in

Memey Suhaiza Muncul Dalam Telemovie Terlambat

Memey Suhaiza Muncul Dalam Telemovie Terlambat Di TV2

Dugaan bergelar pasangan suami isteri pada usia yang begitu muda bukanlah satu tugasan yang mudah. Meskipun pada waktu bercinta seseorang itu menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap pasangan namun tidak semuanya berjaya mendepani dugaan mendatang.

Dilakonkan wataknya oleh pelakon sensasi yang baru menamatkan zaman gadisnya, Memey Suhaiza di samping pelakon Yuswaiser dan Azizah Mahzan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan sebuah telemovie menarik bertajuk Terlambat pada 14 Oktober 2011, jam 10.00 malam di TV2.

Menerusi drama mengisi slot tontonan ramai, Citra ini Memey menghidupkan watak Arissa yang bertemu remaja bernama Asyraf secara tidak sengaja. Pertemuan itu tanpa diduga membuahkan rasa cinta antara keduanya. Ketika itu Arissa masih bersekolah dan Asyraf pula sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan.

Telemovie Terlambat Lakonan Memey Suhaiza

Perhubungan mereka yang awalnya ditentang oleh keluarga Arissa kerana perbezaan taraf akhirnya diterima walaupun tidak dengan sepenuh hati. Datin Maria terpaksa merestui perhubungan mereka memandang anak bongsunya itu merayu dengan sepenuh hati. Apatahlagi bila Asyraf sendiri begitu bersungguh cuba memenangi hati bakal ibu mentuanya itu.

Asyraf mengajak Arissa untuk berkahwin selepas dia menamatkan pengajiannya di UKM. Asyraf juga memujuk Arissa untuk tidak melanjutkan pelajarannya selepas peperiksaan SPM. Arissa bersetuju untuk berkahwin dengan Asyraf walaupun usianya masih terlalu muda.

Akhirnya mereka melangsungkan perkahwinan selepas setahun bercinta. Arissa dan Asyraf berpindah ke rumah yang lain dengan tujuan untuk belajar hidup berdikari. Selepas beberapa bulan , Arissa mula menunjukkan tanda berbadan dua. Dia begitu bahagia kerana Asyraf kelihatannya semakin bertambah sayang dan menatangnya seperti minyak yang penuh.

Namun, kebahagiaan yang dikecapi itu tidak bertahan lama. Semuanya bermula apabila, Arissa mengalami masalah selepas melahirkan anak yang pertama. Arissa terbaring di katil beberapa hari sehinggalah doktor peribadinya memutuskan untuk melakukan pembedahan dengan harapan dapat memulihkan kembali saraf di tulang belakang Arissa. Malangnya, selepas pembedahan, Arissa masih tidak dapat berjalan. Arissa kini seorang wanita yang lumpuh separuh badannya. Lebih sedih lagi apabila Arissa tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Perlahan-lahan, tetapi cukup untuk disedari oleh Arissa, Asyraf mula berubah. Dia sudah tidak lagi suka menghabiskan masa bersama Arissa dan anak mereka. Asyraf bersikap dingin terhadap Arissa dan kebanyakan masanya dihabiskan di pejabat dan bersama kawan-kawannya.

Kemuncak perhubungan mereka apabila Asyraf bertukar kerja ke Sarawak. Dia mengabaikan Arissa dan anak mereka. Hinggalah Arissa kemudiannya diceraikan. Dia cuba membawa luka hatinya dengan berhijrah ke Australia mengikut kakaknya tinggal di sana. Di sana dia berubat dan hasilnya mampu pulih seperti sediakala. Malah dia kini bergelar usahawan berjaya.

Berita itu kemudiannya sampai ke pengetahuan Asyraf. Lalu masih adakah ruang kemaafan di hati Arissa untuk kembali bersama bekas suaminya itu? Atau adakah lelaki lain yang bertahta di hatinya kini?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trailer Filem Keramat Ada Adegan Seks

Hafiz & Hazama AF Rebut Takhta Ikon Nipster