in ,

Menjadi Rumah Terawal Kibar Bendera Putih, Lelaki Ini Berterima Kasih Ada Yang Sudi Bantu

“Saya tidak tahu sama ada tindakan kibar bendera putih ini betul atau tidak, tapi saya lakukannya demi anak dan isteri kerana kami terputus bekalan makanan,” kata Zulkiflie Samsudin, 39, dari Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai di sini.

Zulkiflie berkata, dia yang bekerja sendiri sebagai juru kimpal kehilangan hampir separuh punca pendapatan bulanan sepanjang pandemik Covid-19 untuk menyara isteri, Nur Aqeela Atika Mohd Dali, 29 serta anak perempuannya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Putri Nur Zahirah, 9 dan anak lelakinya, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia setahun.

Menurutnya, dia bukan sahaja tidak mampu lagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta, malah turut tidak mampu membeli susu dan lampin pakai buang anak lelakinya itu.

“Saya sedih kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin kerana masalah kewangan dan keadaan saya bertambah buruk sejak awal tahun ini. Apatah lagi isteri sedang hamil enam bulan.

“Saya kibarkan bendera petang semalam selepas melihat ada kempen di media sosial dan Alhamdullilah bantuan diterima mencurah-curah hingga mampu menampung keperluan keluarga selama beberapa bulan.

“Malah ada juga warganet yang sanggup melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama sebulan berjumlah RM800 selain bayaran ansuran kereta selama tiga bulan bernilai keseluruhan RM1,200,” katanya.

Bendera Putih

Zulkiflie berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya selepas memasang bendera putih di hadapan rumahnya.

“Buat masa ini barangan keperluan kami sudah mencukupi dan begitu juga dengan sumber kewangan.

“Saya amat bersyukur atas bantuan diterima dan hanya Allah mampu membalas jasa baik semua penderma,” katanya ketika ditemui hari ini.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai #KempenBenderaPutih?

Terdahulu wujud kempen kibarkan bendera putih di hadapan rumah bagi orang ramai yang berdepan dengan situasi terputus bekalan makanan di media sosial sejak semalam. Kempen yang disambut baik pengguna media sosial itu bermatlamat memberi isyarat kepada pihak tertentu mahupun orang sekeliling mengenal pasti individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan dapat dibantu dengan segera.

Ia juga diharapkan dapat membantu lebih ramai yang memerlukan apa-apa bantuan namun malu menyatakannya secara terbuka.

Gusar dan tertekan adalah penyakit lain yang perlu dihadapi rakyat Malaysia selain daripada COVID-19. Dalam keadaan yang serba tidak menentu, pembunuhan diri adalah jalan terakhir yang dipilih oleh sebahagian orang bagi melepaskan segala beban yang digendong di bahu mereka. Melihat jalan akhir ini  dipilih adalah sukar, tetapi untuk berada di tempat mereka ia lebih menyakitkan.

Di Pulau Pinang sahaja, sekurang-kurangnya 10 orang mengambil jalan untuk membunuh diri dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu sepanjang pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. Dan dalam tempoh lima bulan – di antara Januari hingga Mei – seramai 53 orang telah dilaporkan mengambil nyawanya sendiri serta 19 daripadanya berjaya diselamatkan.

Dalam menghadapi keadaan yang sukar begini, sokongan moral atau sosial sangat diperlukan dalam keadaan masyarakat dihimpit tekanan hidup akibat pandemik COVID-19.

#KempenBenderaPutih

Prihatin dengan nasib yang menimpa orang disekeliling kita adalah bukti bahawa kita masih manusia. Masih di beri akal dan naluri untuk memahami keluh kesah mereka yang terkesan sepanjang pandemik. Ada yang kehilangan sumber pendapatan, ada yang terpaksa mengikat perut, manakala sebahagian pula terpaksa meminta-minta untuk kelangsungan hidup di masa hadapan.

Mungkin ada sebahagian daripada kita yang malu untuk tampil kehadapan dan mengaku bahawa mereka kini berada dalam satu fasa buntu. Namun, semua itu mampu diselesaikan jika mereka berkongsi rasa dengan insiatif terbaharu rakyat Malaysia dengan mengibarkan bendera putih.

Melalui #KempenBenderaPutih ini, rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan dan malu untuk meminta bantuan dinasihatkan untuk mengibarkan bendera putih bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan bantuan dan sokongan hidup.

“Naikkan bendera putih di kediaman anda jika memerlukan bantuan makanan dan keperluan. Jangan ambil tindakan yang merugikan diri dan orang tersayang. Elakkan stress. Tidak perlu merayu dan malu. Hanya kibarkan kain putih semoga ada yang membantu.”

Tidak pasti siapakah yang pertama hadir dengan cadangan ini, tetapi ini adalah jalan lain bagi mereka yang malu dan segan untuk meminta bantuan agar tampil kehadapan. Ini juga adalah jalan lain untuk mengelak daripada berlakunya kes pembunuhan diri yang semakin hari, semakin meningkat. Semoga melalui jalan ini, kita mampu untuk bertahan sehingga ke garisan penamat.

*Sumber: The Vocket

Nik Abduh: Berdoa Bila Hadapi Ujian, Bukan Angkat Bendera Putih

Rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT, kata pemimpin PAS, Nik Abduh Nik Aziz.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, sebaliknya mereka yang diuji perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan.

“Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.

Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.

Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi semakin banyak berkongsi mesej yang sama sejak petang semalam.

Antara lain, mesej seumpamanya disertakan dengan pesanan agar tidak mengambil tindakan ‘drastik’ dalam menghadapi kesulitan.

“Kepada yang susah, tiada makanan, naikkan #benderaputih di rumah anda, biar orang sekeliling membantu setakat yang termampu.

“Jangan ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih.

Semoga ada yang datang membantu,” kata pengguna Twitter @JawaJohor2.

Sumber : HMETRO ONLINE

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Naelofar | 23

Terungkap Kisah, Myfundaction Anjur Program The Untold Story of Palestine

The Truth | 24

Tangguh Video Muzik Lagu INFINITI, The Truth Akur Dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara