in , ,

Megat Rahim Guna Kuasa Dua Untuk Lebih Dikenali

Penyanyi remaja berusia 19 tahun ini pernah muncul dengan dua single berjudul Sinar dan Sudahlah.

Penyanyi remaja berusia 19 tahun ini pernah muncul dengan dua single berjudul Sinar dan Sudahlah.

Malah, kerjasama dengan rapper dan komposer muda, Chubb-E tahun lalu sedikit sebanyak memperkenalkan lagi nama Megat Rahim dalam industri muzik tempatan.

Biarpun kehadirannya masih belum disedari ramai, tapi Megat Rahim atau nama sebenarnya 

Megat Abdul Rahim Abdul Razak sudah berjaya mengumpul peminat tersendiri.

Berbekalkan pakej lengkap sebagai penyanyi, genre muzik yang diketengahkan Megat Rahim juga menarik perhatian pencinta muzik tanah air.

Terbaharu, Megat Rahim melancarkan single ketiga, Kuasa Dua hasil ciptaan sepenuhnya oleh Shazee Ishak serentak di semua platform digital sejak 4 Jun lalu.

Megat Rahim

“Lagu kali ini bergenre R&B dan pop. Kenapa genre ini, sebab sebelum ini saya ada keluarkan lagu bergenre Jazz. Jadi, untuk single terbaharu ini saya nak mencuba untuk lagu yang bergenre ‘up beat’ sikit.

“Lagu ini dirakam pada Februari lalu. Ia tidak ambil masa lama sebab saya sudah buat latihan sebelumnya. Kiranya, sebelum masuk studio saya sudah ada persediaan dan  segalanya berjalan lancar,” katanya.

Mengenai lagu itu, Megat berkata, ia mengisahkan bagaimana perasaan cinta dan kasih sayang yang luar biasa ditunjukkan seseorang pada pasangan.

“Lagu ini mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang mencintai seorang wanita dengan kuasa dua yang mana ia dizahirkan secara luar biasa. Itu sebab saya pilih tajuk ini. Lagi pula cinta yang ditunjukkan itu sangat luar biasa.

“Saya yakin dengan lagu ini ia mampu memberikan semangat kepada sesiapa saja untuk mencintai dan menyayangi seseorang itu dengan sepenuh hati. Dalam masa sama nak mendidik mereka bahawa cinta dan kasih sayang itu tidak boleh dipermainkan,” katanya.

Menyentuh soal populariti yang dilihat masih jauh jika dibandingkan dengan beberapa penyanyi remaja lain, Megat lebih memilih soal kualiti dan bakat.

“Saya percaya populariti seseorang penyanyi boleh menjadikan lagu nyanyiannya diterima. Sebab apabila sudah popular kita menjadi milik khalayak. Dari situ semua penyokong akan suka dengan apa saja kita buat.

“Sejujurnya, saya lebih memilih bakat daripada populariti. Dalam perkara ini mungkin orang lain berpendapat sebaliknya. Cuma, secara peribadi saya berpendapat dan melihat soal bakat perlu diketengahkan kerana ia yang akan membuatkan kita kekal dalam bidang diceburi. 

“Populariti itu akan datang dengan sendiri. Malah, ia juga boleh hilang sekelip mata. Apa pun, semua ini adalah rezeki Allah SWT. Saya percaya itu,” katanya.

Ditanya apabila dua single sebelum ini kurang mendapat sambutan, Megat mengakui ada terbit rasa kecewa, namun dia tetap berusaha memperbaiki diri dan tidak mahu berputus asa.

Megat Rahim

“Sejujurnya, saya agak kecewa kalau orang tak boleh terima lagu kita yang mana kita sudah berusaha sehabis baik untuk lagu itu. Sebab proses rakaman bukan mudah. Kena duduk dan ambil masa lama dalam studio dan nak menghayati lagi lagu berkenaan. 

“Tapi, saya sentiasa berfikiran positif. Saya percaya dan yakin masa saya akan tiba juga. Dalam erti kata lain, jangan cepat mengalah dan putus asa. Kena sentiasa positif dalam apa jua perkara. Selain itu, kita kena sentiasa mencuba sesuatu yang baharu untuk menonjolkan lagi bakat yang ada,” katanya.

Menurut Megat, apa yang penting ketika ini adalah strategi dan cara bagaimana dia perlu lakukan untuk memperkenalkan lagu Kuasa Dua itu.

“Perancangan untuk lagu baharu ini, saya akan terus promosikan di media sosial dan kena promo sedaya upaya apatah lagi dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan banyak aktiviti. Saya percaya dengan kuasa media sosial hari ini sedikit sebanyak dapat membantu,” katanya yang ingin berduet dengan Hael Husaini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dikecam Gara-Gara Video Atas Katil Untuk Promosi Produk, Zara Zya Bagi Penjelasan

Ragam Tiga Sahabat Yang Cuba Lari Ketika Hendak Berkhatan dalam Filem MASUK JAWI