in , ,

Melur Untuk Firdaus 2: Siapakah Mawar Dalam Kehidupan Melur & Firdaus?

Setelah mengukir nama dan mencetus fenomena hingga ke negara seberang serta meraih 11 juta penonton pada tahun yang lalu, drama bersiri Melur Untuk Firdaus kini mengisi slot Akasia TV3 dengan musim terbaharu.

Memenangi Drama Adaptasi Novel Terbaik dan Pasangan Drama Terbaik di Tonton Anugerah Drama Sangat 2023, pasangan serasi Anna Jobling dan Meerqeen terus menghiburkan penonton dengan kesinambungan kisah percintaan mereka yang sering diuji dengan pelbagai rintangan.

Melur Untuk Firdaus 2

Melur Untuk Firdaus 2 dibawakan oleh Flavettes Effervescent Glow dan Garnier selaku penaja bersama. Drama ini diterbitkan oleh A-Ten Alliance di bawah arahan Zamri Zakaria. Drama yang mengandungi 35 episod ini menemui penonton menerusi slot Akasia bermula 16 Mac 2023 ini, hari Khamis hingga Jumaat, pukul 7.00 malam. Manakala, khas untuk bulan Ramadan ini, slot Akasia akan disiarkan setiap hari bermula 20 Mac 2023, dari hari Isnin hingga Ahad, pukul 7.00 malam. Drama ini juga boleh distrim langsung dalam HD di Disney+ Hotstar. 

Melur Untuk Firdaus 2

Melur Untuk Firdaus 2 ini dibarisi oleh artis-artis terkenal tanah air antaranya Anna Jobling, Meerqeen, Eyka Farhana, Azim Yusof, Fimie Don, Haleeda, Hairi Safwan, Taib Zamannuri dan Zainon Ismail. 

Untuk meraikan musim baharu ‘Melur Untuk Firdaus 2’ ini, penyokong-penyokong drama terutamanya peminat setia drama bersiri ini berpeluang untuk menyaksikan tayangan perdana episod pertama di GSC Starling Mall pada hari ini.

Musim baharu ini bermula dengan kisah rumah tangga Melur (Anna Jobling) dan Firdaus (Meerqeen) yang kini kembali bahagia. Kedua-dua mereka ingin mengukuhkan perhubungan mereka namun mereka sentiasa berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam mencari kebahagiaan. Tambahan pula, Firdaus terpaksa mengendalikan projek syarikat di luar bandar, menyebabkan dirinya sibuk dengan kerja dan banyak meluangkan masa dengan rakan sekerjanya Mawar (Eyka Farhana). 

Melur Untuk Firdaus 2

Melur teruja untuk mengembangkan kerjayanya dalam dunia penulisan buku kanak-kanak. Dalam usaha membuka syarikat penerbitan novel kanak-kanak, rakan kongsinya, Zackery (Azim Yusof) dalam diam menaruh hati kepada Melur.

Pada masa yang sama, Lili dan anaknya Damia kini hidup lebih tenang setelah suaminya Zain dipenjarakan. Namun, apabila Zain dibebaskan dari penjara, Lili mula rasa resah kerana trauma dengan perbuatan Zain memukulnya. Melur memujuk Lili supaya berdoa agar Zain insaf dan berubah perangai.

Mawar pula sebenarnya ingin bercuti ke luar negara tetapi ayahnya Tuan Idrus memaksa Mawar bekerja supaya bersedia untuk mengambil alih syarikatnya suatu hari nanti. Mawar enggan bekerja sehinggalah suatu hari secara kebetulan bertemu dengan Firdaus dalam situasi yang membuatkan hati Mawar bergelora. Peristiwa ini membuatkan Mawar terus bersemangat untuk bekerja. 

Mampukah pasangan Melur dan Firdaus ini mengekalkan hubungan cinta mereka walau diuji dengan pelbagai rintangan? Teruskan menonton kisah mereka di  slot Akasia ‘Melur Untuk Firdaus 2’ yang bakal bersiaran pada 16 Mac 2023 ini. 

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Raikan Hari Raya Bersama MPO Dalam Konsert Raya Sepanjang Zaman di DFP

Najeehah Terus Optimis Lahirkan Jutawan, Rai Pengedar di Janda Baik