri berubah menjadi seorang yang baik dan mahu berkawan dengan Dania.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hadiah Hari Natal Terbaik 25 Disember Ini

Senarai Filem Hebat Sempena Tahun Baru 2018 di TV3 & TV9